YNNA Holding intai proton

February 23, 2012 by  
Filed under Permotoran

Share |

YNNA Holdings minat pasarkan Proton

Salah sebuah kumpulan syarikat swasta tertua di Maghribi, YNNA Holdings menyatakan minat mendalam untuk memasang dan memasarkan kereta nasional, Proton, di negara tersebut.

Penasihat Proton Holdings Bhd., Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, hasrat tersebut dinyatakan sendiri oleh Naib Presidennya, Omar Chaabi semasa pertemuan yang berlangsung di sini, hari ini.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu tidak menyatakan jumlah dan jenis model Proton yang diminati oleh syarikat tersebut.

”Beliau ada nyatakan hasrat itu dan sudah mengadakan perjumpaan dengan pengurusan Proton tetapi disebabkan isu pengambilalihan Proton masih belum selesai, maka tidak ada keputusan yang dibuat.

”Tetapi saya yakin pemilik baru Proton akan menimbangkan dengan mendalam peluang untuk memasang dan memasarkan kereta nasional itu di negara tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan Omar yang mengadakan lawatan sehari ke negara ini.

YNNA Holdings yang diasaskan pada 1948 turut terlibat dalam aktiviti pengilangan, pembinaan, hartanah dan pertanian makanan.

Mengulas lanjut perkara tersebut, Dr. Mahathir menyifatkan tawaran syarikat tersebut adalah satu peluang yang baik untuk Proton mengembangkan perniagaan mereka di utara Afrika dan sekitarnya.

”Walaupun jualan tahunan kereta di negara itu tidak begitu tinggi tetapi Maghribi memiliki perjanjian perdagangan bebas dengan negara-negara jirannya,” katanya.

Enter Google AdSense Code Here

Comments are closed.