Warisi semangat Bukit Kepong

February 23, 2012 by  
Filed under web/blog

Share |

Semangat juang dan keberanian perwira Balai Polis Bukit Kepong yang sanggup berkorban nyawa perlu diwarisi dan dihayati oleh seluruh rakyat negara ini, walaupun peristiwa tersebut sudah 62 tahun berlalu.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor berkata, serangan pada tarikh 23 Februari 1950 itu juga perlu menjadi panduan kepada generasi muda agar tidak terpesong dengan dakyah segelintir pihak yang mengangkat pengganas komunis sebagai pejuang kemerdekaan.

“Generasi muda perlu menerapkan diri mereka dengan semangat patriotisme terutama terhadap pengorbanan para pejuang sebelum ini kerana kesinambungan kestabilan dan keharmonian negara kini bermula daripada jasa para pejuang tersebut.

“Tanpa perjuangan seumpama itu, maka tiadalah nikmat kemerdekaan yang telah kita kecapi selama hampir 55 tahun. Justeru, kekejaman pengganas komunis, membakar balai polis dan mencampak mereka yang masih hidup ke dalam api yang marak telah mengorbankan 25 orang termasuk ketua balai berkenaan, Sarjan Jamil Mohd. Shah perlu diinsafi semua.

“Kita sebagai warganegara yang patriotik perlu mengambil iktibar keazaman kira-kira 40 anggota pasukan keselamatan di balai berkenaan untuk mematahkan serangan hendap Pasukan Kompeni Keempat, Parti Komunis Malaya (PKM) dengan kekuatan 200 anggota yang diketuai oleh Muhammad Indera,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada serangan bermula pukul 4.15 pagi itu, pihak komunis telah menyerang balai yang terletak di Muar, Johor tersebut namun mendapat tentangan hebat daripada anggota keselamatan selama lebih lima jam meskipun pihak pengganas pada mulanya beranggapan mampu menawan balai polis tersebut dengan mudah.

Tambah Rahim, memandangkan zaman sudah berubah dan ancaman berbentuk bukan konvensional telah muncul, rakyat perlu lebih peka dalam memastikan ancaman komunisme dan seumpamanya terus dikuburkan selama-lamanya.

Katanya, orang ramai perlu bijak menilai segala pembohongan oleh pihak berkepentingan agar perjuangan perwira seperti di Bukit Kepong tidak dipersiakan untuk membentuk jati diri generasi seterusnya yang berjiwa besar dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara.

“Semangat perjuangan kemerdekaan yang telah dibentuk oleh pejuang terdahulu bukan sahaja harus dikekalkan, malah perlu dipertingkatkan ke peringkat seterusnya kerana keperluan terhadapnya dilihat terus meningkat hari demi hari,” kata beliau.

Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Shafie Bakri pula mengingatkan rakyat supaya jangan sesekali melupakan perjuangan pasukan keselamatan yang bertungkus-lumus serta menyabung nyawa demi memastikan kedaulatan agama, bangsa dan negara tidak terancam.

“Saya kecewa dengan tindakan segelintir parti politik yang secara membuta-tuli melabel para pejuang Bukit Kepong itu sebagai pengganas ketika bermati-matian mempertahankan negara tercinta ini,” katanya.

Enter Google AdSense Code Here

Comments are closed.