Tugas guru adalah jihad ilmu

May 20, 2013 by  
Filed under Pendidikan

Share |

 Pengalaman menjadi pendidik selama 18 tahun masih segar dalam ingatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lui yang baharu, Mohd. Razi Mohd. Ali.

Mohd. Razi

 

Jika sebelum ini beliau menyambut Hari Guru sebagai seorang pendidik, tahun ini agak berbeza apabila perayaan itu disambut setelah beliau bergelar Yang Berhormat selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) 5 Mei lalu.

Mohd. Razi menjelaskan, beliau memulakan khidmat perguruan pada Mei 2005 dan melepaskan jawatan tersebut April lalu apabila terpilih untuk menjadi calon Barisan Nasional.

”Pada awalnya ibu bapa saya meletakkan cita-cita tersebut dalam diri saya. Mereka mahu salah seorang daripada enam anak mereka bergelar pendidik. Alhamdulillah impian mereka terlaksana apabila saya dan adik menjadi guru.

”Sekolah Menengah Kebangsaan Serting Hilir Kompleks adalah sekolah pertama saya. Waktu itu saya menjadi guru disiplin dan pastinya berdepan dengan pelbagai kerenah pelajar,” jelasnya.

Katanya, cabaran menjadi guru amat besar dan sebagai ADUN, beliau akan menggunakan pengalaman yang ditimba untuk terus mencurahkan bakti dengan lebih baik.

”Selaras menjadikan negeri ini sebagai lembah ilmu, dengan pengalaman yang ada sebagai guru tentulah hasrat itu akan dilaksanakan sebaik mungkin, termasuk memastikan lebih ramai pelajar cemerlang lahir dari sini,” jelasnya.

Mengenai sambutan Hari Guru hari ini kata Mohd. Razi, setiap pendidik wajar berbangga dengan kerjaya dipikul kerana usaha itu adalah satu ‘jihad ilmu’ yang perlu dilaksanakan tanpa rasa jemu.

”Saya faham, banyak tugas perlu dilakukan oleh guru dalam mendidik pelajar, tetapi percayalah anak didik kita kelak akan berterima kasih di atas bimbingan yang diberikan oleh seorang guru.

”Tambahan pula, nikmat ‘guru’ itu juga akan dirasai sampai kita telah bersara kerana ilmu yang ada pada guru itu boleh mendidik anak bangsa selagi nyawa dikandung badan,” tegasnya.

Mohd. Razi sebelum ini mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Lui Barat dan merupakan Ketua Panitia Sains Pertanian di sekolah tersebut sebelum meletakkan jawatan bertanding dalam PRU-13 sebagai calon BN di DUN Sungai Lui.

Enter Google AdSense Code Here

Comments are closed.