Tuanku Muhriz menyempurnakan Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-12
SEREMBAN, 23 April – D.Y.M.M Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir mencemar duli ke Majlis Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-12 Negeri Sembilan.
Baginda seterusnya menyempurnakan persidangan tersebut yang akan bersidang selama dua hari iaitu pada 24 April 2012 dan 25 April 2012.
Turut mencemar duli, D.Y.M.M Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud.
Baginda diiringi Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap ADUN Rantau, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan.
Di dalam titah baginda, baginda memuji daya usaha Kerajaan Negeri yang mentadbir Negeri Sembilan yang pesat membangun.
Antara dasar dan program yang mencapai kejayaan di Negeri Sembialn adalah Dasar Jaringan Keselamatan Sosial, Dasar Pelaburan, Dasar Pendidikan, Dasar Pembangunan Seimbang Antara Bandar dan Luar Bandar.
Baginda juga berpuas hati apabila Kerajaan Negeri mengambil inisiatif mengkaji semula Pelan Strategik Pembangunan Ekonomi Negeri Sembilan yang telah disediakan pada tahun 2006. Kajian semula ini akan memperkemaskan lagi program dan strategi pembangunan sosio-ekonomi dalam tempoh 2012 hingga 2020.
Turut hadir, YTM Tunku Besar Tampin dan YTM Dato-Dato’ Undang Yang Empat.
Istiadat Pembukaan turut dihadiri oleh Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin, isteri Menteri Besar Negeri Sembilan.
Sila klik di sini untuk Titah Ucapan Penuh D.Y.M.M Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus sempena Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Sembilan Darul Khusus.









































