Titah Ucapan D.Y.M.M Yang Di-Petuan Besar Negeri Sembilan

April 23, 2012 by  
Filed under Jejak Usaha MB

Share |

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

dan Salam Sejahtera.

Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri sekelian.

Alhamdulillah, Beta memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin serta limpah kurnia-Nya dapat Beta dan Tunku Ampuan Besar berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi Persidangaj Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri pada hari ini.

PENDAHULUAN

Ahli-ahli Dewan Sekelian,

Beta berasa sukacita, Negeri Sembilan pada masa ini berada dalam keadaan yang aman damai. Setiap golongan rakyat dari pelbagai kaum dan lapisan telah dapat menikmati kemakmuran dan hidup dalam keadaan sejahtera dan saling hormat-menghormati di antara satu sama lain. Kemakmuran ini dapat dicapai melalui sikap toleransi yang tinggi serta keikhlasan untuk berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan agenda pembangunan negeri. Hasil daripada kemakmuran yang dicapai ini, pelbagai pihak khususnya pihak kerajaan dan dan swasta dapat memainkan peranan masing-masing dengan berkesan bagi membangunkan ekonomi Negeri Sembilan. Pada masa ini, kita dapat melihat pembangunan yang pesat di seluruh negeri merangkumi semua sektor yang memberi faedah kepada penduduk di bandar dan juga luar bandar. Kini, setiap pekan dan kampung telah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan insfrastruktur, kemudahan awam, bekalan air dan elektrik, telekomunikasi, kemudahan pengairan dan saliran, dan lain-lain. Beta berbangga,  kerana hasil daripada pembangunan pesat ini bukan sahaja telah dapat meningkatkan taraf dan kualiti hidup rakyat, tetapi juga telah membolehkan semua pihak menikmati kemakmuran ekonomi. Malahan kemajuan yang dicapai juga telah mengurangkan bilangan rakyat miskin dan miskin tegar di negeri ini ke tahap minima.

Pada hemat Beta, antara faktor yang menyumbang kepada kemakmuran yang telah kita capai pada hari ini ialah pengurusan yang cekap dan berkesan oleh Kerajaan Beta di bawah pimpinan Mamanda Beta, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan. Pelbagai dasar dan program pembangunan yang diperkenalkan telah dilaksanakan dengan berkesan dan mendapat sokongan daripada semua pihak. Antara dasar dan program yang telah mencapai kejayan termasuklah Dasar Jaringan Keselamatan Sosial, Dasar Pelaburan, Dasar Pendidikan, Dasar Pembangunan Seimbang Antara Bandar dan Luar Bandar.

Beta berpuas hati hasil daripada pelaksanaan program pembangunan yang berkesan, ekonomi Negeri Sembilan telah berkembang pada tahap positif. Pencapaian yang memberangsangkan ini dapat dilihat daripada peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) daripada RM20.8 bilion pada tahun 2010 kepada RM22 bilion pada tahun 2011, iaitu pertumbuhan sebanyak 5.9 peratus (%). Secara perbandingannya, kadar ini adalah lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan KDNK Kebangsaan iaitu 5.1 peratus (%).

Beta yakin pencapaian yang memberangsangkan setakat ini akan dapat dipertingkatkan lagi pada tahun-tahun yang akan datang. Dengan sokongan dan kerjasama yang telah dipamerkan oleh semua pihak, Negeri Sembilan mampu mencapai sasaran pembangunan yang lebih tinggi. Dalam hubungan ini, Beta difahamkan bahawa Kerajaan Beta sedang mengkaji semula Pelan Strategik Pembangunan Ekonomi Negeri Sembilan yang telah diadakan pada tahun 2006. Kajian semula ini akan memperkemaskan program dan strategi pembangunan sosio-ekonomi dalam tempoh 2012 hingga 2020.

KERAJAAN PRIHATIN

Ahli-ahli Dewan sekelian,

Hasil daripada sembah maklum oleh Mamanda Beta, Beta dapati bahawa kerajan begitu prihatin terhadap permasalahan rakyat. Selaras dengan slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, Kerajaan Beta telah menyediakan pelbagai forum untuk rakyat menyuarakan pelbagai aduan, pandangan dan permasalahan yang di hadapi. Malah kerajaan juga telah mengadakan sesi turun padang di seluruh negeri  bagi mendengar permasalahan rakyat. Dalam hubungan ini, pelbagai langkah telah dilaksanakan bagi menangani masalah rakyat. Antara langkah yang diperkenalkan termasuklah menyediakan peruntukan yang sewajar bagi membiayai projek-projek yang didapati sangat perlu dilaksanakan. Pada tahun ini, peruntukan sebanyak RM7 juta telah disediakan untuk membiayai pelaksanaan projek-projek kritikal.

KEMPEN KESEDARAN MENYAYANGI WARGA EMAS

Ahli-ahli Dewan sekelian,

Sejak kebelakangan ini, bilangan warga emas yang tinggal bersendirian di rumah dan di pusat-pusat penjagaan warga emas telah semakin bertambah. Perasaan kebertanggungjawaban anak-anak untuk menjaga, mengasihi dan menyayangi ibu bapa yang sudah berusia warga emas kelihatan semakin berkurangan.

Permasalahan ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ianya boleh menyebabkan warga emas yang terlibat mengalami tekanan emosi dan kesihatan. Dalam usaha membendung permasalahan ini, kerajaan Beta telah melancarkan “Kempen Kesedaran Menyayangi Warga Emas” pada 24 Mac 2012 yang lalu. Pada hemat Beta, kempen ini amat perlu bagi melahirkan semula masyarakat penyayang terhadap warga emas terutamanya di kalangan anak-anak dan kaum keluarga mereka. Beta berharap kempen ini akan mendapat sokongan penuh daripada setiap golongan masyarakat.

LEMBAH ILMU

Ahli-ahli Dewan sekelian,

Program menjadikan Negeri Sembilan sebagai Lembah Ilmu telah membuahkan hasil yang amat memberangsangkan. Kejayaan yang dicapai dalam peperiksaan-peperiksaan utama dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini amat cemerlang apabila Negeri Sembilan berjaya menduduki kelompok lima (5) teratas. Apa yang lebih membanggakan ialah kejayaan sekolah-sekolah agama dalam peperiksaan utama. Beta difahamkan bahawa lapan daripada lima belas sekolah yang berjaya mencatatkan kelulusan seratus peratus di dalam peperiksaan SPM bagi tahun 2011 ialah sekolah aliran agama. Pencapaian ini adalah hasil daripada usaha Kerajaan Beta memperkasakan sekolah-sekolah agama termasuk sekolah agama rakyat.

Di samping kecemerlangan di peringkat sekolah, program Lembah Ilmu juga telah menampakkan kesan positif berikutan pertambahan bilangan institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di Negeri Sembilan. Selain daripada kawasan Nilai di Seremban, kini terdapat IPTA dan IPTS di daerah-daerah seperti Kuala Pilah dan Port Dickson. Beta berharap agar kemajuan ini akan melahirkan lebih ramai bijak pandai dan professional di Negeri Sembilan di masa akan datang.

PELABURAN DAN PERINDUSTRIAN

Ahli-ahli Dewan sekelian,

Sebagaimana yang telah Beta tegaskan sebelum ini, pencapaian ekonomi dan juga kestabilan politik Negara uang telah sekian lama dikecapi telah menarik kedatangan pelabur asing untuk melabur di Malaysia. Negeri Sembilan kini berjaya menjadi antara lokasi utama pelaburan bagi pelabur-pelabur dalam dan luar Negara. Ini terbukti dengan peningkatan ketara jumlah pelaburan yang diperolehi pada tahun 2011 iaitu sebanyak RM5.9 bilion. Pencapaian tersebut juga di dorong oleh perkhidmatan agensi-agensi kerajaan yang cekap dan mesra pelabur. Beta difahamkan usaha-usaha promosi terus dipergiatkan bagi menarik lebih ramai pelabur asing memandangkan Negeri Sembilan memerlukan  pertambahan jumlah pelabur asing pada setiap tahun bagi meningkatkan jumlah KDNK. Selaras dengan itu, Beta menyambut baik usaha-usaha kerajaan untuk membuka kawasan perindustrian baru.

PEMBANGUNAN USAHAWAN

Ahli-ahli Dewan sekelian,

Pembangunan usahawan merupakan satu program yang penting kepada pembangunan ekonomi negeri, kerana ianya melibatkan aktiviti perindustrian dan perdagangan yang menyumbang kepada peningkatan KDNK dan pembangunan ekonomi bumiputera. Beta difahamkan pelbagai program telah dan sedang dilaksanakan bagi memperkasakan usahawan seperti latihan keusahawanan, promosi pasaran, pembangunan produk, pembiayaan kewangan dan pengurusan perniagaan. Dalam hubungan ini, Beta ingin mengingatkan para usahawan supaya sentiasa komited dan bersungguh-sungguh dalam mengendalikan perniagaan masing-masing, teruatamanya dalam usaha mengurangkan kos pengeluaran dan memperkukuhkan pasaran serta mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan secara beransur-ansur. Ini adalah kerana kerajaan perlu membuka pasaran tempatan kepada syarikat asing bagi mematuhi ketetapan yang telah dipersetujui di peringkat ‘World Trade Organisation (WTO) dan ASEAN  Free Trade Area (AFTA). Sekiranya usahawan di negeri ini tidak mempersiapkan diri masing-masing, maka apabila tiba masanya nanti, syarikat tempatan akan gagal berhadapan dengan saingan sengit daripada syarikat-syarikat asing yang lebih kompetetif.

TEKNOLOGI MAKLUMAT

Ahli-ahli Dewan sekelian,

Peranan teknologi maklumat dalam pembangunan Negara kini semakin penting. Ianya menjadi alat yang sangat berkesan dalam sistem penyampaian di samping mempermudahkan pelaksanaan kerja harian jabatan dan agensi kerajaan, pihak swasta serta rakyat. Beta yakin bahawa tahap kesedaran dan penggunaan aplikasi ICT di Negeri Sembilan telah menunjukkan peningkatan. Usaha ini telah membuahkan hasilnya apabila kadar penembusan jalur lebar di Negeri Sembilan telah mencapai 75.6 peratus (%). Langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan pada masa hadapan bagi meningkatkan lagi kadar penembusan jalur lebar akan ditumpukan di kawasan luar bandar dengan membina lebih banyak Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK), Medan Info Desa dan Kampung WiFi. Pusat-pusat sebegini diharap akan membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk turut  menikmati faedah penggunaan jalur lebar.

Kerajaan Beta juga telah pun menggalakkan agensi-agensi kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menyediakan perkhidmatan secara online atau menggunakan perkhidmatan menerusi internet untuk kemudahan rakyat. Langkah ini adalah selaras dengan matlamat yang ditetapkan dalam Pelan Induk ICT  Negeri Sembilan iaitu e-connected dan e-enable state pada tahun 2020. Apabila matlamat ini tercapai kelak, komunikasi di antara pihak kerajaan, swasta dan rakyat akan berjalan dalam tempoh yang lebih cepat. Beta dengan ini menyarankan agar semua pihak seperti kakitangan awam dan swasta serta orang awam berusaha mempersiapkan diri mulai sekarang.

PERJUDIAN SIBER

Dalam usaha memantap serta memperkasa pengetahuan rakyat untuk menggunakan aplikasi ICT, perhatian yang serius juga perlu diberikan ke atas unsur-unsur negatif yang menular melalui kecanggihan teknologi maklumat ini. Beta berasa dukacita kerana terdapat segelintir rakyat yang telah menyalah gunakan kemajuan tersebut dengan menjalankan aktiviti perjudian siber. Aktiviti ini bukan sahaja beroperasi di bandar-bandar, tetapi juga di kawasan luar bandar termasuk dalam kawasan FELDA. Kegiatan ini telah menarik penglibatan pelbagai lapisan masyarakat termasuk murid-murid sekolah. Ianya telah menimbulkan kegelisahan di kalangan masyarakat berikutan berlakunya pelbagai masalah jenayah dan gejala sosial. Dalam hubungan ini, Beta ingin mengesa rakyat bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membendung aktiviti perjudian siber ini.

PROGRAM TRANSFORMASI KERAJAAN

Ahli-ahli Dewan sekelian,

Pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan telah diperkenalkan sejak tahun 2010 telah memberikan kesan yang positif kepada jentera pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan. Pada masa ini, tahap kepuasan pelanggan yang berurusan di pejabat-pejabat kerajaan telah meningkat, hasil daripada perkhidmatan yang mesra pelanggan, proses kerja yang lebih teratur dan cepat, serta persekitaran pejabat yang lebih menarik. Malahan, dalam usaha memberikan perkhidmatan yang terbaik, pegawai –pegawai kerajaan kini sanggup turun padang untuk berurusan dengan pelanggan. Dalam hubungan ini, Beta yakin pencapaian yang menggalakan ini akan dapat dipertingkatkan lagi pada masa hadapan.

PERPADUAN

Ahli-ahli Dewan sekelian,

Kemakmuran yang dikecapi pada masa ini adalah hasil daripada perpaduan kukuh di kalangan rakyat berbilang kaum yang telah dipupuk sejak sekian lama. Walaubagaimanapun, sejak kebelakangan ini terdapat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab cuba menimbulkan isu-isu yang boleh menjejaskan perpaduan Negara. Tindakan sedemikian amat berbahaya kerana ia boleh menyebabkan perpecahan di kalangan rakyat dan seterusnya memusnahkan kejayaan yang di capai dalam sekelip mata.

Sesungguhnya kerajaan telah menyediakan pelbagai ruang dan platform rakyat menyampaikan pandangan untuk diberikan perhatian oleh kerajaan. Beta ingin menasihatkan agar semua pihak yang kurang berpuas hati ke atas sesuatu supaya menggunakan saluran yang disediakan dan sentiasa mengamalkan budaya bermuafakat.

Akhirnya, Beta mengingatkan, agar Ahli-Ahli Dewan bersidang dan berhujah di Dewan yang mulia ini dengan tertib dan berhemah atas prinsip memperjuangkan kepentingan rakyat dan pembangunan negeri. Peliharalah adab dan tatasusila sepanjang persidangan berlangsung, hormatilah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan Perlembagaan Persekutuan.

Beta dan Tuanku Ampuan Besar sentiasa berdoa semoga dengan usaha, permuafakatan, keikhlasan, persefahaman dan tatasetia yang tidak berbelah bahagi di kalangan semua pihak, negeri kita agar terus dirahmati Allah S.W.T serta dilimpahi kemakmuran yang berkekalan.

Dengan lafaz BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM, Beta merasmikan Pembukaan Persidangan Pertama, Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri Kedua Belas pada hari ini.

Sekian.

Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

23 April 2012

Enter Google AdSense Code Here

Comments are closed.