Temui pengundi di DUN Tenang melalui kad ucapan
LABIS, 23 Jan. – Dengan perayaan Tahun Baru Cina hanya tinggal beberapa hari sahaja, kedua-dua calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang mula menemui pengundi di kawasan pilihan raya itu melalui kad ucapan dan risalah Tahun Baru Cina yang direka khas.
Calon Barisan Nasional (BN) Mohd. Azahar Ibrahim mengedarkan kadnya dengan ucapan ringkas “Gong Xi Fa Chai” semasa berkempen dari rumah ke rumah hari ini, persinggahan pertamanya ialah di Pasar Labis, di mana ramai peniaga adalah kaum Cina.
Pasar itu merupakan tempat berkumpul yang penting untuk penduduk Labis khasnya pada pagi Ahad.
Pengundi Cina mengandungi 39.08 peratus atau 5,766 daripada 14,753 pengundi berdaftar di kawasan pilihan raya negeri Tenang dan Tahun Baru Cina atau Festival Musim Bunga pada 3 dan 4 Februari ini, merupakan perayaan komuniti Cina yang sangat penting di seluruh dunia.
Calon Pas Normala Sudirman tidak mahu ketinggalan dengan mengedarkan kad ucapan berwarna merah dengan perkataan meminta pengundi mengundi Pas. – Bernama











