Tambahan bekalan barangan keperluan disediakan menjelang musim perayaan

August 8, 2012 by  
Filed under News1

Share |

SEREMBAN, 08 Ogos – Bekalan barangan keperluan di negeri ini masih mencukupi dan kerajaan negeri turut menyediakan bekalan barangan tambahan menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Malahan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah menyenaraikan 20 jenis barangan keperluan di mana ianya berada dalam harga kawalan bermula minggu hadapan sehingga 26 Ogos ini.

Demikian kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri, hari ini.

Tegas beliau,  ini bagi memastikan harga barangan tidak dimanipulasikan oleh pedagang-pedagang mahupun peniaga-peniaga dan mereka ini diingatkan supaya meletakkan harga barang.

“Tidak timbul soal di mana barang-barang ini tidak mencukupi dan di negeri ini tiada laporan menyatakan kekurangan bekalan barangan keperluan,” kata beliau.

Mengulas lanjut mengenai isu pembiakan lalat yang didapati semakin berleluasa di Port Dickson, beliau mengingatkan para penternak ayam supaya menjalankan operasi reban secara tertutup.

Jelas beliau, kerajaan akan sentiasa memantau keadaan ini bagi mengurangkan pembiakan lalat dan jika didapati para penternak masih degil, tindakan akan dikenakan.

“Akibat daripada perbuatan mereka yang tidak mengendahkan amaran dari Jabatan Kesihatan, orang awam yang akan menjadi mangsa sehingga memudaratkan kesihatan mereka,” tegas beliau.

Ujar beliau, kerajaan bukan mahu mengecam mereka tetapi kerajaan tiada pilihan yang banyak untuk menangani situasi dan permasalahan seperti ini.

Terdahulu, Menteri Besar menyampaikan sumbangan kepada persatuan dan golongan yang menerima baitulmal.

Oleh : Ainaa@n9kini.com

 

Enter Google AdSense Code Here

Comments are closed.