Skuad Rusa benam Sarawak 3-1
Perlawanan Liga Super di antara Negeri Sembilan dan Sarawak di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban malam tadi menyaksikan Negeri Sembilan mengutip 3 mata penuh dengan menewaskan Sarawak dengan 3 gol berbalas 1.
Selaku tuan rumah, skuad kendalian Mohd Azraai Khor Abdullah memperolehi gol pertama menerusi pemain kebangsaan, Shahurain Abu Samah pada minit ke-32, yang melepasi pertahanan Sarawak dan kemudian melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol Sarawak Sani Anuar Kamsani di gawang lawan.
Separuh masa kedua pula menyaksikan pasukan Negeri Sembilan bertindak lebih agresif menyerang ke kubu pasukan Sarawak dan pada minit ke 50 gol ke-2 dihasil sentuhan pemain tengah, Mohd Alif Shamsudin .
Negeri Sembilan terus mengasak ke kubu Sarawak dan empat minit kemudian hasil dari satu serangan balas, Negeri Sembilan sekali lagi berjaya merobek gawang lawan untuk gol ke-3, menerusi sentuhan penyerang import, Jean Effa Owona.
Sarawak tidak berputus asa dan hasil kerja keras mereka telah menghasilkan gol melalui Khirul Azhar Eidros pada minit ke-56, namun sehingga tamat perlawanan tuan rumah terus menguasai perlawanan, dan keputusan kekal memihak Negeri Sembilan dengan keputusan 3-1.
Setelah mengharungi 20 perlawanan, Negeri Sembilan kini mengutip 32 mata dan menduduki tangga ke-lima liga, manakala Sarawak di tangga ke-9 dengan mengutip 23 mata.
Perlawanan turut disaksikan oleh Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Haji Mohamad Bin Haji Hasan yang juga Presiden PBNS.












