Setem baru sempena Hari Kemerdekaan Ke-55
KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Pos Malaysia Berhad akan mengeluarkan setem dan produk filateli terbaru yang bertemakan ‘Perpaduan Malaysia Siri 2′ sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-55 dan Hari Malaysia, mulai esok.
Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia, Yasmin Ramli berkata, setem dan produk filateli terbaru itu mengetengahkan empat konsep perpaduan yang berbeza iaitu perpaduan melalui Bahasa, Sukan, Tarian dan Gotong Royong.
Kesemua setem itu berlatarbelakangkan jalur gemilang serta menggambarkan perpaduan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya, katanya kepada pemberita ketika memperkenalkan setem dan produk terbaru itu di Ibu Pejabat Pos Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata, setem perpaduan melalui bahasa berwarna jingga (oren), sukan (biru), tarian (ungu) dan gotong royong (hijau) dijual pada harga 60 sen setiap satu dan RM12 bagi setiap set boleh didapati mulai esok di semua cawangan Pos Malaysia di seluruh negara sehingga stoknya habis dijual.
“Bagi sampul surat Hari Pertama pula ia dijual pada harga 50 sen dan RM2.90 sekiranya dilengkapi dengan setem. Namun begitu, jumlah sampul surat Hari Pertama adalah terhad dan hanya dikeluarkan esok,” katanya.
Yasmin berkata, selain setem dan sampul surat, Pos Malaysia turut memperkenalkan ‘folder’ berharga RM5.50 setiap satu yang mengandungi set lengkap empat set setem perpaduan dan sampul surat Hari Pertama dengan harga RM56.40 setiap satu, dan hanya boleh didapati di cawangan Pos Malaysia yang terpilih.











