Sedari realiti kemakmuran negara
PEKAN, 27 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat supaya tidak membuat ‘perubahan’ yang belum pasti menjamin kemakmuran dan kesejahteraan kepada mereka.

NAJIB melayan sebahagian daripada 70,000 pengunjung mengambil juadah pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Perdana Menteri di Pekan semalam.
Bukan semua perubahan membawa kepada sesuatu yang baik, kata Najib, sambil mengingatkan supaya rakyat tidak menukarkan sesuatu yang mereka boleh bergantung harapan daripada memberi kepada pihak lain yang ternyata belum terbukti rekod perkhidmatannya.
“Kita mestilah berpegang kepada sesuatu yang kita tahu, insya-Allah kita (kerajaan Barisan Nasional) akan membawa kepada keadaan yang lebih baik pada masa akan datang,” kata Najib ketika berucap pada majlis rumah terbuka Aidilfitri yang dihoskan beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Taman Tasik Sultan Abu Bakar dekat sini semalam.
Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah adalah antara lebih 70,000 tetamu yang menghadiri majlis rumah terbuka Perdana Menteri itu. Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan barisan kepimpinan negeri.
Najib mengingatkan rakyat supaya jangan mudah termakan janji manis pembangkang yang ternyata gagal mentadbir empat buah negeri yang dimenangi selepas Pilihan Raya Umum 2008.











