Sambutan Rumah Terbuka kerajaan Negeri meriah
SEREMBAN, 19 Ogos – Tradisi rumah terbuka merupakan wadah terbaik yang menyatukan rakyat dan menzahirkan semangat 1Malaysia.
Di Negeri Sembilan, Majlis Rumah Terbuka kerajaan Negeri yang berlangsung di perkarangan Wisma Negeri cukup meriah, menghimpunkan lebih 5000 masyarakat berbilang bangsa.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan dan keluarga tidak ketinggalan untuk hadir beramah mesra dan bergambar kenangan bersama pengunjung yang hadir.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah barisan ahli exco kerajaan Negeri, pemimpin parti komponen Barisan Nasional MCA, MIC DAN PPP.
Persembahan iringan dan dendangan lagu raya oleh Kumpulan Kebudayaan Putrasari turut menghiburkan para tetamu.
Di samping pelbagai juadah tradisional yang disaji, menu istimewa seperti daging rusa panggang turut menjadi kegemaran pengunjung yang beratur panjang di khemah yang disediakan.
Majlis ini telah bermula sejak jam 10 pagi tadi sehingga 2 petang ini.
Hadir sama, Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Kelana Petra Datuk Mubarak Dohak.
Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum ibni Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud berkenan hadir menunaikan Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti, pagi tadi.
Menteri Besar dan isteri, Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumudin turut hadir bersama bagi menunaikan Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri bersama baginda.
Oleh : Ainaa@n9kini.com






























































