Rumah ibadah berhampiran tidak menghalang perpaduan
TEMIANG, 10 Ogos – Rumah ibadah berhampiran satu sama lain tidak menghalang India beragama Hindu dan Islam mengerjakan ibadah masing-masing di sini asalkan tidak melanggar sensitiviti antara satu sama lain.
Keunikan ini dapat dilihat apabila bangsa India beragama Hindu dan beragama Islam menjalankan kewajipan masing-masing kerana kuil dan masjid terletak berhampiran.
Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan, hadir di dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Pemimpin anjuran bersama Badan Perhubungan KIMMA Negeri Sembilan dan Masjid India Muslim, Seremban, petang tadi.
Menurut Menteri Besar di dalam ucapannya, keunikan yang ditunjukkan oleh penganut Hindu menghormati India Muslim di sini, menjadikan ia sesuatu yang unik dan tiada sempadan perhubungan sesama manusia walau pun berlainan agama.
Ujar beliau lagi, “Negeri Sembilan secara tidak langsung sebenarnya telah mengamalkan konsep 1 Malaysia sekian lama, kerana masyarakat di sini saling mengutamakan perpaduan.”
Tambah beliau lagi, “negara akan mencapai kemerdekaan ke-55 tahun, seharusnya kita perlu berganding bahu dan bekerja lebih kuat bagi memastikan negara berada dalam keadaan baik dan mencapai banyak kejayaan.”
55 tahun mengekalkan kemerdekaan merupakan tempoh masa yang amat singkat dan sekiranya kita sering berbalah, negara akan runtuh.
Bagi mengekalkan kemerdekaan, Kerajaan Negeri melihat kesejahteraan rakyat perlu diutamakan dan pembangunan menjadi agenda penting.
“Apabila negeri dibangunkan dengan pendidikan, insfrastruktur yang lengkap dan pentadbiran yang cekap, ekonomi akan turut berkembang. Hasilnya kelak dapat dirasai bersama.” Katanya.
Menteri Besar turut meluluskan permohonan kariah masjid ini mahukan rezab tanah kerajaan di jadikan tempat letak kereta bagi kegunaan umum yang mahu beribadah di sini.
Selain itu, beliau turut mempertimbangkan permohonan 7 beradik yang selama ini menduduki tanah rezab kerajaan di sini sebagai hak milik.
Turut hadir, Dato’ Mad Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Sahibus Samahah Dato’ Hj Mohd Yusof Hj Ahmad, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Senator Dato’ Ibrahim Kadir, Pengerusi KIMMA Kebangsaan merangkap Nazir Masjid India Muslim Seremban.




























