FOKUS KHAS – MEMPERKASA GOLONGAN BELIA NEGERI SEMBILAN
PEMBANGUNAN Belia merupakan antara teras dan inisatif yang digerakkan secara serius oleh Kerajaan negeri di bawah teraju Menteri Besar Dato Seri Utama Mohamad Hasan, yang sentiasa mahukan belia di negeri ini berfikir di luar lingkungan dan mempunyai daya pemikiran yang kritis.
Untuk itu, pelbagai peluang, medium dan platform di sediakan bagi golongan muda ini untuk memajukan diri, selain aktif menyumbang idea, tenaga dan kemahiran bagi pembangunan negeri, baik fizikal, spiritual dan juga pembangunan insan. Bergerak menerusi pelbagai persatuan yang wujud merupakan satu langkah yang dapat membangunkan pemikiran belia, terutama dalam era penuh mencabar di mana persaingan kini bukan lagi terhad di dalam negeri, tetapi sudah berbentuk global dalam persekitaran dunia tanpa sempadan.
“Kepimpinan belia di negeri ini dan juga para belia sendiri tidak harus bergantung sepenuhnya terhadap bantuan kerajaan sebaliknya berfikir dengan lebih terbuka bagi menguruskan persatuan mereka secara total,” kata Dato’ Seri Mohamad Hasan.
Belia yang berwawasan, yang mempunyai jati diri merupakan aset dan inilah yang sedang diusahakan secara tersusun oleh pentadbiran kerajaan negeri yang mahu melahirkan insan belia yang mempunyai jati diri yang ampuh dan berwawasan.
“Belia harus menjadi ejen yang mampu mengerakkan sesebuah organisasi mengikut acuan mereka,” kata beliau pada satu majlis baru-baru ini.
Sehubungan itu, kerajaan negeri bersedia memberi apa jua bantuan seperti pembinaan infrastruktur bagi membantu pergerakan belia di negeri ini beroperasi dalam keadaan yang kondusif dan menjana pemikiran yang kritis.
“Kerajaan negeri akan membantu daripada aspek pembinaan infrastruktur dan sebagainya bagi membolehkan setiap persatuan dapat bergerak bagi memenuhi aspirasi mereka,” kata beliau.
Begitupun, corak gerakan dan aktiviti beliau harus dikembangkan dan diglobalkan agar ia boleh memasukkan penyertaan masyarakat secara menyeluruhd an tidak terbatas kepada aktiviti belia sahaja.
“Itulah sebabnya saya meminta semua belia untuk berfikir secara lebih terbuka dalam memastikan pertubuhan mereka bukan sahaja memberi manfaat kepada ahli bahkan kepada masyarakat,” katanya.
Pada masa yang sama, syarikat swasta juga diharap dapat berganding bahu turut sama membantu pertubuhan belia dan memperkasa kedudukan belia.
Menerusi gerak kerja di bawah Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan yang diterajui oleh Datuk Abd. Samad Ibrahim, pembangunan belia di negeri ini diharap dapat mencapai tahap seperti yang digariskan dalam RMK10. Belia masa kini dilihat sebagai aset penting, apatah lagi mereka merupakan pewaris kepimpinan negara di masa depan. Jadi penting bagi jentera kerajaan negeri, NGO mahupun parti-parti politik memastikan bahawa pemikiran mereka sentiasa berkembang secara positif dan tidak dicemarkan dengan pemikiran songsang atau ekstrem.
Menerusi gerakan yang diusahakan oleh Majlis Belia Negeri Sembilan, belia di negeri ini diberikan pelbagai pendedahan termasuk usaha-usaha yang membolehkan mereka meningkatkan skil dan kemahiran.
Pewujudan Sistem Infobelia yang digerakkan sebelum ini menghasilkan kesan positif dengan lebih 55,000 pengguna dari kalangan belia dilaporkan sudah menyertainya. Sistem itu membolehkan Menteri Besar, sebagai ketua negeri untuk lebih mudah berinteraksi menerusi sistem pesanan SMS dengan golongan muda dan mengetahui sendiri secara peribadi apa yang berlaku di peringkat akar umbi.
Beliau berpuashati dengan sambutan dari golongan belia terhadap langkah berkenaan yang menurutnya, mampu mendekatkan golongan belia dengan pentadbiran kerajaan negeri.
“Sambutan yang diterima amat baik sekali kerana setakat ini sudah 55,000 orang aktif menyertai sistem ini dengan menjadi ahli. Saya kini sentiasa berkomunikasi dengan mereka dan bangga dan besar hati kerana golongan muda ini dapat memberi pelbagai maklum balas.
Katanya, golongan belia di negeri ini semakin matang kerana mereka kini lebih bersikap proaktif dalam membincang dan memberi maklumat mengenai pelbagai masalah setempat dan kepincangan-kepincangan dalam sistem sosial.
Perhatian serius yang diberikan oleh Datuk Seri Mohamad Hasan semasa sambutan Perhimpunan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Sembilan Mei lepas yang dihadiri lebih 5,000 belia dari seluruh negeri juga jelas menunjukkan keprihatinan beliau untuk terbabit dalam aktiviti belia dan mahu berhubung secara langsung dengan belia dari seluruh negeri ini.
Hakikat bahawa hanya sekitar 10 peratus sahaja belia di negeri ini yang berpersatuan seharusnya menerbitkan kebimbangan dan menerusi beberapa kaedah khususnya kerjasama dengan Majlis Belia Negeri Sembilan, diharap dapat ditingkatkan sehingga 60 peratus seperti yang disarankan oleh Menteri Besar.
Mendekati golongan belia pada masa ini juga berbeza berbanding masa lepas, dengan pelbagai kaedah, platform dan aplikasi baru yang sentiasa mengalami evolusi menurut arus permodenan.
Selain sistem Infobelia, beliau juga mendekati belia menerusi laman web sosial termasuk Facebook yang dianggap kini sebagai medium paling efektif dalam penyaluran maklumat terkini dan pantas.
Beliau percaya, sekiranya masalah birokrasi dapat dikurangkan, beliau yakin, belia akan lebih mudah didekati dan ini pastinya membantu jentera pentadbiran kerajaan negeri menjayakan pelbagai agenda pembangunan fizikal dan spiritual.
“Saya harap kaedah kaedah ini akan memberi ruang kepada belia dan masyarakat menghadapi kerenah birokrasi yang kadang-kadang menapis pandangan-pandangan, idea atau maklumat yang mereka hendak sampaikan,” katanya.
Sistem penghantaran mesej dengan cara menaip : MBNSmesejdan hantar ke 06-7642000 itu dilihat sebagai satu pendekatan baru yang dapat memintas banyak masalah birokrasi.
Dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi golongan belia, peranan Dewan Tertinggi Majlis Belia Negeri Sembilan juga ditagih dalam menggembeling tenaga dan fikiran dan bertindak sebagai perancang menggerakkan aktiviti belia di negeri ini dengan lebih tersusun. Dewan berkenaan dianggotai oleh kesemua 23 pengerusi persatuan belia di negeri ini untuk memberikan idea dan pandangan cara terbaik memperkasakan belia.
Begitu juga, penubuhan Sekretariat Tetap Rancangan Pembangunan Belia Negeri Sembilan sebelum ini yang meletakkan seorang penyelaras belia di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri bertujuan memastikan golongan belia tidak tertinggal dari arus pembangunan negeri.
Kesemua langkah diambil bagi memastikan bahawa belia di negeri ini dapat diperkasakan menerusi pendidikan, sukan dan rekreasi, ekonomi, kebudayaan dan kesenian.
Jika ini dapat dilakukan secara efektif, usaha untuk membentuk jati diri belia, dengan penyediaan ruang dan peluang di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri dapat dilaksanakan secara efektif. Gerakan memperkasa belia juga perlu untuk memastikan agenda pendidikan dan modal insan, sukan dan rekreasi, ekonomi dan keusahawanan dan kebudayaan dan kesenian tercapai.
Pelan tindakan rancangan pembangunan belia di Negeri Sembilan yang digerakkan sebelum ini yang menekankan kepada pendidikan dan kemahiran, kesihatan dan kecergasan, pekerjaan dan ekonomi, jati diri dan sosio-budaya serta persatuan dan partisipasi, merupakan antara tindakan pro-aktif Menteri Besar bagi memperkasa golongan belia.
Ia bagi membangunkan belia di negeri itu menjadi belia yang kukuh dari segi spiritual, psikologikal, intelektual dan fizikal, berilmu tinggi dan berbudaya, berdikari dan produktif.
Belia di Negeri Sembilan sebenarnya mempunyai pelbagai peluang memajukan diri, dan inisiatif yang digerakkan dan diilhamkan oleh Dato Seri Mohamad Hasan sebelum ini banyak menjurus kepada pembangunan dan pembinaan kapasiti serta pengupayaan belia agar menjadi barisan pimpinan masa depan yang boleh diharapkan.
DARI MEJA PENGARANG KHAS N9KINI.COM












