Remaja perlu menjadi terbaik dikalangan terbilang – Yang diPertua PEKERTI Negeri Sembilan
SEREMBAN, 06 Julai – Puspanita Cawangan Negeri Sembilan mengadakan kerjasama pintar dengan PPD Seremban di dalam menangani masalah dan gejala sosial remaja hari ini.
Inisiatif ini direalisasikan di dalam Program Keselamatan Keluarga Tanggungjawab Kita (Sekata) Edisi Remaja berkonsepkan kursus jati diri yang bermula 6hb – 8hb Julai di Allson Kelana Resort Seremban.
Majlis disempurnakan oleh Raja Datin Seri Hjh Salbiah Tengku Nujumuddin, Yang di-Pertua PEKERTI Negeri Sembilan, petang tadi.
Di dalam ucapan beliau menyatakan bahawa remaja hari ini perlu mengemaskan diri untuk menghadapi cabaran hari esok dan menjadikan hari ini lebih baik dari semalam.
Justeru itu, peserta yang hadir hari ini merupakan insan terpilih dan bakal menerajui kepimpinan di masa akan datang, sama ada dalam keluarga, masyarakat, di tempat kerja dan sebagainya.
Katanya lagi, “selama berada di sini, pastikan mendapat manfaat kerana pengisian yang di bawa oleh fasilitator amat menarik dan apa yang penting, peserta menghargai kerjasama pintar ini sekaligus menjadi terbaik dikalangan terbilang.”
Beliau juga berharap pengisian yang di bawa oleh fasilitator kursus ini memberi nilai tambah kepada peserta apabila tamat berkursus kelak.
Seramai 29 orang pelajar terlibat di dalam kursus ini di bawah unit kaunseling sekolah bagi proses peningkatan jati diri dan pembangunan modal insan yang akan dikendalikan oleh fasilitator dari Lembaga Pembangunan Keluarga Kemajuan Negara (LPKKN).
Beliau seterusnya memberi sumbangan PEKERTI kepada para peserta dan meluangkan masa beramah mesra dengan mereka.
Turut hadir, Datin Hjh Paezah Ismail, Pengerusi Puspanita Cawangan Negeri Sembilan, Pn Hjh Kalsom Khalid, Timbalan Pengarah Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan.













