Galas – Calon BN dan calon PAS sahaja yang bertanding di Galas
GUA MUSANG, 26 Okt — Pusat penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Daerah Gua Musang di sini mula dibuka pukul 9 pagi ini.
Calon Barisan Nasional (BN) Abdul Aziz Yusof tiba di pusat penamaan calon itu pukul 9.05 minit diiringi Setiausaha Agung BN Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor, Naib Presiden MCA Datuk Dr Ng Yen Yen dan Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Turut mengiringi Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.
Calon Pas Dr Zulkefli Mohamad pula tiba kira-kira pukul 9.30 pagi dengan diiringi Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalannya Nasharuddin Mat Isa dan naib Presiden Datuk Mahfuz Omar. Turut sama mengiringi calon ialah Menteri Besar Selangor Datuk Abdul Khalid Ibrahim dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali.
Seawal pukul 7.30 pagi, laluan masuk ke pusat penamaan calon itu mula dibanjiri lebih 6,000 penyokong parti bertanding untuk memberikan sokongan kepada calon masing-masing.
Kumpulan penyokong yang membawa sepanduk dan bendera parti masing-masing, diasingkan pada jarak 100 meter antara satu sama lain di luar pagar Pejabat Tanah dan daerah Gua Musang.
Selain petugas pilihan raya, pasukan polis termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dilihat berkawal di sekitar pusat penamaan calon itu untuk memastikan proses hari ini berjalan lancar.
Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima, 46, daripada PAS, yang meninggal dunia akibat kanser usus pada 27 Sept lalu.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, 11,553 pengundi layak untuk mengundi dalam pilihan raya kecil itu iaitu Melayu 7,125 orang atau 61.7 peratus, kaum Cina 2,317 atau 20.06 peratus, India 185, Bumiputera Siam 10 orang dan Orang Asli 1,889 orang.
Terkini : Sah , 1 lawan 1 di Galas . Calon BN Sdr Aziz Yusof akan di tetang oleh Calon PAS Dr Zulkefli Mohamad.











