Petugas media dibenar mengundi pos

February 23, 2012 by  
Filed under General

Share |

PUTRAJAYA 23 Feb. – Berita baik untuk semua petugas media di negara ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersetuju membenarkan mereka mendaftar sebagai pengundi pos menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

Persetujuan itu dicapai pada pertemuan lebih sejam antara SPR dan wakil-wakil media di sini, khusus bagi membincangkan kesukaran petugas media untuk mengundi disebabkan kekangan tugas.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata, petugas media boleh dikategorikan pengundi pos di bawah Perkara 3(1)(f) Peraturan-Peraturan Pilihanraya (Pengundian Pos) 2003 dengan syarat mereka telah terlebih dahulu mendaftar sebagai pengundi.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Penambahbaikan Pilihan Raya (PSC) yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili pada 6 Mac ini sebelum boleh dimuktamadkan.

“Saya tidak nampak sebarang masalah untuk melaksanakan keputusan ini kerana sememangnya cadangan tersebut memang datang daripada jawatan kuasa itu sendiri,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di sini, hari ini.

Menurut Abdul Aziz, mengikut peraturan dan undang-undang, setiap permohonan untuk mendaftar sebagai pengundi pos hanya boleh dibuat dan diwartakan selepas penamaan calon sekiranya terdapat pertandingan.

Bagaimanapun, katanya, mana-mana petugas media yang telah diwartakan sebagai pengundi pos tidak boleh menukar status kepada pengundi biasa selain ia hanya sah untuk satu pilihan raya sahaja.

Beliau berkata, untuk melicinkan pentadbiran, pihak majikan petugas media diminta menyusun tenaga kerja pilihan raya secepat mungkin dan mengenal pasti petugas yang benar-benar layak untuk memohon pengundi pos.

Katanya, SPR juga bersetuju meluaskan skop petugas media supaya tidak terhad kepada wartawan semata-mata dan pihaknya bersedia memberi taklimat kepada media berhubung perkara itu.

“Taklimat ini penting bagi mengelak sebarang kesilapan teknikal yang sering berlaku kepada undi pos. Pihak media juga diharap dapat bekerjasama dengan SPR supaya mereka benar-benar memahami proses pengundian pos,” katanya.

Selain itu, Abdul Aziz juga meminta majikan memberi perhatian kepada setiap keperluan termasuk pengesahan jawatan petugas bagi mengelak penyalahgunaan undi pos petugas media oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Selain petugas media, PSC turut menyenaraikan doktor dan jururawat sebagai antara golongan yang perlu diberi kebenaran mengundi secara pos.

Namun, hasil pertemuan SPR dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hasan Abdul Rahman baru-baru ini mendapati rata-rata kumpulan itu masih boleh mengundi secara biasa.

Enter Google AdSense Code Here

Comments are closed.