Perutusan Perdana Menteri : Sepakat jaga negara

August 19, 2012 by  
Filed under News1

Share |
Datuk Seri Najib Razak mengajak rakyat dan umat Islam memastikan negara ini kekal aman dan selamat serta menginsafi bahawa kesejahteraan dan keselamatan yang dinikmati hari ini bukanlah datang bergolek.

Dalam perutusan Aidilfitri beliau, Perdana Menteri berkata, kerajaan menyedari bahawa sebuah Malaysia maju perlulah juga sebuah Malaysia yang selamat dan sejahtera.

Kita mahukan Malaysia yang aman daripada ancaman luar dan dalaman, di mana kawasan kejiranan dan jalannya bebas jenayah.

Negara di mana rakyatnya merasa aman dan selamat… sebuah negara yang terbaik untuk membesarkan anak-anak Malaysia, katanya.

Tangani jenayah era mutakhir

Bagi mencapainya, Perdana Menteri berkata ia memerlukan pendekatan bersepadu serta rakyat yang prihatin terhadap keluarga, jiran, rakan dan rakyat Malaysia seluruhnya.

Katanya, kerajaan akan memastikan semua agensi yang bertanggungjawab akan lebih berkesan untuk menangani cabaran mencegah jenayah era mutakhir.
Kita menyedari usaha ini memerlukan kaedah pencegahan jenayah yang baru, kepimpinan yang dinamik, akauntabiliti tinggi, struktur organisasi yang sesuai, latihan relevan dan peralatan yang moden, katanya.

Beliau berkata, umat Islam di negara ini amat bertuah kerana dapat hidup di dalam negara yang mencipta kejayaan berterusan dan sentiasa dilimpahi rahmat kejayaan, walaupun dunia keliling dilanda pelbagai kemelut politik dan ekonomi.

Hari ini kita lihat bagaimana kemelut politik di Asia dan Afrika, kita dapat saksikan bagaimana negara Eropah dan Amerika yang dianggap maju pun ditimpa krisis ekonomi akibat kegagalan mengurus negara dengan baik, katanya.

Cipta kejayaan

Najib berkata, di tengah-tengah semua kekusutan itu, Malaysia berjaya mencipta kejayaan sebagai sebuah negara majmuk yang dirahmati dengan perpaduan nasional.

Sempena hari yang mulia ini, beliau meminta umat Islam untuk meneruskan tradisi rumah terbuka, dengan membuka seluas-luasnya pintu rumah serta pintu hati untuk rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan agama.

Pada kesempatan ini, saya ingin menyusun jari sepuluh memohon ampun dan maaf bagi pihak diri saya, isteri dan keluarga di atas apa-apa yang terkhilaf, katanya.

Syukuri nikmat

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan Aidilfitri beliau, meminta umat Islam sentiasa mensyukuri nikmat Allah SWT dengan mempertahankan keamanan, keharmonian dan kestabilan yang dikecapi selama ini.

Tiada pergolakan, tiada pertumpahan darah, tiada kecelakaan besar melanda negara kita seperti mana dialami saudara Islam kita di negara yang sedang bergolak dan ditimpa bencana.

Insafi juga insan yang berkurang upaya dan rakan seagama kita yang sengsara kerana negara mereka porak peranda akibat sengketa, katanya.

Pulang berhari raya

Sempena lebaran ini juga, saya ingin mengajak anak-anak supaya pulang berhari raya ke pangkuan ibu bapa dan sanak saudara. Jangan biarkan mereka hiba menanti kepulangan anak yang tak kunjung tiba. Sempurnakan hari raya dengan meluangkan waktu bersama keluarga tercinta, katanya.

Bagi yang memandu, Muhyiddin meminta mereka berhemah, bersabar dan berhati-hati di jalan raya supaya selamat sampai ke destinasi masing-masing.
BERNAMA

Enter Google AdSense Code Here

Comments are closed.