Perluas aspek keselamatan jalan raya di peringkat sekolah

May 21, 2010 by  
Filed under Berita Bergambar

Share |

SEREMBAN – Kerajaan negeri akan memperluaskan aspek keselamatan jalan raya melalui penubuhan Kelab Keselamatan Jalan Raya di peringkat sekolah bagi memupuk kesedaran di kalangan pelajar.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Infrastruktur, Air, Tenaga dan Telekomunikasi negeri, Datuk Ismail Lasim berkata, penubuhan kelab itu bukan sahaja memberi impak positif kepada pelajar malah ia membentuk kesedaran mengenai undang-undang jalan raya.

Jelasnya, setakat ini sebanyak 60 buah sekolah di seluruh negeri ini telah menubuhkan kelab berkenaan dan sambutannya amat menggalakkan.

“Kita melihat aspek pendidikan jalan raya bukan hanya tertumpu untuk golongan tertentu sahaja, tetapi ia boleh diperluaskan di semua peringkat lebih-lebih lagi pelajar sekolah.

“Oleh itu, penubuhan Kelab Keselamatan Jalan Raya di sekolah mampu memberi impak positif terhadap nilai kesedaran apabila mereka berada di jalan raya,” katanya.

Ismail berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup Pertandingan Lalu Lintas Shell dan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MJKR) di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Kilang Penapis Shell, Port Dickson, Rozano Saad.

Sementara itu, Ismail juga menjelaskan pihaknya menyambut baik usaha yang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat korporat bersama kerajaan negeri dalam usaha memupuk kesedaran mengenai aspek keselamatan jalan raya.

Malah katanya, ia juga dilihat sebagai satu perkongsian pintar dalam memastikan jumlah kemalangan yang dilihat terus meningkat dikurangkan melalui program pendidikan seperti ini.

“Kita di peringkat kerajaan negeri juga akan menganjurkan pelbagai program yang bersesuaian termasuklah memberi kursus kepada guru-guru sekolah mengenai aktiviti keselamatan jalan raya.

“Pendekatan ini diambil bagi membolehkan para pelajar dan guru diberi pendedahan mengenai keselamatan jalan raya supaya dipraktikkan di semua sekolah di negeri ini,” katanya.

Enter Google AdSense Code Here

Speak Your Mind

Tell us what you're thinking...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!