Penyenaraian FGVH diteruskan tanpa KPF
KUALA LUMPUR 23 Feb. – Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia yang dijadualkan pada Mei atau Jun depan tetap diteruskan walaupun tanpa penyertaan Koperasi Permodalan Felda (KPF).
Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, isu pembatalan Mesyuarat Agung Perwakilan Khas KPF yang sepatutnya dilangsungkan hari ini tidak menyebabkan proses penyenaraian tergendala.
Menurut beliau, sebuah syarikat khas akan ditubuhkan agar kepentingan peneroka dalam struktur baru FGVH selepas penyenaraian tetap terjamin.
”Bagaimanapun, saya tidak dapat terangkan secara lanjut tentang penstrukturan semula FGVH kerana ia melanggar peraturan Suruhanjaya Sekuriti (SC).
”Saya cuma boleh beritahu, pada masa ini, kita mulakan proses dokumentasi dan penghantaran maklumat kepada SC,” katanya pada sidang akhbar sebelum sesi taklimat pelan kedua penyenaraian kepada perwakilan KPF dari seluruh negara di Dewan Perdana Felda di sini hari ini.
Sesi taklimat tersebut diadakan secara tertutup bagi menggantikan Mesyuarat Agung Perwakilan Khas KPF yang dibatalkan berikutan mendapat perintah injunksi dari Mahkamah Tinggi Kuantan bertarikh 17 Februari lalu.
Jelas Mohd. Isa, pihak Felda menjangka bantahan yang ditimbulkan sebilangan kecil anggota KPF dan menyediakan pelan alternatif bagi memastikan penyenaraian FGVH berjalan lancar.
Beliau memberitahu, selepas penyenaraian FGVH, KPF masih kekal sebagai sebuah koperasi dan tetap membayar dividen setiap tahun kepada kira-kira 112,000 peneroka yang menganggotainya.
”Kita akan cari kaedah lain untuk gantikan KPF dalam FGVH. Peneroka tidak perlu bimbang dan saya akan beri penerangan kepada mereka agar lebih jelas,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya tentang kenyataan Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah, Zamil Ibrahim berhubung siapa bakal menguasai FGVH, Mohd. Isa menjelaskan beliau tidak tahu tentang perkara itu.
















