Penyelenggara kilang curi barangan majikan
JOHOR BAHRU, 29 Ogos – Polis menahan seorang penyelenggara kilang biskut selepas dipercayai mencuri beberapa barangan perhiasan milik majikannya termasuk mangkuk, sudu emas dan chopstik bernilai RM40,000 di kilang berkenaan, di Taman Desa Cemerlang dekat sini.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, lelaki berumur 35 tahun itu ditahan di kilang berkenaan pada pukul 6 petang Rabu lepas selepas polis menerima laporan kehilangan barangan berkenaan daripada majikan terbabit, seorang yang berpangkat Datuk, pada 17 Ogos lepas.
“Ekoran penahanan lelaki itu, polis kemudian menahan dua lagi lelaki berumur 28 dan 30 tahun pada Sabtu lepas yang merupakan pembeli mangkuk dan sudu emas terbabit.
“Seorang daripada mereka ditahan di sebuah kedai emas di Pekan Ulu Tiram manakala seorang lagi ditahan di sebuah rumah di Kota Tinggi,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Mokhtar berkata, polis merampas mangkuk dan sudu emas yang dibeli dari Hong Kong sejak 12 tahun itu berserta tiga keping resit jual beli selain menemui semula sebatang pen jenama Parker dan satu beg duit milik majikan berkenaan yang dipercayai turut dicuri sebelum itu.
Beliau berkata, penyelenggara kilang terbabit sudah bekerja di kilang berkenaan sejak dua tahun dan siasatan mempercayai chopstik emas berkenaan telah dileburkan.











