Penganjur Himpunan Janji Bersih diminta patuhi undang-undang: Ismail
KOTA BHARU, 12 Ogos : Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menasihati penganjur Himpunan Janji Bersih supaya tidak membelakangkan undang-undang negara ketika menganjurkan perhimpunan terbabit di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 30 Ogos ini.
“Tapi saya harap mereka tidak bawa agenda untuk kepentingan pihak tertentu dan membelakangkan undang-undang negara,” katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan akan menganjurkan Himpunan Janji Bersih sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 di Dataran Merdeka pada malam 30 Ogos.
Ismail berkata, penganjur perhimpunan juga perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012, jika mahu mengadakan sebarang perhimpunan.
Katanya, polis sentiasa berada dalam tahap bersedia dan keadaan terbaik untuk menghadapi sebarang situasi yang memerlukan kawalan keselamatan. – BERNAMA











