Pemuda UMNO mahu selami isu setempat

October 25, 2010 by  
Filed under Berita Nasional

Share |

GUA MUSANG 25 Okt. – Pergerakan Pemuda UMNO akan mengambil kesempatan daripada kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas untuk menyelami isu setempat terutama masalah perumahan serta peluang pekerjaan bagi golongan muda yang perlu diselesaikan.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, pilihan raya bukannya bermakna tumpuan harus diberikan kepada soal politik sahaja tetapi masalah-masalah seperti itu juga perlu diatasi dengan segera.

“Kita akan lebih menumpukan isu tempatan kerana mengikut kajian yang kita buat, apa yang menjadi keutamaan pengundi di sini adalah masalah seperti ekonomi, peluang pekerjaan dan perumahan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang di Taman Wangi di sini hari ini.

Sementara itu, Khairy berharap parti lawan menunaikan janji mereka sebelum ini untuk tidak mengaibkan atau menggunakan isu peribadi dan menyerang seseorang pemimpin atau calon ketika berkempen pada pilihan raya kecil itu nanti.

Katanya, parti pembangkang sememangnya terkenal dengan sikap mereka yang selalu mengaibkan pemimpin walaupun pada masa sama berjanji tidak melakukannya.

“Dalam mana-mana pilihan raya kecil, kita tidak ada niat untuk menyerang keperibadian calon dan pemimpin parti lawan.

“Kita akan memantau untuk melihat sama ada janji pembangkang itu dapat ditunaikan sebab selalunya yang memulakan serangan peribadi adalah mereka sendiri, oleh itu ceramah mereka perlu dipantau,” katanya.

Enter Google AdSense Code Here

Comments are closed.