Pembangkang sukar rampas NS
JELEBU, 10 Julai – Sukar untuk pembangkang menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di negeri ini melainkan tercetusnya pergaduhan sesama sendiri di kalangan pemimpin dan ahli BN.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, walaupun pembangkang menegaskan untuk merampas Negeri Sembilan pada pilihan raya umum akan datang ia bukan perkara mudah.
“BN negeri optimis, kawasan Jelebu dan Kuala Pilah akan dimenangi BN, malah tidak kurang dari lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tewas pada pilihan raya umum lalu akan dapat kita rampas kembali,” katanya di sini baru-baru ini.
Tegas Mohamad, resipi kejayaan BN itu kelak akan dicetuskan melalui semangat muafakat yang terbina antara semua parti komponen serta rasa hormat antara satu sama lain yang tidak dimiliki pembangkang.
“Orang tua-tua kata, muafakat punca selamat, sengketa punca celaka. Percayalah kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana beliaulah yang akan memutuskan apa sahaja perancangan untuk rakyat negara ini,” jelasnya.
Kata Mohamad, intipati kejayaan itu pula hendaklah bersandarkan kepada perkhidmatan yang baik kepada rakyat serta membuktikannya melalui tindakan dan kerja.
“Untuk menang pada pilihan raya, rakyat mesti mengundi BN. Macam mana rakyat hendak mengundi kita, hati rakyat perlulah dijaga. Jadi untuk menjaga hati rakyat, perkhidmatan kita perlulah yang cemerlang,” katanya.
Tambah beliau, hari ini terbukti hanya BN sahaja parti yang memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dan selaku kerajaan tempat rakyat bergantung.
“Siapa yang hendak bergantung pada pokok yang condong. Tentulah pokok yang kukuh, teguh berdiri seperti pokok BN. Parti UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan semua dalam komponen adalah jentera yang kuat dan bersedia berkhidmat kepada rakyat,” ujarnya.
Mohamad juga mengingatkan pemimpin masyarakat mahupun parti tidak berpaling tadah dan menyebarkan fitnah dengan menyatakan Negeri Sembilan akan ditawan pembangkang.
“Itu tidak betul kerana kita mesti menunjukkan kekuatan dan orang ramai sentiasa memerhatikan gerak geri kita,” kata Mohamad.












