Noraniza sanggup berkorban

June 29, 2012 by  
Filed under Hiburan

Share |

MENJUNJUNG tinggi irama tradisi, seni bangsa yang dicintai, penyanyi Noraniza Idris, 44, sanggup menangguhkan pembikinan album terbarunya, Primadona.

Keputusan murni diambil sekali gus mengenepikan kepentingan diri kerana bagi wanita terkenal jolokan Ratu Etnik itu, irama tradisi cerminan budaya, bangsa dan agama sesebuah negara.

“Pengorbanan ini walaupun lelah dan memerlukan bukan sedikit usaha, ia buat saya bahagia. Kalau ikutkan boleh sebenarnya jika saya mahu mendahulukan pembikinan album, tetapi saya memilih untuk menjalankan program Akademi Tatih Seni Malaysia (Akademi Latihan Kesenian Malaysia),” katanya.

Sebagai seorang pencinta irama tradisi dan seni budaya, wanita mesra disapa Ani itu mahu menerapkan kecintaan yang sama di hati masyarakat terutamanya golongan muda.

Ujar Ani, budaya merujuk secara meluasnya iaitu kebudayaan adalah aset penting sesebuah negara, namun ia seakan kurang dipelihara kepentingannya. Kewujudan budaya membezakan setiap negara dengan negara yang lain sekali gus melambangkan identiti masyarakat.

“Tanpa budaya serta individu yang menggerakkannya, maka hilanglah keistimewaan di bumi Malaysia ini. Kerana itu saya berkorban. Tidak berbaloi buat album, tetapi orang tidak mahu mendengar.

“Bukan tidak percaya dengan kemampuan diri, malah amat terharu kerana kerana sehingga hari ini masih ada kelompok peminat menyokong padu perjuangan saya. Cuma, bagaimanakah kita ingin menarik pendengar baru sedangkan irama tradisi atau etnik kreatif bagai dipinggirkan dalam siaran radio.

“Justeru itu, program anjuran Kementerian Belia dan Sukan dengan sokongan jitu menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, bergabung dengan syarikat saya, Noraniza Idris Venture Sdn Bhd, untuk menjalankan aktiviti kesenian.

“Program yang sedang giat kami jalankan ketika ini adalah program Mesra Belia 1Felda 1Program Malaysia yang berlangsung di Kemaman, Terengganu selama enam minggu. Membabitkan 60 belia dari Kemaman sebagai kumpulan perintis, insya-Allah ia bakal dilanjutkan ke seluruh negara.

“Ia mensasarkan kepada beberapa peringkat generasi sebagai satu inisiatif kempen kasih sayang dan kesedaran peringkat akar umbi berteraskan kesenian Malaysia,” kata ibu tunggal kepada Mohd Alif Haikal, 21, dan Mohd Alfeq Haikal, 17, ini.

Modul yang terdapat di dalam program berkenaan, menurut Ani merangkumi sejarah kesenian, skil setiap kesenian dan ekonomi negara, motivasi tentang kerjaya seni dan pembangunannya.

Ditemani suami tercinta, Jeffri Hudi yang dikahwini pada tanggal 1 Oktober 2011, pada pertemuan Khamis lalu, penyanyi terkenal dengan lagu Dikir Puteri dan Awallah Dondang itu sempat melahirkan kebimbangannya terhadap nasib irama tradisi.

“Terkadang rasa sedih dan terasing dalam industri seni meskipun saya salah seorang daripada penggiatnya kerana lagu tradisional dan etnik tidak diketengahkan atau mendapat tempat di radio.

“Hendak salahkan pihak radio saja tidak adil, tetapi saya merasakan kerajaan perlu melakukan sesuatu. Cuma satu saja cara paling berkesan dan mampu merubah kebimbangan ini iaitu campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

“Gesaan beliau sebagai pemimpin yang dihormati rakyat terhadap stesen radio misalnya mewujudkan kuota untuk siaran lagu tradisional pastinya akan membuka mata ramai pihak. Sebagai penyanyi dan pencinta irama tradisi saya hanya dapat membantu kerajaan menggerakkannya,” katanya.

Beralih topik perbualan kepada pembikinan album pula, Ani kini dalam proses melamar penyanyi muda Shila Amzah sebagai pasangan duetnya.

Menetapkan konsep zapin fusion beberapa lagu lama dirakamkan antaranya Dekatlah Padaku dendangan asal Datuk Sharifah Aini, Kerana Kau (Sanisah Huri) dan Pengorbanan (Rafeah Buang).

Manakala pada 1 dan 2 Julai ini, bekas peserta Bintang RTM itu bakal menjayakan Ekstravaganza Dikir: Segalanya Dikir! di Istana Budaya yang turut menampilkan penyanyi tersohor, Ziana Zain, Awie (Wings) dan Jamal Abdillah.

Program bersempena Festival Muzik Kuala Lumpur 2012 (FMKL) anjuran Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) tampil dengan kelainan pada kali ini dengan mengangkat empat pengisian yang berteraskan khazanah seni Malaysia.

“Saya teruja untuk menjayakan persembahan ini kerana persembahan kami nanti akan dimeriahkan dengan kehadiran 500 pendikir termasuk pemuzik yang berpadu menjadikan satu irama malam itu.

“Saya sendiri merasakan ia satu pengalaman yang baru dan yang lainnya turut merasakan hal yang sama. Sepatutnya persembahan seperti ini diperkenalkan sejak dulu. Terus saja pada pengisian persembahan, saya akan mendendangkan dua buah lagu iaitu Dikir Puteri dan Hala Timur.

“Berkenaan dengan album terbaru pula, saya kepingin bekerjasama dengan Shila dan sudah pun memaklumkan hasrat hati kepada bapa penyanyi itu, ND Lala. Shila adalah penyanyi muda berbakat dan menjadi harapan untuk terus mempopularkan irama tradisi kerana dia mempunyai kemampuan itu,” katanya.

Enter Google AdSense Code Here

Comments are closed.