Najib lancar lapan model baru RMR
MELAKA 23 Feb. – Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan model baru Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang dibangunkan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Durian Tunggal sempena lawatan Perdana Menteri ke negeri ini, Jumaat ini.
Pengerusi SPNB, Datuk Ir. Idris Haron berkata, rumah yang akan dilancarkan itu mempunyai lapan model dengan reka bentuk terbaru, kontemporari serta mesra keluarga bagi pilihan rakyat yang layak memohon.
Menurutnya, rumah model baru itu menguna pakai Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang dilihat berdaya tahan dan mengutamakan reka bentuk lebih dinamik, ekonomi serta inovatif.
“Najib juga akan turut melancarkan sistem permohonan secara online bagi meningkatkan kecekapan dan memudahkan golongan yang layak memohon dengan lebih cepat dan pantas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, SPNB komited untuk membina dan menyiapkan sejumlah 10,000 unit RMR seperti yang disasarkan oleh kerajaan dengan peruntukan sebanyak RM200 juta disalurkan bagi program ini bagi tahun 2012.
















