MoU pinjam dua panda 10 tahun dimeterai

June 16, 2012 by  
Filed under Berita Bergambar

Share |

PUTRAJAYA: 16 Jun – Malaysia dan Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China (CWCA), semalam, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk meminjam dua beruang panda dari republik itu selama 10 tahun.

NAJIB bersama He Guaqiang (dua dari kiri) dan Mustapa menyaksikan majlis menandatangani perjanjian surat hasrat bagi penubuhan usaha sama ekonomi antara Majlis Perbandaran Kuantan diwakili Zulkifli (duduk kanan) dan Bandaraya Qinzhou City diwakili XiaoQin, di Putrajaya, semalam.

Datuk Seri Najib Razak berkata, kesediaan Kerajaan China meminjamkan beruang panda itu adalah simbolik keakraban hubungan dagangan dan diplomatik yang terjalin sejak 1974.

Perdana Menteri berkata, idea meminjamkan beruang panda itu tercetus ketika beliau mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Wen Jiabao, ketika lawatan ke Chendu, Nanning, April lalu.

“Saya benar-benar gembira apabila Perdana Menteri Wen memberi maklum balas segera dan memberi persetujuannya untuk meminjamkan panda ini kepada Malaysia.

“Panda haiwan yang amat disayangi, mudah mesra dan dihargai bukan saja oleh orang China, malah masyarakat seluruh dunia dan kehadirannya pasti akan menjadi tarikan khas kepada rakyat Malaysia dan pengunjung ke sini (Putrajaya),” katanya pada sidang media selepas menyaksikan MoU antara kerajaan Malaysia dan CWCA di sini, semalam.

Malaysia diwakili Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Datuk Abdul Rasid Samsudin, manakala, CWCA diwakili Setiausaha Agungnya, Zang Chunlin.
Perjanjian pemuliharaan beruang panda dengan China itu mencerminkan komitmen Malaysia menyokong usaha republik itu menambah bilangan spesies haiwan berkenaan yang diancam kepupusan.

Kerjasama Malaysia-China itu selaras Sasaran Aichi 2010 di bawah Konvensyen Kepelbagaian Biologi yang menyokong usaha pemuliharaan untuk mengelak kepupusan sesuatu spesies.

Hubungan Malaysia-China yang dimulakan sejak zaman pentadbiran Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein menjadi Perdana Menteri, kini lebih erat melalui perjanjian berkenaan.

Dalam pada itu, Najib berkata, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) juga sudah menyatakan kesediaan untuk menyalurkan separuh daripada dana untuk pembinaan kurungan untuk kemudahan menyimpan panda itu di Taman Wetland Putrajaya, tidak lama lagi.

“Sebaik saja kemudahan disediakan, kami akan lakukan apa yang perlu bagi memenuhi keperluan teknikal untuk menerima panda ini,” katanya.

Enter Google AdSense Code Here

Comments are closed.