Mengingati kembali pembunuhan Srebrenica


SEMPENA ulang tahun ke-15 pembunuhan Srebrenica pada 11 Julai, 1995, izinkan saya menyiarkan semula puisi yang saya tulis untuk buku “Mencari Dugalia Huso” (Berita Publishing, 2006).
Pada bulan November, 1995, ketika hemisfera utara dibalut salji dan empat hari selepas Perjanjian Dayton (Dayton Agreement) dicapai antara pihak-pihak yang berperang di Bosnia-Herzogovina dalam rundingan tajaan Presiden Bill Clinton di Pangkatan Udara Wright-Patterson, Dayton, Ohio, Amerika Syarikat, saya melawat bumi berdarah itu.
Saya ke sana dengan sekumpulan wartawan negara-negara Islam atas jemputan Kerajaan Inggeris. Kami ke sana dengan pasukan Tentera British yang menjadi anggota pasukan pengaman Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).
Puisi yang saya tulis selepas lawatan lima hari itu berbunyi:
KEMBALI ingatan saya
kepada ratapan wanita di Tuzla
yang saya ingat namanya Munira
(Nama penuhnya Munira Hadzic, berusia 46 tahun)
penjaga pusat pemulihan wanita
mangsa nafsu tentera dan militia Serbia
tidak tahu di mana suami dan anak lelakinya.
Munira merayu,
meminta dunia mendengar ratapan
wanita-wanita ternoda
yang hilang maruah dan harga diri
hidupnya ketandusan erti
bertanya, “ Mengapa aku tidak mati?”
Munira berkata lagi:
“Tuan, tolonglah beritahu dunia
ratapan kami wanita Bosnia-Herzegovina
suami dan anak lelaki kami entah di mana
tolonglah cari mereka
kami takut mereka menjadi mangsa
kekejaman tentera Serbia.
“Kami dulu dari Srebrenica
kononnya “safe area”
tetapi akhirnya menjadi neraka.
“Kami dan anak-anak gadis kami dinodai
Suami dan anak lelaki kami dibawa pergi
pada malam gelap geleta
meredah ladang dan hutan bersalji
sehingga laungan ‘selamat tinggal’ mereka
tidak kedengaran lagi.”
Buat seketika saya berasa
ratapan Munira sekadar histeria
seorang wanita
yang kehilangan punca dan bicara.
Atau kita bangkit sekali lagi
dengan azam sekeras besi
dan kemanusiaan sejati
seperti di Bosnia-Herzegovina
di mana nama Malaysia gah
dan kemanusiaan kita terserlah!
Saya bertanya diri sendiri:
“Apakah manusia sekejam ini,
membunuh kerana nafsu
lebih kejam daripada haiwan pemburu?”

Nota kaki: 8,000 orang lelaki dan kanak-kanak lelaki Islam Bosnia dibunuh beramai-ramai oleh penjenayah Serb dalam operasi ethnic cleansing mereka.











