Menambah pendapatan sumber am dari projek pertanian
PAROI, 13 Sept – Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan, mengumumkan peruntukan sebanyak RM320,000 yang melibatkan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) seluruh Negeri Sembilan.
Peruntukan tersebut diumumkan ketika beliau hadir menyempurnakan Mesyuarat Agung Perwakilan Pertubuhan Peladang Negeri kali ke-29 tahun 2012 di Dewan Kompleks Belia dan Sukan, Paroi Seremban, pagi tadi.
Beliau turut menerima Zakat Perniagaan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN.NS) berjumlah RM14,433.30 dan Zakat Perniagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sebanyak RM280,153.00 yang diserahkan oleh Dato’ Hj Ibrahim Jahaya, Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri, Negeri Sembilan.
Di dalam ucapan beliau, beliau menjelaskan bahawa Negeri Sembilan kini berada pada kedudukan yang baik dan banyak kawasan dibangun dengan sebaik mungkin.
Beliau turut menjelaskan, “MAINS turut mewujudkan estet untuk menambah sumber am yang boleh membantu rakyat di negeri ini. Sumber am tersebut bukan sahaja digunakan untuk mensejahterakan rakyat, tetapi untuk kita membangunkan modal insan yang cerdik pandai.
“Pembangunan modal insan penting untuk jangka masa panjang, kerana mereka pewaris kepimpinan pada hari ini. Jika tidak disemai dari usia muda, mereka akan terus alpa dan tidak ada jati diri. ” Ujar beliau.
Beliau seterusnya menambah, “Sesuatu perkara perlu ada roh atau semangat, barulah pelaksanaan mendapat kesan baik.”
Katanya, ” untuk membina sebuah negara untuk rakyat, bukan dengan berjanji semuanya percuma, kemudian rakyat negara mati kebuluran tidak makan. Segala perkara yang difikirkan oleh pemimpin, adalah baik untuk rakyat”
“Oleh yang demikian, semua perlu buka mata dan bijak menilai agar maruah dan negara tidak tergadai.” Ujar beliau lagi.
Beliau seterusnya menyempurnakan acara simbolik penyerahan lori pengangkut Self-Loader LPP Kepada PPN Negeri Sembilan di perkarangan tempat letak kereta KOMBES.
Turut hadir, Dato’ Arpan Shah bin Satu, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang, Dato’ Hj Yunus Rahmat, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Sembilan.
















































