Memperingati Nuzul Al-Quran
SEREMBAN, 06 Ogos – Seramai 26 orang ahli kumpulan tadarus ramadhan yang terdiri daripada ahli-ahli PEKERTI, NCWO dan wanita UMNO bersama para tetamu yang hadir bersama-sama dalam majlis Majlis Khatam Al-Quran Kumpulan Tadarrus Ramadhan.
Majlis yang berlangsung di Kediaman Rasmi Menteri Besar, bermula pada jam 9.00 pagi sehinggalah pada jam 1.30 tengahari, hari ini.
Solat Sunat Tasbih turut diadakan bersempena memperingati Nuzul Al-Quran di mana pada 17 Ramadhan, ayat Al-Quran yang pertama telah diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W hingga seterusnya berperingkat-peringkat.
Majlis ini telah diketuai oleh Ustazah Fatimah Abu Bakar untuk membimbing para hadirin bagi menjalankan ibadah ini dan diteruskan dengan membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan diikuti dengan bacaan doa khatam Al-Quran.
Yang Dipertua PEKERTI merangkap isteri Menteri Besar, Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumudin berkata, tahun ini merupakan tahun ketiga majlis seperti ini diadakan namun untuk tahun ini ianya amat istimewa kerana diadakan pada 17 Ramadhan 1433H.
Ujar beliau, “ semoga dengan apa yang kita adakan ini mendapat keberkatan daripada Allah S.W.T terutamanya pada bulan Ramadhan ini.”
Menurut beliau lagi, semua peserta yang telah khatam Al-Quran memberikan komitmen untuk hadir setiap hari mulai 1 Ramadhan untuk bertadarrus dan ini merupakan satu pengorbanan yang tidak ternilai.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan melalui kerajaan negeri kepada 20 orang penerima sumbangan khususnya kepada ibu-ibu tunggal.
Selain itu, semua hadirin telah menerima cenderahati dan bubur lambuk daripada Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumudin.
Turut hadir dalam majlis tersebut, Yang Dipertua PPP(WI) NS, Dato’ Datin Hajah Maimunah Haji A. Wahab, Naib Yang Di-Pertua NCWO Negeri Sembilan, Dato’ Hajah Dermataksiah Abd. Jalil dan Timbalan Yang Dipertua PEKERTI, Datin Hajah Paezah Ismail.
Oleh : Ainaa@n9kini.com












