‘Mari bersama bersatu hati’

July 18, 2012 by  
Filed under Berita Nasional

Share |

Kuala Lumpur:18 Julai – Hujan lebat sejak petang semalam bukan halangan bagi pelancaran program Kibar Jalur Gemilang 2012 yang menyaksikan ruang angkasa Little India, Brickfields, di sini, meriah dengan percikan bunga api dan kibaran megah Jalur Gemilang.

Disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, program itu yang diadakan sempena Hari Kemerdekaan ke-55 negara, buat pertama kalinya dilancar serentak di tiga lokasi berbeza dengan dihadiri 30,000 rakyat pelbagai bangsa.

Selain Little India, Brickfields; program sama diadakan di Kampung Baru yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, manakala Jalan Petaling oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Pelancaran serentak itu bertujuan mengajak semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman untuk bersatu hati meraikan hari kemerdekaan negara, sekali gus meniup semangat rakyat yang sentiasa mencintai negara.

Selain penyerahan Jalur Gemilang kepada 16 agensi kerajaan dan sektor swasta serta pertubuhan, Najib turut menyampaikan sumbangan kepada lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa belia berketurunan India yang diangkat menjadi tokoh pembanteras jenayah; tokoh pelajar cemerlang; seni lakon dan penerbitan terbaik.

Masing-masing menerima hadiah wang tunai RM5,000, sijil penghargaan, plak dan Jalur Gemilang.

Pengunjung turut dihiburkan persembahan istimewa penghibur tempatan yang mengangkat konsep perpaduan rakyat pelbagai bangsa di bawah negara harmoni, aman dan makmur.

Lebih bermakna apabila Najib menyempurnakan upacara pelepasan Konvoi Merdeka yang disertai 55 motosikal dan 10 kenderaan pacuan empat roda.

Terdahulu dalam ucapannya, Najib berkata, tema ‘55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati’ yang dipilih bagi meraikan hari kemerdekaan tahun ini, memberi erti besar kepada kerajaan dan rakyat di seluruh negara.

Beliau yang nyata terharu dengan kesetiaan rakyat menunggu dalam hujan sehingga majlis selesai, mahu rakyat menyerap dan menghayati pengertian Jalur Gemilang yang menjadi tunjang prinsip kemakmuran negara, sesuai peribahasa, di mana bumi di pijak, di situ langit dijunjung.

“Ada negara lebih lama merdeka tapi tidak seperti negara kita yang semakin membangun maju kerana sejak 55 tahun lalu kerajaan menepati janji kepada rakyat dan pemerintah dulu berjuang dengan kudrat mereka untuk kemerdekaan negara.

“Kita janjikan sebuah negara yang melalui proses transformasi daripada negara pertanian kepada industri dan kini menuju negara berpendapatan tinggi, ia berjaya dilaksana.

“Manakala kita janji hidup dalam rukun, aman dan harmoni, Alhamdulillah itu juga kita hadapi dengan baik.

“Apa yang kita peroleh hari ini akan kerajaan teruskan, apa yang penting untuk kaum India dan kaum lain akan kita teruskan, pembelaan untuk semua kerana percaya kepada keadilan yang perlu dikecapi rakyat,” katanya.

Enter Google AdSense Code Here

Comments are closed.