MAINS serah zakat asnaf fakir miskin di Jempol
BAHAU, 11 Ogos – MAINS menyerahkan wang zakat berjumlah RM100,200 kepada 334 orang asnaf fakir miskin di Daerah Jempol hari ini.
Selain itu, MAINS turut menyerahkan zakat kepada 42 masjid di daerah Jempol berjumlah RM22,000.
Penyerahan disempurnakan oleh Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi MAINS di Majlis Penyampaian Asnaf Fakir Miskin MAINS Daerah Jempol 2011 di Dewan Majlis Daerah Jempol, Bahau pagi tadi.
Rakyat negeri ini diingatkan agar menginsafi hidup di negara yang dipimpin oleh para pemimpin yang mengutamakan rakyat.
Menurut Menteri Besar di dalam ucapannya, “kesejahteraan rakyat negara ini hasil dari perpaduan dan kesepakatan pelbagai kaum yang saling hormat menghormati.”
“Kerajaan hari ini telah menjalankan kewajipan sebaik mungkin dengan menghamparkan kemewahan buat rakyat negara ini. Pelbagai bentuk bantuan di hulurkan kepada anak-anak yang baru lahir sehingga warga emas melalui agensi dan jabatan-jabatan.” Tambah beliau lagi.
Katanya lagi, “Jika dibandingkan dengan negara yang mundur dan sedang bergolak, mereka menghadapi kesusahan hidup yang jauh lebih teruk di sini. Jika tidak bergolak, negara mereka mundur.”
Apabila mundur, rakyat akan hidup di dalam tekanan.
Tambah Menteri Besar, “rakyat Malaysia seharusnya bersyukur, kerana kanak-kanak tidak perlu bekerja demi keluarga mahupun terpaksa mengemis dari satu pelancong kepada pelancong yang lain. Tidak berlaku di sini, tetapi berlaku di Indonesia, Bangladesh, Brazil dan beberapa negara lagi.”
Sambung beliau, “jika dahulu kerajaan memberi subsidi pada barangan keperluan, namun pada tahun ini, kerajaan memberi bantuan di dalam bentuk kewangan pula. Berfikirlah, dengan baik mana kerajaan di dalam dunia yang telah memberi subsidi kemudiannya memberi wang pula.”
Turut hadir, Dato’ Shamsulkahar Md Deli, ADUN Serting merangkap bapa angkat DUN Bahau, Dato’ VS Mogan, ADUN Jeram Padang, Dato’ Zainal Abidin Hj Ahmad, ADUN Sungai Lui.


































