Mahasiswa disarankan bijak berfikir – MB
RANTAU, 25 Feb. – Program Pewaris Muda Negara 1 Malaysia 2012 (PEWARIS), merupakan program ‘smart partnership’ antara Jabatan Penerangan Malaysia, Negeri Sembilan, Institusi masyarakat tempatan serta pelajar-pelajar terpilih daripada Institusi Pengajian Awam dan Swasta iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai Johor, Politeknik Port Dickson dan Kolej Negeri Sembilan.
Sebelum itu, anak-anak program PEWARIS 2012 telah di sambut oleh Tn Hj Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Ahli Parlimen Rembau pada 23 Februari 2012 di mana anak-anak program PEWARIS seramai 108 orang menjadi anak angkat di Kg Solok, Kg Tanjung, Kg Sri Lalang, Kg Rantau dan Kg Kanchong.
Petang tadi, anak-anak program PEWARIS 2012 telah di kembalikan kepada Universiti masing-masing yang di sempurnakan oleh Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Rantau di Padang Awam Rantau.
Kehadiran Menteri Besar turut diiringi isteri beliau, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin.
Di dalam ucapan Menteri Besar, beliau menasihatkan mahasiswa yang menjadi anak angkat di dalam program ini agar menjadi sumber pembangunan modal insan di dalam usaha membangunkan Negara.
Mahasiswa juga di nasihatkan agar berfikir dan menyiasat kesahihan apabila berhadapan dengan sesuatu isu yang tidak difahami dan di bangkitkan oleh pihak tertentu.
Menurut Menteri Besar lagi, ramai mahasiswa dan mahasiswi yang sedang menuntut di universiti mudah terperangkap dengan isu-isu yang boleh membinasakan diri dan merosakkan masa hadapan.
Oleh itu, Kerajaan Persekutuan melalui kepimpinan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sangat menitik beratkan peranan mahasiswa hari ini bagi memastikan Malaysia menjadi sebuah Negara yang terus aman dan sejahtera.
Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan turut menyentuh berkaitan pentadbiran yang berlandaskan Adat Perpatih, dan di anggap berjaya sejak beratus tahun yang lalu melibatkan institusi kekeluargaan, institusi setempat dan institusi negeri ini.
Beliau amat kecewa melihat keadaan institusi kekeluargaan hari ini apabila Negara sedang menuju kejayaan, tetapi akhlak dan moral generasi muda seperti mahasiswa dan mahasiswi menidakkan jasa ibu bapa mereka.
Adat perpatih misalnya, mementingkan hubungan kekeluargaan dan menitik beratkan permuafakatan. Biar pun sudah menempa kejayaan, adat ini boleh dijadikan panduan dan pegangan agar nilai hidup menjadi seimbang.
Seramai empat ratus pelatih PLKN yang sedang menjalani kursus PLKN turut di dedahkan dengan program masyarakat pagi tadi bagi menjalinkan hubungan erat antara generasi muda dan warga emas.
Turut hadir ialah, En. Nik Mohd Kamal Wan Mustapa, Wakil Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia dan Tn Hj Hashim Hj Bedu.
Oleh : Dudi Aziz


















































