Klinik Kesihatan 3, Sikamat bakal beroperasi Julai 2014

September 25, 2012 by  
Filed under Jejak Usaha MB

Share |

SIKAMAT, 25 Sept. –Majlis Pelancaran Pembinaan Projek Klinik Kesihatan 3, Sikamat, Seremban telah disempurnakan oleh Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan di tapak projek Jalan Tunku Khurshiah hari ini.

Beliau yang tiba di tapak projek tersebut, disambut oleh Dato’ Dr. Zailan binti Dato’ Haji Adnan, Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan.

Klinik Kesihatan 3 (KK3), Sikamat dijangka siap pada 30 Julai 2014. Agensi pelaksana adalah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan telah melantik Nekajati Sdn. Bhd sebagai kontraktor pembinaan. Kos pembinaan yang diluluskan ialah sebanyak RM 17, 555, 221.90

Dalam ucapan Menteri Besar, beliau menegaskan bahawa agenda memastikan kesihatan penduduk sentiasa dalam keadaan baik  dan diberikan keutamaan. Tiga agenda utama yang beliau tekankan dalam pelan pembangunan Negeri Sembilan  iaitu agenda pelajaran, agenda kesihatan dan agenda pengangkutan.

“Sebanyak RM 50,000.00 telah diperuntukan untuk menaiktaraf Klinik Desa Rhu supaya dapat menampung kesihatan penduduk setempat sebelum KK3 ini siap sepenuhnya. Pembinaan KK3 ini berkeupayaan menerima pesakit luar  300 orang pesakit sehari berbanding Klinik Desa Rhu yang hanya dapat menampung pesakit seramai 150 orang sahaja sehari. Ini adalah bukti bahawa agenda kesihatan rakyat menjadi antara agenda  utama di Negeri Sembilan,” ujar beliau.

Jelas beliau, sasaran kita adalah untuk menjadikan Negeri Sembilan sebagai ‘ Metropolis of Kuala Lumpur’ menjelang tahun 2020. Maka dengan itu, kesemua agenda ini perlu diberi nafas, pembangunan mesti dijalankan dengan mendapatkan pelaburan daripada pelabur-pelabur asing.

“Negeri Sembilan telah merekodkan pertumbuhan ekonomi yang baik dengan mencapai 5.9 peratus peningkatan. Dengan keupayaan akademik yang tinggi, kesihatan yang baik dan jaringan pengangkutan yang baik, Negeri Sembilan akan dapat menarik minat lebih banyak pelabur-pelabur asing yang akan menjadikan negeri ini terus maju,” tambah beliau lagi.

Hadir sama, Dato’ Razak bin Mansor, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’  Haji Mat Ali bin Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri, dan Dato’ Mohamad Razi bin Haji Kail, EXCO Kerajaan Negeri merangkap ADUN Kawasan Juasseh.

Oleh : Teja

Enter Google AdSense Code Here

Comments are closed.