Kisah Datin Noni Dan Roti

February 21, 2012 by  
Filed under Wanita

Share |

Datin Asma Rahim atau lebih mesra dengan panggilan Datin Noni cukup sebati dalam bidang masakan terutama pembuatan pastri. Demi minatnya yang satu itu jugalah dirinya berusaha membangunkan sebuah kilang roti halal berjenama Roti Imam Sdn Bhd dan kedai kek, The Bakers Hut yang membekalkan keperluan kek dan roti kepada penduduk di sekitar Kuala Lumpur.

Kisah Datin Noni dan roti bermula sekitar usia 35 tahun apabila anak-anaknya cukup gemar menikmati hidangan roti berbanding makanan ruji, nasi.

“Sekitar tahun 70-an dan 80-an bukan mudah mahu mencari kedai roti muslim. Kedai yang ada, kita tak tahu berkaitan halal dan haramnya. Jadi saya belajar membuat roti dengan Haji Azmi di Taman Melawati.

“Setiap hari saya buat roti untuk diberikan kepada anak-anak dan jiran tetangga. Waktu itu saya mahu asah kemahiran membuat roti sebab itulah saya tidak kisah kalau perlu sediakan roti setiap hari.

“Saya bangun awal antara jam 4.30 pagi untuk buat roti. Bila anak-anak telah saya hantar ke sekolah, saya akan angkat bekalan roti dan edarkan kepada para pekerja pejabat.

“Setiap kali van saya datang ramai yang membeli. Tapi tak lama selepas itu, saya dapat sebuah kedai dan memulakan operasi di situ,” tuturnya ketika ditemui di kedai
keknya di Taman Setapak Indah.

Didik Anak Penuh Disiplin
Sungguhpun sibuk mengusahakan perniagaan roti, Datin Noni sebenarnya seorang ibu yang cukup tegas dan penuh disiplin dalam mendidik lima orang anaknya. Anak-anaknya, Siti Azlina, 36, Mohamad Azlan, 32, Mohamad Arif, 31, Siti Amelia, 29 dan Mohamad Anwar, 24 tahun bukan sahaja berjaya dalam akademik malah cemerlang dalam pekerjaannya.

Akuinya, sewaktu anak-anak masih kecil, dia memberi penekanan akademik serta menerapkan disiplin yang tinggi kepada anak-anak. Jadual waktu yang disediakan cukup ketat dan perlu dipatuhi oleh anak-anak tanpa mempersoalkannya.

Setiap malam anak-anak dilarang menonton televisyen, sebaliknya belajar di dalam bilik. Manakala lampu bilik akan ditutup pada jam 10 malam. Sekitar jam 7 malam mereka telah berkumpul untuk makan malam.

“Saya ajar anak-anak saya agar hormati orang tua, adik-beradik dan keluarga. Jika bukan mereka yang akan lakukan siapa lagi. Kalau ada kenduri kahwin di rumah saudara mara, saya akan maklumkan dan pastikan mereka sediakan ruang untuk menghadiri majlis itu dan kami akan pergi bersama-sama.

“Begitu juga dengan percutian keluarga. Kami akan pilih satu tarikh dan jika ada di antara anak-anak yang tak boleh pergi, percutian keluarga akan ditunda dan kami akan cari tarikh lain sampai semua orang boleh pergi. Setiap minggu atau bulan pula anak-anak wajib berkumpul di rumah saya yang mereka namakan sebagai HQ.

“Saya tak pernah larang anak saya berkawan dengan sesiapa pun. Malah waktu mereka kecil, jika mereka mahu ke rumah teman, saya akan hantarkan dan akan tunggu anak saya kadangkala sampai dua jam di depan rumah kawannya.

“Bila mereka sudah ada pasangan, saya minta mereka bawa berjumpa dengan saya. Saya akan terangkan satu persatu tentang cara saya, Alhamdulillah, pasangannya itu boleh terima,” ulas isteri kepada Dato’ Ahmed Tauzan Abdul Ghani.

Cabaran Besarkan Anak Lelaki
Datin Noni tidak menafikan dirinya juga berhadapan cabaran yang cukup hebat dalam membesarkan anak-anaknya terutama anak-anak lelaki. Namun, dirinya mempunyai cara didikan tersendiri yang boleh dijadikan panduan berguna kepada pembaca.

“ Waktu anak-anak meningkat remaja iaitu dalam tingkatan satu dan dua memang besar cabarannya. Mereka ibarat layang-layang, apabila hampir terbabas, saya tarik talinya sedikit demi sedikit.

“Dalam pada itu, setiap malam saya akan sediakan air Yasin untuk anak-anak saya. Ini amalan yang saya buat sejak mereka masih kecil. Kadangkala bila tiada air ini, anak-anak pula bertanya kenapa tiada.

Selalunya selepas asar saya akan baca al-Quran dan saya percaya doa ibu pasti ada keberkatannya.

“Bila anak-anak sudah berkeluarga pun saya layan mereka sama rata. Kalau saya belikan baju untuk anak-anak, menantu pun saya belikan juga,” tambahnya mesra. Dirinya juga cukup bersyukur kerana tenaga dan masa yang telah digunakan untuk membesarkan anak-anak tidak sia-sia.

Walaupun jika difikirkan apa yang diusahakan itu tidaklah sebesar mana, namun ia memberi kesan kepada anak-anaknya. Dirinya cukup gembira, walaupun telah beranak cucu, anak-anak sentiasa prihatin dan menggembirakan hatinya.

Masih Ligat
Datin Noni sebenarnya seorang yang cukup ligat dan tidak betah duduk diam tanpa melakukan apa-apa pekerjaan. Setiap hari, wanita aktif ini akan masuk tidur seawal 9.30 malam. Walaupun ketika itu ada anak-anak mahupun cucu-cucu di rumah, dia akan meninggalkan mereka membuat aktiviti masing-masing.

Pada jam 4.30 pagi dia sudah bangun untuk menunaikan solat sunat dan wajib. Sebelum ke kedai kek, Datin Noni akan ambil masa untuk berlari-lari anak di sekitar perumahannya.

Rutin hariannya itu sudah pun diketahui anak-anak malah jiran tetangganya. Dedikasinya terhadap keluarga cukup tinggi sekali. Sebagai ibu, setiap anak-anak membesar dengan air tangan dan penat lelahnya. Dia cukup prihatin terhadap keperluan anak-anak sehinggakan mereka tidak pernah sekalipun menaiki bas sekolah. Datin Noni juga akan turun padang untuk menghantar mereka ke sekolah mahupun mengikuti aktiviti luar sekolah.

Atas dasar itulah, dalam usia 63 tahun Datin Noni masih sihat dan mampu menunaikan tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan nenek kepada suami serta anak cucunya. Menjaga pemakanan cukup dititikberatkan dalam melayari bahtera kehidupan.

Sungguhpun bergelar suri rumah, wanita ini aktif bersama Persatuan STAR Ladies iaitu persatuan yang tubuhkan untuk isteri-isteri bekas penuntut Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR). Bersama persatuan ini dia berpeluang untuk mengikuti aktiviti persatuan dan saling berbincang untuk memantapkan hala tuju persatuan itu.

Mengimbas kisah cinta antara dirinya dan suami, kata Datin Noni ia bermula apabila dia berhijrah di Kuala Lumpur. Ketika itu dia menetap di rumah ibu angkatnya di Kuala Lumpur. Di situlah dia telah berkenalan dengan suaminya yang ketika itu sedang melanjutkan pengajian dalam jurusan Ekonomi di Universiti Malaya.

“Waktu mula-mula jumpa, saya anggap dia macam kawan biasa. Tiada pun niat untuk memilih dirinya sebagai suami saya. Lama kelamaan, hubungan itu menjadi lebih serasi dan sikap tanggungjawab dan ambil beratnya itu telah menawan hati saya.

“Tapi yang paling saya berkenan adalah sikap penyabarnya, jauh berbeza dengan saya yang agak tegas. Kami juga pernah mengadakan sambutan ulang tahun perkahwinan ke-25 dan memori itu diabadikan di dalam akhbar dan majalah,” tuturnya sambil menunjukkan keratan akhbar mengenai sambutan ulang tahun perkahwinannya itu.

Anak Kedua Tunjuk Minat
Menurut Datin Noni anak keduanya, Mohamad Azlan telah diberikan kepercayaan untuk mengusahakan perniagaan kedai kek miliknya. Bersesuaian dengan kemahiran akademiknya dalam bidang pembuatan roti dan pengalamannya bekerja di luar negara dalam bidang berkaitan.

“Awalnya saya latih anak perempuan sulung untuk meneruskan perniagaan kedai kek, tapi anak kedua pula yang menunjukkan minat yang mendalam. Saya tidak halang walaupun dirinya seorang lelaki.

“Lagipun ramai chef hebat dan terkenal terdiri dari orang lelaki. Saya sokong minatnya dan memberi kepercayaan kepadanya untuk memajukan apa yang kami usahakan ini. Kedai ini pun telah diubah sedikit agar nampak lebih moden dan menepati cita rasa terkini,” ulas yang turut menyalurkan derma kepada beberapa rumah anak-anak yatim. Baginya tidak salah berkongsi rezeki yang dimiliki dengan insan-insan yang kurang bernasib baik.

Enter Google AdSense Code Here

Comments are closed.