Kastam rampas mercun RM3.37 juta
KUALA LUMPUR, 01 Ogos : Kastam Diraja Malaysia (KDRM) merampas mercun dan bunga api bernilai lebih RM3.37 juta di seluruh negara dari Januari hingga 29 Julai lalu.
“Usaha pencegahan yang dilaksanakan KDRM menunjukkan kesan positif di mana pada tahun lepas sebanyak 309 kes direkodkan berbanding 326 kes pada 2010.
Beliau menjelaskan bahawa KDRM sentiasa menjalankan beberapa usaha bagi memerangi penyeludupan mercun dan bunga api di negara ini agar kegiatan itu tidak terus berleluasa.
Katanya, antara usaha yang dijalankan termasuk mengadakan operasi dan pemeriksaan mengejut di premis perniagaan yang disyaki menjual mercun dan bunga api.
Lebih penting, katanya, pemeriksaan rapi 100 peratus perlu dilakukan ke atas kontena-kontena yang disyaki menyeludup mercun dan bunga api melalui pelabuhan dan melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan yang disyaki di sempadan negara.
Sehubungan itu, orang ramai diminta bekerjasama menyalurkan maklumat aktiviti penyeludupan termasuk mercun dan bunga api dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman, berkata perbuatan membakar mercun dan bunga api bukan sahaja berbahaya malah ia membazir serta sia-sia.
Beliau menegaskan bahawa perbuatan membakar mercun dan bunga api sebenarnya bukan budaya Melayu malah Islam turut melarang umatnya melakukan perbuatan sia-sia, membazir, membahayakan diri serta harta benda.
“Dari sisi agama ia haram, saya harap masyarakat sedar bahawa perbuatan ini langsung tidak mendatangkan apa-apa faedah meskipun bermain mercun dan bunga api dikatakan sebagai antara kebiasaan bagi memeriahkan sambutan perayaan.
“Budaya ini perlu diubah bagi mengelak bahayanya. Ibu bapa sepatutnya berperanan mendidik anak-anak dan bukannya membeli mercun dan bunga api untuk anak-anak.
“Saban tahun terdapat banyak kejadian kanak-kanak cedera akibat bermain mercun dan bunga api malah ada yang meninggal atau mengalami kecederaan kekal seperti buta serta hilang jari, ini patut menjadi pengajaran kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, meskipun sudah terdapat undang-undang bagi memantau aktiviti penjualan dan pengedaran mercun dan bunga api, namun penguatkuasaan terhadapnya perlu ditingkatkan.
“Sebagai contoh, ada juga yang membuat mercun sendiri, jadi pihak berwajib perlu mengawal penjualan belerang yang mudah didapati di kedai-kedai,” katanya sambil menambah sudah tiba masanya kerajaan mengenakan tindakan tegas. – BERNAMA











