Jangan ‘dagangkan agama Islam’ untuk raih sokongan
LABIS, 23 Jan. – Semua parti yang terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang perlu menghindarkan daripada ‘memperdagangkan agama Islam’ dengan menimbulkan isu-isu sensitif yang boleh memecahkan perpaduan rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, agama Islam tidak boleh ‘dijual beli’ atau dipergunakan semata-mata untuk meraih sokongan politik dengan mengelirukan masyarakat yang akhirnya berlaku pergaduhan dan perpecahan.
“Bila datang saja pilihan raya ia menjadi satu medan untuk orang menabur fitnah dan membangkitkan isu sensitif agama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Mini Karnival Islam 2011 di sini, hari ini. – Bernama











