‘Islam perlu atas politik’

August 7, 2012 by  
Filed under Berita Bergambar

Share |

JOHOR BHARU:07 Ogos – Kepentingan meningkatkan syiar Islam mesti diletakkan di tempat tertinggi, mengatasi politik dan bukan sebaliknya, tegas Datuk Seri Najib Razak.

Najib mengaminkan doa ketika berbuka pada Majlis Tadarus dan Khatam al-Quran Bersama Perdana Menteri di Masjid Jamek Tan Sri Ainuddin Wahid di Taman Universiti, Skudai, semalam.

Perdana Menteri berkata, jika politik berada di atas agama, ia bakal menyebabkan timbul masalah dan berlaku perpecahan dalam kalangan umat Islam.

“Islam tidak harus dipolitikkan, sebaliknya diletakkan paling tinggi kerana jika politik mengatasi Islam, maka banyaklah permasalahan melanda yang menjadi punca kelemahan umat Islam. Ia boleh dielakkan dengan mengamalkan Islam sejati.

“Sebab itu, saya mahu orang Islam perkasa dan gagah… Islam yang berjaya. Saya tidak mahu orang Islam sering dikaitkan dengan kemiskinan,” katanya pada Majlis Tadarus dan Khatam al-Quran Bersama Perdana Menteri di Masjid Jamek Tan Sri Ainuddin Wahid di Taman Universiti, Skudai dekat sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Mohd Ali Hassan serta EXCO kerajaan negeri.

Kerajaan jaga kesucian

Perdana Menteri menegaskan, kerajaan sentiasa menjaga kesucian Islam, mengekalkan keamanan dan keselamatan, memastikan semua rakyat berpengetahuan dan meningkatkan ekonomi negara.
“Sebab itu, kita harus menjaga Islam, jaga akidah, tingkatkan syiar dan membina prasarana Islam sebagai tanggungjawab kita di muka bumi ini,” katanya.

Menggariskan pelbagai projek dilaksanakan di Johor seperti LEGOLAND, Puteri Habour dan Kolej Marlborough menerusi pembangunan kawasan Iskandar Malaysia, Najib secara berseloroh berkata: “Saya mahu tarik sikit (projek) ke Pahang pun tak dapat”.

Terdahulu, Perdana Menteri berbuka puasa bersama hampir 3,000 jemaah masjid berkenaan sebelum menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah.

Enter Google AdSense Code Here

Comments are closed.