Generasi kita perlu tahu bagaimana negara berjaya
KUALA LUMPUR 23 Feb. — Generasi Malaysia sekarang dan akan datang perlu mempelajari bagaimanapun negara mencapai kejayaannya hingga ke tahap hari ini, kata bekas pegawai kanan polis, Tan Sri Yuen Yet Leng.
Sekalipun wujud perbezaan ketara di kalangan rakyat, mereka masih mampu bersatu untuk berjaya dalam perang menentang pengganas komunis yang cuba merampas kuasa politik negara pada masa lampau, kata beliau.
“Sekalipun selepas bersara, saya terus memainkan peranan menentukan bahawa kerajaan yang wujud, tidak kira apa parti politiknya, terus mentadbir negara dengan adil demi memenuhi keperluan semua kaum,” kata beliau dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.
Yuen melahirkan rasa kesal kerana ada ahli politik membuat kenyataan meracuni fikiran rakyat berhubung kegiatan pengganas komunis, terutama percubaan memaparkan seseorang itu sebagai wira, sedangkan pasukan keselamatan negara terpaksa berjuang selama empat dekad dan ada anggota yang terkorban demi kewibawaan dan kemerdekaan negara.
Yuen yang pernah menulis pendapatnya dalam sepucuk surat yang disiarkan oleh sebuah akhbar tempatan baru-baru ini berkata: “Hingga sekarang, apakah anda boleh kata saya bukan pejuang kemerdekaan sebenar setelah saya ditembak dua kali?
“Kepingan besi (akibat serangan pengganas komunis) masih lekat dalam dada saya sejak 1951. Saya diburu untuk dibunuh, sekalipun selepas bersara pada 1984. Saya menolak tawaran kerajaan untuk menempatkan saya di lokasi lebih selamat di seberang laut.”
Yuen yang pernah menjadi Ketua Polis Perak dan Sarawak, berpendapat satu-satunya cara yang dapat menghapus ancaman kemunculan semula komunis ialah dengan mengajar sejarah negara mengikut perspektif yang betul di kalangan pelajar sekolah dan universiti.
Yuen telah menghasilkan dua buku mengenai perjuangannya menentang pengganas komunis, pertama pada 1998 berjudul Operation Ginger dan satu lagi pada 2008, Nation Before Self.
Beliau dijadual menyampaikan ceramah di Kolokium Sejarah Malaysia Sabtu ini. – BERNAMA
















