Felda kecewa tindakan 8 peneroka
KUALA LUMPUR 23 Feb. – Felda kecewa dengan tindakan lapan peneroka yang juga ahli Koperasi Permodalan Felda (KPF) menggagalkan koperasi itu menyertai cadangan penyenaraian Tawaran Awam Permulaan (IPO) dalam Felda Global Ventures Holdings(FGVH).
Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, tindakan mereka menghalang KPF memindahkan sahamnya dalam Felda Holdings Bhd. kepada FGVH menerusi injunksi mahkamah menyebabkan Lembaga KPF membatalkan mesyuarat agung luar biasanya (EGM) semalam.
Apa yang dikesali, katanya, tindakan lapan peneroka terbabit sebenarnya dipengaruhi oleh motif politik pembangkang yang didalangi Pas melalui Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).
Namun, kata beliau, tindakan itu hanya merugikan peneroka dan FGVH akan tetap disenaraikan di Bursa Malaysia Mei atau Jun depan.
“Kami sangat hampa atas usaha berulang mereka untuk melaksanakan hak minoriti yang jelas sekali dipengaruhi pembangkang yang bertentangan dengan usaha keras majoriti ahli KPF, seterusnya menghalang ahli merebut peluang ini,” katanya pada sidang akhbar khas mengenai perkara itu, di sini hari ini.
Sidang akhbar itu diadakan sempena sesi taklimat beliau dengan sekumpulan peneroka yang pada asalnya hadir ke sini untuk menghadiri EGM KPF yang dijadualkan hari ini.
Bagaimanapun, EGM itu dibatalkan ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan minggu lalu yang membenarkan injunksi sementara oleh lapan peneroka Felda untuk menghalang KPF daripada memindahkan sahamnya dalam Felda Holdings Bhd. dan 10 subsidiari Felda Holdings Berhad kepada FGVH.
















