Felcra bayar dividen berjumlah RM17.7 juta
SEREMBAN, 01 Ogos – Felcra Berhad menjadi agensi terbaru memberi duit raya apabila memperuntukkan RM17.7 juta bagi bayaran dividen kepada seluruh peserta Felcra di negeri ini sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Dalam pada itu, Felcra turut memberi dividen tahunan kepada Perbadanan Menteri Besar (MBI) sebanyak RM11.6 juta berikutan hasil keuntungan dari ladang yang diamanahkan oleh Kerajaan Negeri untuk diuruskan oleh Felcra sepanjang tahun 2011.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan berkata, dividen tersebut adalah hasil daripada pengeluaran ladang Felcra sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
“Jika peneroka Felda menerima durian runtuh daripada penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), peserta Felcra juga bakal menerima dividen hasil pengeluaran ladang mereka,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, Seremban, dekat sini, hari ini.
Menurut Menteri Besar, Felcra memperuntukkan RM1.3 juta untuk diagihkan kepada 96 peserta Felcra di Kampung Sungai Sampo, Jempol khususnya penduduk orang asli yang mengusahakan ladang kelapa sawit dengan keluasan tanah 10 ekar bakal menerima dividen sebanyak RM14,000 setiap ketua isi rumah.
Sementara itu, seramai 233 peserta Felcra di Kampung Malan 2, Kepis yang mengusahakan ladang getah dengan keluasan tanah 4 ekar pula bakal menerima dividen sebanyak RM6,000 setiap ketua isi rumah.
Katanya, Felcra akan menyusun beberapa strategi bagi meningkatkan lagi hasil pendapatannya dengan menumpukan pada program pembajaan dan menggunakan benih kelapa sawit dan getah berkualiti bagi menghasilkan pengeluaran ladang yang berlipat kali ganda.
Beliau turut melahirkan penghargaan kepada pengurusan dan jentera pentadbiran Felcra yang terus berusaha untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing korporat.
Terdahulu, Menteri Besar menyampaikan sumbangan kepada 15 orang penerima baitulmal serta persatuan yang memerlukan bantuan.
Oleh : Ainaa@n9kini.com










































