Datin Hanita Hari Raya Masa Untuk Keluarga

September 12, 2012 by  
Filed under Wanita

Share |

Personaliti yang mengisi ruangan Gaya Hidup VIP minggu ini ialah seorang usahawan bidang kecantikan, Datin Hanita Hamzah. Biar terpaksa melalui pelbagai cabaran dan rintangan sebelum berjaya seperti hari ini nyata semangat kental wanita ini menjadi taruhan yang membuahkan hasil.

“Saya sememangnya amat berminat dengan dunia perniagaan sebab bagi saya bidang perniagaan ini jika diusahakan bersungguh-sungguh mampu mendatangkan pulangan yang lumayan. Walau bagaimanapun bukan mudah untuk berjaya kerana banyak cabaran dan dugaan yang perlu di lalui.

“Untuk menjadi seorang usahawan, kita perlulah sentiasa kuat dan tabah menghadapi sebarang rintangan yang mendatang. Sebelum buka sesuatu perniagaan, kita perlu ada ilmu dan kemahiran. Jika tidak bagaimana kita hendak dapatkan kepercayaan daripada para pelanggan,” ujar Datin Hanita yang juga merupakan pengedar produk Belina Cosmetics.

Sungguh pun sibuk menguruskan perniagaan, hari lebaran tetap disambut dengan meriah bersama keluarga tersayang. Bagi Datin Hanita, dia lebih suka membuat persiapan dari awal berbanding persiapan di saat-saat akhir kerana baginya ia lebih baik dan teratur.

“Tahun ini kami memilih kuning emas sebagai warna tema baju raya. Dari segi pakaian pula, sejak dari awal lagi saya sudah buat tempahan. Ada juga pakaian siap pakai yang saya beli. Kuih raya pula saya tempah kerana sibuk menguruskan perniagaan.

“Kami balik beraya di Hulu Yam Bharu di rumah ibu saya selama dua hari. Kemudian beraya pula di rumah kami di Rawang dan membuat rumah terbuka untuk saudara-mara dan rakan-rakan serta meraikan anak-anak yatim.

“Antara hidangan istimewa di pagi raya sudah tentulah lontong, laksa, rendang, ketupat dan lemang. Selain itu saya akan membawa anak-anak menziarahi saudara mara tidak terkecuali menziarahi pusara ayah saya,” jelas Datin Hanita yang mengambil peluang cuti hari raya untuk bersama keluarga.

Utamakan Perkhidmatan
Kemuncak penglibatan Datin Hanita dalam dunia perniagaan apabila lahirnya Arieta Spa And Beauty salon di The Mall, Putra Palace Kuala Lumpur dan di Rawang Mutiara. Selain dua buah spa kecantikan, Datin Hanita turut membuka dua buah kedai iaitu kedai menjual jamu dan kosmetik serta kedai tempahan langsir berhampiran perhentian bas baru di Mydin, Rawang, Selangor.

“Spa di Rawang Mutiara baru sahaja mula beroperasi sekitar bulan Mac tahun ini, manakala spa di The Mall pula sudah hampir 10 bulan beroperasi.

“Setakat ini sambutan yang diterima di kedua-dua buah spa amat menggalakkan. Syukur kepada Allah kerana usaha saya selama ini dengan bantuan para pekerja yang dedikasi membuahkan hasil yang membanggakan.

“Spa di Rawang Mutiara lebih besar dan luas selain turut menjadi butik pengan tin bagi memudahkan bakal-bakal pengantin membuat tempahan busana pengantin, solekan dan sebagainya. Bagi pelanggan yang menjadi ahli Arieta akan mendapat diskaun sehingga 10 peratus selain kelebihan lain,” jelas Datin Hanita tentang kedua-dua spa yang diusahakannya itu.

Menyentuh tentang perkhidmatan yang disediakan di spa kecantikan miliknya, Datin Hanita mengakui bahawa selain rawatan moden, spa ini turut menawarkan rawatan tradisional seperti bertangas dan sebagainya khusus untuk kaum wanita.

“Spa di Rawang Mutiara ini memang sangat istimewa. Ia merupakan pusat sehenti kepada golongan wanita untuk mendapatkan perkhidmatan dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

“Untuk bakal-bakal pengantin, kami bukan hanya menyediakan perkhidmatan butik pengantin yang merangkumi persiapan perkahwinan seperti baju, pelamin, khidmat membuat hantaran dan sebagainya, tetapi juga dalam masa yang sama boleh mendapatkan rawatan kecantikan sebelum ke jenjang pelamin” jelas Datin Hanita yang bercadang untuk menfrancaiskan spanya.

Mementingkan rawatan semula jadi dalam setiap rawatan kecantikan di spanya, Datin Hanita mengakui bahawa antara rawatan yang mendapat sambutan hangat di kalangan para pelanggan ialah rawatan rambut.

“Di sini kami menggunakan santan dan limau nipis untuk menghilangkan masalah kelemumur. Sememangnya rawatan ini telah diamalkan sejak nenek moyang kita lagi. Jadi saya mahu amalan tradisional ini diteruskan oleh generasi muda kerana ia nyata ber kesan selain tidak menggunakan bahan-bahan kimia.

“Selain rawatan untuk kaum wanita, kami juga ada menyediakan rawatan urutan untuk kaum lelaki kerana kami juga mempunyai pekerja lelaki. Setakat ini kami sudah ada lima orang pekerja. Di samping itu juga kami turut menyediakan rawatan dalaman selain menyediakan minuman kesihatan yang kami hasilkan sendiri. Selain itu kami juga menghasilkan minyak untuk mengurut,” jelas Datin Hanita ibu kepada empat orang cahaya mata iaitu Nur Syuhada,19, Amier Hafi ez,15, Nur Irradah,12 dan Amier Akmal Faiez, 9.

Fokus Dengan Visi
Melihat kepada kesungguhan wanita ini mengusahakan dan menguruskan lebih daripada satu perniagaan pastinya mengundang perasaan kagum pada sesiapa yang mengenali Datin Hanita. Nyata wanita ini punya visi masa depan yang baik.

“Memang saya akui agak penat menguruskan beberapa perniagaan dalam satu masa. Namun bagi saya jika ada kemahuan, di situ ada jalan. Sebenarnya apabila kita suka melakukan sesuatu pekerjaan, nescaya segala keletihan itu hilang dengan sendirinya.

“Saya akui sebagai seorang isteri dan ibu, saya perlu bijak mengatur masa dengan keluarga. Alhamdulillah dengan bantuan pekerja-pekerja yang sentiasa bertungkus-lumus memajukan perniagaan kini saya mampu menarik nafas lega,” ujar Datin Hanita yang menganggap kejayaannya dalam dunia perniagaan sebagai rezeki kurniaan Allah.

Bukan mudah untuk berjaya hingga ke tahap ini. Menurut Datin Hanita, dia bertatih sehingga mampu berjaya seperti sekarang. Hanya semangat yang tinggi membawa Datin Hanita mampu bertahan hingga ke tahap ini.

“Saya memulakan perniagaan dari bawah dan sejak memulakan perniagaan saya sentiasa mengingatkan diri saya agar terus berusaha dengan gigih memburu kejayaan yang diimpikan. Sokongan daripada pihak suami dan juga anak-anak menjadi pendorong kepada diri saya untuk lebih berusaha.

“Alhamdulillah setakat ini anak-anak saya menampakkan minat dalam dunia perniagaan. Anak sulung saya mempunyai diploma dalam bidang perniagaan dan bakal menyambung kursus dalam bidang kecantikan. Saya juga berharap penglibatan anak-anak saya dalam perniagaan membantu mencipta legasi perniagaan yang berkembang maju,” tutur Datin Hanita yang mengakui bahawa dia sudah biasa melayan kerenah pelanggan yang cerewet dan menyelesaikannya dengan cara mengenali pelanggan lebih rapat di samping menjadikan mereka rakan-rakannya.

Tangani Stres Dengan Bijak
Dalam kesibukan menguruskan perniagaan dan keluarga, Datin Hanita bijak menangani stres yang datang tidak di undang. Malah menurut Datin Hanita setiap kali dilanda stres, dia gemar menyanyi bagi membuatkan dirinya rileks.

“Ada masa-masa tertentu saya juga menghadapi stres. Adatlah dalam kehidupan, tidak dapat lari daripada menghadapinya namun saya sentiasa berfikiran positif kerana bagi saya, tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan dan kita perlu memikirkan caranya.

“Bagaimanapun sebenarnya antara aktiviti yang saya anggap sebagai terapi kala dibelenggu stres ialah dengan menggubah bunga. Ketika menggubah bunga, jiwa saya terasa tenang dan damai. Bila tenang, barulah dapat fikir cara untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dan secara tidak langsung stres pun hilang,” akhiri Datin Hanita yang turut gemar bermain boling, menari poco-poco bersama kumpulannya serta melancong sambil membeli-belah.

Enter Google AdSense Code Here

Comments are closed.