Daftar Pemilih: Tempoh semakan September
Kota Kinabalu: 09 Ogos – Pemilih berdaftar diberi tempoh hingga akhir September depan untuk membuat semakan bagi mengesan kesilapan dalam maklumat pendaftaran mereka.
Sebarang pembetulan perlu dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya pembersihan daftar pemilih boleh dilaksanakan.
SPR memberi tempoh tiga bulan bermula Julai lalu untuk pemilih membuat semakan supaya senarai daftar pemilih terbabit boleh diwartakan pada November.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata pemilih berdaftar termasuk parti politik wajar memanfaatkan tempoh itu untuk mengesan kesilapan maklumat dalam daftar pemilih supaya pembetulan boleh dibuat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13.
Minta buat pembetulan
Beliau berkata, SPR tidak boleh berbuat apa-apa jika pemilih tidak meminta SPR untuk membuat pembetulan terhadap maklumat pendaftaran mereka walaupun mengesan ada kesilapan dalam senarai daftar pemilih yang dikeluarkan.
Kita sedar daftar pemilih SPR selalu dipertikai tetapi sebenarnya pembersihan dilakukan sepanjang masa.
Bagaimanapun, SPR memerlukan kerjasama pemilih memaklumkan kesilapan itu dan meminta kita membetulkannya.
Jika mereka berdiam, usaha ini tidak akan berjaya kerana maklumat dalam daftar pemilih hanya boleh diubah atau dibetulkan oleh pemilih,” katanya selepas majlis perjumpaan SPR bersama pemimpin parti politik dan media Sabah di sini, semalam.
Majlis menjelaskan persediaan PRU-13 itu dihadiri kira-kira 200 orang mewakili 16 parti politik dan beberapa wakil media tempatan dari Sabah serta Labuan.
Abdul Aziz berkata, semakan daftar pemilih penting bagi mengesan kesilapan seperti kesalahan ejaan nama, nombor kad pengenalan, tarikh lahir, jantina dan alamat atau membuat perubahan maklumat jika berlaku pertukaran nama dan alamat pada kad pengenalan.
Kod negeri
Mengenai isu pemilih menggunakan kod negeri 71 pada kad pengenalan mereka, beliau berkata, bilangannya tidak meningkat seperti didakwa pihak tertentu kerana tiada lagi kad pengenalan menggunakan kod itu dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).












