China nafi khabar angin SARS dikesan di Provinsi Hebei
BEIJING 26 Feb. — Kementerian Kesihatan China menafikan khabar angin kononnya kes SARS dikesan di sebuah hospital tentera di bandar raya Baoding di Provinsi Hebei.
Kementerian itu menyatakan wabak penyakit yang disyaki berlaku di Provinsi Hebei sebenarnya ialah demam akibat jangkitan pernafasan berpunca daripada adenovirus jenis 55.
Menurutnya, wabak penyakit itu terkawal dan tiada kes kematian dilaporkan setakat 8 pagi, 25 Februari.
Khabar angin mengenai kes SARS dikesan di Baoding tersebar luas di Internet pada 23 Februari., menimbulkan kebimbangan di kalangan pengguna online di negara ini.
Khabar angin itu mendakwa kes SARS dikesan di hospital Baoding People’s Liberation Army, mengakibatkan lebih 50 pesakit dikuarantin dan sekurang-kurangnya seorang mati akibat penyakit itu.
Jangkitan adenovirus biasanya menyerang sistem pernafasan yang mungkin menyebabkan demam, batuk dan sakit tekak. — BERNAMA
















