Cara penjagaan sistem brek

February 27, 2014 by  
Filed under Permotoran

Comments Off

  • Cara penjagaan sistem brek

Permotoran – 1. Setiap sebulan sekali, periksa paras minyak brek kereta anda (botol minyak depan pam vakum). Pastikan minyak berada di paras antara minimum dan maksimum. Jangan sekali-kali memandu sekiranya paras minyak brek berada di bawah paras minimum.

2. Setiap enam bulan semasa hendak rotate tayar kereta, periksa pelapik brek. Pastikan lapisan pencengkam masih tebal. Jika kita dapati pencengkam ‘makan’ tidak sama antara kiri dan kanan, minta mekanik periksa sistem saluran minyak brek atau sistem tekanan brek kerana kemungkinan tekanan yang dikenakan ke atas kedua-dua brek tidak sama dan ini sangat berbahaya kepada pemanduan terutama membrek semasa kelajuan tinggi. Perkara sama perlu dilakukan kepada brek drum.

3. Sekiranya terdapat kesan lelehan minyak brek (kelihatan cat atau apa-apa bahan berasal dari petroleum mencair) pada mana-mana bahagian, minta mekanik memeriksanya. Jangan ambil mudah perkara ini kerana kebocoran sebegini mungkin kecil tapi akan menjadi besar semasa membrek kerana tekanan ke atasnya.

4. Semasa menambah minyak brek, pastikan spesifikasi minyak brek. Dot 3 untuk kegunaan biasa (biasanya kereta yang mempunyai disk di depan dan drum di belakang) dan Dot 4 untuk kegunaan berat (bagi kereta yang mempunyai sistem 4 roda disk dan kereta berkuasa tinggi). Jika tidak pasti tanya mekanik kerana kesilapan minyak brek boleh menyebabkan keseluruhan sistem brek kita akan mengalami kerosakan terutama pada pembalut yang diperbuat daripada getah.

5. Sekiranya terdapat kesan calar pada disk atau drum, minta mekanik menilai, sama ada boleh pakai lagi atau tidak. Jika kita hendak menukar pelapik brek, dicadangkan asah kembali disk atau tukar drum kepada yang lebih baik. Kesan calar ini boleh menjadi penghalang pelapik brek mencengkam disk atau drum. Hasilnya, brek akan kurang berkesan.

6. Kerosakan yang selalu berlaku adalah brek ‘jam’. Keadaan ini berlaku kerana pelapik brek tidak kembali terapung apabila kita lepaskan brek dan terus mencengkam disk. Kerosakan adalah pada angkup yang mengawal pelapik brek.

7. Untuk kereta auto, pelapik brek hadapan akan lebih cepat haus dari belakang (biasanya dua kali ganda cepatnya), pastikan anda lebih kerap memeriksa pelapik brek hadapan.

8. Jika ingin mengubahsuai sistem brek kereta anda, pastikan mendapat kebenaran bertulis Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Syarikat insurans akan melindungi jika kemalangan berlaku disebabkan sistem brek.

9. Semasa memandu elakkan kaki daripada sentiasa berada di atas pedal brek. Ini dapat menjimatkan penggunaan pelapik brek.

10. Semasa menuruni bukit yang curam, jangan gunakan brek, sebaliknya gunakan brek enjin (gear rendah) untuk mengawal kelajuan kereta anda.

11. Sekiranya suka memandu laju dan secara agresif, tukar pelapik brek kereta anda kepada yang lebih tahan panas seperti projek U. Pastikan anda menukar juga sistem saluran minyak brek kepada saluran bersalut logam. Ini bagi memastikan sistem brek kereta anda dapat berfungsi dalam keadaan tekanan dan suhu serta tinggi dan tindak balas brek anda akan lebih cepat apabila pedal ditekan.

12. Akhir sekali, cuma pastikan setiap kali anda hantar kereta  untuk ditukar minyak enjin, minta mekanik memeriksa juga minyak brek, kotak minyak gear, pelapik brek, lampu brek ketiga, aras pedal brek dan klac, tekanan angin tayar, alignment tayar, spark plug, penapis angin, penapis petrol dan sebagainya.

Jangan cuma tukar minyak hitam saja kerana peralatan lain perlu juga selalu diperiksa. Jangan tertipu dengan mekanik yang cuma menukar minyak hitam dan penapis minyak hitam apabila kita menghantar kereta untuk diservis dan kita dikenakan bayaran tinggi untuk upahnya.

Automotif EEV pemangkin perindustrian negara

February 10, 2014 by  
Filed under Permotoran

Comments Off

Permotoran – SATU agenda transformasi industri automotif telah diumumkan baru-baru ini bertujuan untuk terus memacu peningkatan daya saing perindustrian negara melalui ketetapan yang terkandung dalam Dasar Automotif Negara (DAN) 2014.

Demi untuk terus menempuh cabaran yang sedia ada dan cabaran di masa hadapan, DAN 2014 dirumuskan bukan sekadar untuk memenuhi kehendak semasa perusahaan automotif tapi secara keseluruhan, DAN 2014 juga adalah satu rencana strategi membentangkan hala tuju baharu bagi peningkatan perusahaan industri automotif tempatan dalam proses berterusan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian.

Dalam usaha mewujudkan rangkaian industri ke arah proses industrialisasi, Malaysia di waktu itu memerlukan beberapa industri pemangkin yang secara langsung akan melahirkan satu komuniti pengusaha tempatan menghasilkan bekalan dan keperluan komponen bagi aktiviti pemasangan.

Maka industri-industri pemangkin seperti Proton, Perodua, Hicom-Honda dan Modenas ditubuhkan. Hasil daripada usaha ini sekarang terdapat sejumlah lebih 500 industri dalam rangkaian pembekal komponen kenderaan tempatan dan secara keseluruhan, rangkaian industri automotif sekarang menyumbang sebanyak 550,000 peluang pekerjaan kepada ekonomi negara.

Perkembangan pesat industri automotif di tahun-tahun 1980-an dan akhir 1990-an juga berjaya melahirkan para ilmuwan dan para profesional yang sama-sama melaksanakan pembangunan industri, mereka bentuk kenderaan dan komponen, menjalankan aktiviti pengilangan komponen dan kenderaan serta menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan di bidang teknologi kenderaan dan komponen, teknologi bahan, teknologi pemprosesan dan pembuatan. Lain-lain aktiviti bersangkutan seperti peningkatan sains dan teknologi, khidmat lepas jualan, latihan dan pembangunan sumber manusia juga terus maju.

Jelas, industri automotif tempatan adalah industri strategik yang telah berjaya menyediakan wadah dan pemangkin dalam memacu Malaysia ke arah sebuah negara perindustrian.

Namun, selama lebih dari 30 tahun berbagai cabaran ditempuhi di mana salah satunya ialah, krisis kejatuhan matang wang yang berlaku dalam tahun 1997 yang mengakibatkan perkembangan industri automotif tempatan terjejas dengan ketara. Bermula dari tahun 2000 pula, tuntutan liberalisasi perdagangan oleh komuniti dagangan dunia telah meletakkan Malaysia dalam keadaan dilema bagi mengimbangkan tuntutan liberalisasi dengan kehendak perlindungan industri automotif tempatan.

Di samping melayani tuntutan liberalisasi yang tidak dapat dielakkan, DAN 2014 juga merumuskan satu pendekatan dan hala tuju baharu supaya industri automotif akan terus dipertingkatkan dan berperanan sebagai industri pemangkin dengan menerokai bidang pengeluaran kenderaan cekap tenaga (EEV).

Matlamatnya adalah, Malaysia bakal menjadi pusat atau hab pengeluar kenderaan jenis EEV di rantau ini.

Selain dari membuka pasaran baharu bagi perusahaan automotif tempatan, hasrat menjadikan Malaysia sebagai pusat pengeluaran EEV juga akan menarik para pengusaha automotif global melabur di negara ini di samping menggalakkan penyertaan para pelabur tempatan di bidang automotif. Inisiatif ini juga akan meningkatkan semua aspek perusahaan kenderaan dalam suasana yang lebih kompetitif.

Dianggarkan, keseluruhan rantau ASEAN akan memerlukan sejumlah enam juta kenderaan setahun mulai tahun 2020 yang mana di waktu itu, kenderaan EEV akan menjadi lebih popular. Menceburi bidang keluaran EEV ini mulai sekarang adalah langkah terbaik bagi negara merebut peluang pasaran yang begitu luas di masa hadapan.

Malahan, Malaysia pula dilihat oleh para perusahaan automotif global, khusus pengeluar kenderaan bukan Jepun, sebagai negara terbaik bagi melabur dan membangun perusahaan kenderaan EEV berdasarkan situasi semasa di mana hampir keseluruhan pengilang komponen tempatan bersifat terbuka dan tidak terikat dengan mana-mana individu di antara para perusahaan automotif global.

Kenderaan EEV diklasifikasikan sebagai kenderaan yang memenuhi dua ketetapan, iaitu pertama, semasa beroperasi mengeluarkan asap atau udara pencemaran yang rendah di bawah piawaian yang ditetapkan, atau udara tidak mencemar alam sekitar seperti asap biodiesel atau langsung tanpa pencemaran seperti kenderaan elektrik. Sementara ketetapan kedua pula, kenderaan menggunakan bahan tenaga yang rendah untuk mencapai jarak perjalanan yang ditetapkan.

Penglibatan negara dalam perusahaan EEV akan memberi peluang kepada bakat baharu dalam kalangan para jurutera, ahli akademik, penyelidik sains dan teknologi serta pekerja mahir di dalam keseluruhan rangkaian industri bekalan komponen bagi mempertingkatkan lagi kemampuan teknologi tinggi. Bidang ciptaan enjin-enjin bercirikan EEV adalah amat mencabar juga bidang-bidang reka bentuk transmisi dan sistem kawalan kenderaan adalah bidang yang sangat diperlukan agar keluaran kenderaan lebih kompetitif.

Sementara itu, teknologi pengeluaran juga akan meningkat di mana pengetahuan dan kepakaran memproses dan membentuk komponen daripada bahan-bahan ringan bagi mengurangkan berat kenderaan akan menjadi keutamaan. Penyelidikan dalam bidang bahan komposit dan bahan bukan besi akan menjadi lebih intensif agar komponen yang dikeluarkan bukan sahaja ringan tetapi memenuhi kuatan mekanikal yang diperlukan.

Keseluruhannya, perusahaan EEV akan menukar ekosistem industri automotif tempatan yang akan memberikan nafas baharu kepada para pengusaha bagi meningkatkan daya saing masing-masing.

DAN 2014 juga memberikan perhatian kepada mencari penyelesaian terbaik terhadap isu-isu mikro berhubung industri dan pasaran automotif, namun, matlamat makronya adalah untuk memperkasa dan mempertingkatkan kemampuan rakyat Malaysia ke arah negara perindustrian di masa hadapan dengan memberikan tumpuan kepada pembangunan industri pemangkin baharu iaitu perindustrian EEV.

PENULIS adalah Ketua Pegawai Eksekutif

Institut Automotif Malaysia (MAI)

Syarikat automotif dipelawa melabur

January 29, 2014 by  
Filed under Permotoran

Comments Off

BANGALORE, INDIA 29 Jan. – Sektor pembuatan komponen automotif India dipelawa melabur di Malaysia bagi meningkatkan jumlah eksport untuk industri itu seiring dengan pengumuman Dasar Automotif Nasional (DAN) 2014.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perkara itu disuarakan semasa pertemuan beliau dengan Menteri Perdagangan dan Industri India, Anand Sharma bersempena dengan misi perdagangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di sini.

Selain fokus tersebut ujarnya, misi berkenaan merupakan dimensi baharu kepada usahawan PKS untuk mengembangkan sayap perniagaan mereka di negara ini terutama dalam bidang teknologi komunikasi maklumat (ICT).

“Kita mahu menggalakkan syarikat pembuatan komponen automotif India untuk melabur di pasaran ASEAN selain Malaysia mahu meningkatkan jumlah nilai eksport untuk industri tersebut.

“India bakal menjadi pusat pengeluar automotif dan kita harap kerjasama dalam bidang ini dapat dicapai selari dengan pengumuman DAN 2014 ,” katanya kepada pemberita Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, India turut mempelawa Malaysia untuk terlibat dalam proses pembuatan makanan dan pertanian yang turut dibincangkan oleh syarikat-syarikat berkaitan antara kedua-dua negara.

Katanya, hasrat itu selari dengan keputusan negara terbabit untuk meneruskan liberalisasi ekonomi mereka demi meningkatkan jumlah pelaburan asing.

“Perkara itu dicapai semasa pertemuan tokoh korporat di Forum Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia-India yang menjadi platform kepada mereka yang berminat untuk menjalankan perniagaan di dua negara ini.

“India berpotensi untuk meningkatkan jumlah pelaburan mereka di Malaysia memandangkan kurangnya halangan ke arah itu selain tidak ada kerenah birokrasi,” katanya.

Mustapa berkata, India mengutamakan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang turut membabitkan lima rakan kongsi lain iaitu Australia, China, New Zealand, Jepun dan Korea Selatan bagi meningkatkan jumlah perdagangan mereka memandangkan negara itu tidak terlibat dengan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA)

Kata beliau, Malaysia dan India pada masa sama meletakkan sasaran nilai dagangan mencapai RM66.8 bilion menjelang tahun depan. – UTUSAN

« Previous PageNext Page »