Hukuman gantung sampai mati

May 23, 2013 by  
Filed under Mahkamah/Jenayah

Comments Off

SHAH ALAM, 23 Mei : Peguam N Pathmanabhan dan tiga bekas pekerja ladang dihukum gantung sampai mati selepas disabitkan oleh Mahkamah Tinggi di sini, sebentar tadi, dengan kesalahan membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya, hampir tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan semua bukti dan bahan bukti yang dikemukakan di mahkamah sepanjang perbicaraan yang bermula pada 4 Julai 2011.

Katanya, pendakwaan berjaya membuktikan kes berkenaan melangkaui kerugian munasabah manakala pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.
Pathmanabhan, 44; T Thilaiyagan, 22; R Matan, 23 dan R Khatavarayan, 33, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot Nombor 2001 Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, 30 Ogos 2010.

Adam Adli didakwa menghasut

May 23, 2013 by  
Filed under Mahkamah/Jenayah

Comments Off

KUALA LUMPUR, 23 Mei : Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli Abdul Halim, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, sebentar tadi atas dakwaan mengeluarkan kenyataan menghasut dalam satu ceramah, pada 13 Mei lalu.

Adam Adli, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dibacakan terhadapnya di depan Hakim Norsharidah Awang.

 Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Abazafree Mohd Abbas menawarkan jaminan RM5,000 kepada tertuduh tetapi peguam bela N Surendran memohon supaya anak guamnya dibebaskan dengan bon sendiri tanpa jaminan.
Mahkamah menetapkan 2 Julai ini untuk sebutan kes.

Sindiket ‘bomoh Cina’ tumpas

May 21, 2013 by  
Filed under Mahkamah/Jenayah

Comments Off

IPOH 21 Mei – Selepas mengaut keuntungan atas angin mencecah jutaan ringgit hasil kegiatan penipuan sejak 2010, satu sindiket penipuan didalangi ‘bomoh Cina’ yang kononnya mempunyai kuasa membuang nasib malang akhirnya dicekup polis Jumaat lalu.

MOHD. Shukri Dahalan (tengah) menunjukkan barangan kemas dan wang tunai yang dipercayai milik mangsa yang berjaya dirampas pihaknya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen Perak di Ipoh, semalam.

 

Lima anggota sindiket tersebut terdiri daripada empat wanita dan seorang lelaki warga China berusia 45 hingga 51 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah bilik hotel dekat Kulim, Kedah pada pukul 3.30 pagi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahalan berkata, tangkapan itu hasil risikan polis melalui pasukan khas yang ditubuhkan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri sejak lima bulan lalu.

Katanya, sindiket berkenaan ditahan susulan kes yang dipercayai didalangi kumpulan tersebut di Langkap, Pasir Salak pada 23 April lalu.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan polis merampas wang tunai berjumlah RM3,270 Dolar Singapura (RM1,718) dan 9,000 yuan (RM4,373).

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai barang kemas antaranya enam utas gelang, 14 bentuk cincin, sembilan anting-anting, dua bentuk loket, dua utas rantai leher dan seutas rantai tangan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hari ini.

Mohd. Shukri memberitahu, berdasarkan semakan dokumen perjalanan suspek, tiga daripada mereka memasuki negara ini pertama kali manakala selebihnya pernah masuk beberapa kali.

Katanya, kesemua mereka kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan ditahan reman selama empat hari sehingga hari ini.

“Sindiket ini terlibat dalam beberapa kes di negeri ini dan sejak 2010 hingga 2013, terdapat 23 kes tipu bomoh Cina dilaporkan melibatkan kerugian berjumlah RM1.18 juta.

“Modus operandi kumpulan ini adalah memperdayakan mangsa agar menyerahkan wang tunai dan barangan kemas untuk tujuan membuang nasib malang atau buruk. Mangsa mereka pula terdiri daripada warga emas,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, orang awam terutama kaum Cina dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan individu tidak dikenali yang mengaku sebagai bomoh bagi mengubati pelbagai penyakit.

Next Page »