BN Kekalkan Kerusi Batu Sapi
November 4, 2010 by Mail
Filed under Articles, PRK P.185 BATU SAPI
SANDAKAN: 04 Nov – Seperti dijangka Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi dengan memperoleh 9,773 undi.
Calon BN yang diwakili oleh Datin Linda Tsen Thau Lin berjaya menewaskan dua calon lain.
Calon Parti Keadilan Rakyat, Ansari Abdullah mengekori dengan mendapat 3,414 undi sementara Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee sekadar memperoleh 2,031 undi.
Keputusan rasmi diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada pukul 8.40 malam tadi.
Pengiraan Undi Di Batu Sapi Bermula
November 4, 2010 by Mail
Filed under Articles, PRK P.185 BATU SAPI
SANDAKAN: 04 Nov - Pengiraan undi di SK Tronglit di Pulau Timbang, satu daripada 12 pusat mengundi dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Batu Sapi, Khamis sedang dijalankan sebaik pengundian melibatkan 984 pemilih di situ tamat pada 3 petang tadi.
Pegawai pengurus pilihan raya itu, Mohamad Hamsan Awang Supain, memberitahu Bernama bahawa apabila pengiraan selesai, undi itu akan dibawa dengan bot ke pusat penjumlahan undi di Dewan Orang Ramai Sandakan.
Pusat pengundian di SK Segaliud pula, yang mempunyai 785 pengundi, akan ditutup pada 4 petang manakala yang lainnya akan ditutup pada 5 petang.
Pilihan raya kecil itu melibatkan calon Barisan Nasional Datin Linda Tsen Thau Lin, calon Parti Maju Sabah Datuk Yong Teck Lee dan calon Parti Keadilan Rakyat Ansari Abdullah.
Kerusi itu kosong berikutan kematian Datuk Edmund Chung Ket Wah dari B Nakibat satu nahas jalan raya pada 9 Oktober lepas. Tsen adalah balu Chung. – BERNAMA
Proses pengundian di Galas, Batu Sapi bermula
November 4, 2010 by Mail
Filed under Articles, PRK N.45 GALAS, PRK P.185 BATU SAPI
GUA MUSANG: 04 Nov – Proses pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Gua Musang, Kelantan, dan Parlimen Batu Sapi di Sandakan, Sabah, bermula apabila pusat pengundian dibuka pada 8 pagi.
Pertandingan di DUN Galas membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Ab Aziz Yusoff, dan calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed, manakala di Batu Sapi pula menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Datin Linda Tsen Thau Lin, Datuk Yong Teck Lee daripada Parti Maju Sabah (SAPP) dan Ansari Abdullah daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Proses pengundian akan berakhir pada 5 petang. Di DUN Galas, pengundi sudah mula berbaris di pusat pengundian dan antara mereka ialah pengundi Orang Asli yang tinggal sejauh sempadan Pahang-Kelantan di Lojing bersebelahan Cameron Highlands.
DUN Galas mempunyai 11,553 pengundi berdaftar. Penjumlahan undi akan dilakukan Pusat Sivik Gua Musang, di sini dan keputusan dijangka diumumkan pada 8 malam.
Cuaca cerah pada waktu pagi dijangka kekal sehingga petang namun pengundi dinasihatkan datang awal untuk mengundi kerana kemungkinan hujan menjelang lewat petang.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 13 pusat pengundian dibuka bagi pilihan raya kecil itu.
Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, pada 27 September akibat barah usus.
Sementara itu, bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, 10 pusat pengundian dibuka dari 8 pagi hingga 5 petang, manakala dua lagi pusat pengundian masing-masing ditutup pada 3 petang dan 4 petang.
Dua pusat pengundian itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Timbang yang mempunyai 984 pemilih dan ditutup pada 3 petang serta SK Segaliud dengan 785 pemilih dan ditutup pada 4 petang.
Seramai 24,047 pemilih biasa dijangka mengundi hari ini setelah pengundian pos diadakan pada Selasa dan semalam.
Sepuluh lagi pusat mengundi adalah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Sandakan, SK Gas, SMK Batu Sapi, SK Kampung Bahagia, SJK (C) Pei Ying, SK Bandar Sandakan, SJK (C) Cheng Min, SK Karamunting, SK Bandar Dua dan Perpustakaan Sandakan.
SPR dijangka mengumumkan keputusan pilihan raya kecil Batu Sapi pada 8 malam dengan penjumlahan undi dilakukan di Dewan Masyarakat Sandakan.
Batu Sapi mempunyai 25,582 pengundi, di mana 15,099 atau 59.02 peratus adalah Bumiputera Islam, 689 atau 2.69 peratus adalah Bumiputera bukan Islam, 9,737 atau 38.06 peratus ialah pengundi Cina dan 57 atau 0.22 peratus pengundi kaum lain.
Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Edmund Chong Ket Wah dalam kemalangan jalan raya pada 9 Oktober. – BERNAMA
75 Peratus Pengundi Batu Sapi Dan 80 Peratus Pengundi Galas Mengundi Khamis
November 3, 2010 by Mail
Filed under Articles, PRK N.45 GALAS, PRK P.185 BATU SAPI
SANDAKAN, 3 Nov – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan 75 peratus daripada 25,582 pengundi pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi akan menunaikan kewajipan mereka Khamis.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata jangkaan itu dibuat berdasarkan tumpuan pekerja parti politik yang bertanding menggalakkan pemilih untuk keluar pengundi.
Bagi mencapai peratus itu, beliau menasihatkan pemilih di Batu Sapi agar keluar awal untuk mengundi pada sebelah pagi kerana mengikut ramalan Jabatan Meteorologikal hujan dijangka pada petang, katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Mengundi di SMK Batu Sapi dekat sini.
Pada pilihan raya umum ke 12, hanya 61.45 peratus atau 15,980 pemilih di kerusi Parlimen Batu Sapi keluar mengundi daripada 25,774 pemilih. Katanya sebanyak 12 pusat mengundi dengan 10 pusat mengundi dibuka pada pukul 8 pagi hingga 5 petang, manakala dua lagi pusat mengundi masing-masing ditutup pada pukul 3 petang dan 4 petang.
Beliau berkata dua pusat mengundi tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Timbang ditutup pada pukul 3 petang yang mempunyai 984 pemilih dan SK Segaliud ditutup pada pukul 4 petang mempunyai 785 pemilih.
Sepuluh lagi pusat mengundi adalah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Sandakan, SK Gas, SMK Batu Sapi, SK Kampung Bahagia, SJK (C) Pei Ying, SK Bandar Sandakan, SJK (C) Cheng Min, SK Karamunting, SK Bandar Dua dan Perpustakaan Sandakan.
Abdul Aziz berkata bagi pusat mengundi di SJK (C) Cheng Min, SPR menyediakan bas khas bagi memudahkan pengundi disebabkan jalan raya curam untuk sampai ke sekolah itu.
Dalam pada itu, beliau mengulangi nasihat kepada parti yang bertanding supaya mematuhi peraturan pilihan raya khususnya berkaitan penggunaan pembesar suara untuk berkempen, alat muzik, membuka pondok panas dan berkumpul di kawasan pusat pengundian.
“Jika terdapat pondok panas yang diwujudkan oleh parti yang bertanding, kita akan mengambil tindakan tegas untuk merobohkannya,” tegasnya.
Beliau juga meminta majikan di sektor awam dan swasta membenarkan pekerja mereka yang mengundi di pilihan raya kecil Batu Sapi ini untuk pergi mengundi.
Katanya mana-mana majikan yang menghalang pekerja mereka untuk keluar mengundi boleh diambil tindakan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (pindaan 2002) iaitu didenda tidak lebih RM5,000.
Sementara itu bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Galas, Abdul Aziz berkata SPR menjangkakan pemilih keluar mengundi berjumlah 80 peratus.
Katanya pada pilihan raya sebelum ini peratusan yang mengundi di DUN itu adalah 81 peratus.
– BERNAMA
BN Telah Lakukan Usaha Terbaik Di Galas Dan Batu Sapi – Muhyiddin
November 3, 2010 by Mail
Filed under Articles, PRK N.45 GALAS, PRK P.185 BATU SAPI
GUA MUSANG, 3 Nov – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Barisan Nasional (BN) telah melakukan usaha terbaik bagi membantu rakyat khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas serta Parlimen Batu Sapi dan berharap mereka akan membuat keputusan yang tepat pada hari pengundian.
Timbalan Perdana Menteri berkata, jentera BN di kedua-dua kawasan pilihan raya kecil itu telah menggunakan kesempatan tempoh berkempen dengan sebaik-baiknya untuk memberikan penjelasan mengenai hasrat kerajaan membawa pembangunan dan membantu rakyat.
“Ini sudah sampai ke jam yang terakhir dalam kempen (pilihan raya kecil) baik di Galas dan Batu Sapi, kita telah (ambil) peluang dan kesempatan yang kita gunakan sejak lebih seminggu lepas untuk perjelaskan pelbagai isu yang ditimbulkan pihak parti pembangkang.
“Saya harap dengan kesempatan yang ada ini kita telah dapat menimbulkan keyakinan yang lebih kepada pengundi tentang keadaan yang sebenarnya dan mereka akan membantu untuk menyokong calon BN,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Sungai Terah di sini.
Timbalan Pengerusi BN itu berkata, rakyat tidak seharusnya terpedaya dengan dakyah yang disebarkan parti pembangkang kerana ia bersifat fitnah dan tohmahan.
“Pemimpin PAS boleh berkata ia tanggungjawab kita (BN) tetapi untuk Kelantan macam juga negeri-negeri lain kita bantu secara menyeluruh termasuk pembangunan sosial, kemudahan seperti sekolah serta infrastruktur yang lain,” katanya.
Ditanya mengenai peluang BN di kedua-dua kawasan pilihan raya kecil berkenaan, Muhyiddin berkata, “Kita berdoa kepada Allah selepas kita berusaha dengan begitu gigih tidak mengira penat dan lelah, siang dan malam tidak cukup tidur, tidak cukup makan, dengan niat ikhlas nak tolong rakyat, tuhan akan makbulkan doa kita.”
Bagaimanapun katanya, beliau mendapat maklum balas positif di DUN Galas, katanya: “Daripada laporan yang kita terima nampak perubahan yang jelas berlaku di bawah maknanya pengundi mula sedar dan sudah keluar untuk menyambut jentera dan kempen yang kita anjurkan.”
Sementara itu, Muhyiddin meminta semua pihak agar tidak menimbulkan sebarang kekecohan pada hari pengundian Khamis.
Beliau berkata, rakyat yang layak mengundi tidak perlu berasa bimbang dan takut untuk keluar mengundi kerana pihak berkuasa telah memberikan jaminan keselamatan.
– BERNAMA
601 Anggota TLDM Mengundi Secara Pos Di Batu Sapi Hari Ini
November 3, 2010 by Mail
Filed under Articles, PRK P.185 BATU SAPI
SANDAKAN: 03 Nov – Seramai 601 pemilih undi pos hari ini melaksanakan tanggungjawab mengundi bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, kata Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Batu Sapi Mohd Hamsan Awang Supain.
Beliau berkata proses pengundian di Dewan Sukan Taman Samudera di Batu 5, Jalan Labuk membabitkan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengundi mulai pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari.
Undi pos bermula semalam yang membabitkan 1,014 pemilih pos terdiri anggota polis dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya. Keseluruhan pemilih undi pos berjumlah 1,615 orang.
Proses undi pos yang dijalankan bermula semalam berjalan lancar.
Undi pos akan dikira esok dengan undi pemilih biasa di Dewan Masyarakat Sandakan, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata keputusan pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi dijangka diketahui pukul 8 malam esok.
Terdapat 24,047 pemilih biasa layak mengundi esok di 12 pusat mengundi membabitkan enam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong dan enam lagi di DUN Karamunting.
Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Datin Linda Tsen Thau Lin daripada Barisan Nasional, Datuk Yong Teck Lee daripada Parti Maju Sabah dan Ansari Abdullah daripada Parti Keadilan Rakyat.
- BERNAMA
Pengundi Bumiputera Islam Menyokong Calon BN
November 2, 2010 by Mail
Filed under Articles, PRK P.185 BATU SAPI
SANDAKAN, 2 Nov – Menjelang dua hari lagi hari mengundi di kawasan Parlimen Batu Sapi, Datin Linda Tsen dikatakan telah menerima sokongan padu di kalangan 15,099 pengundi bumiputera Islam.
Jika telahan ini tepat, maka calon Barisan Nasional (BN) ini hanya perlu memperolehi antara 25 hingga 50 peratus lagi sokongan daripada 9,737 pengundi Cina untuk memenangi kerusi kawasan tersebut.
Batu Sapi yang merangkumi kawasan Dewan Undangan Negeri Karamunting dan Sekong mempunyai 25,582 pengundi.
Menurut sumber parti, balu kepada penyandang jawatan Wakil Rakyat Batu Sapi ini, Datuk Edmund Chong Ket Wah yang meninggal pada 9 Okt lalu, dijangka turut memperolehi undi simpati daripada pengundi wanita di kawasan yang didiami penduduk Cina.
Pada pilihan raya umum 2008, suami Tsen memperolehi 9,479 undi menewaskan calon Bebas, Dr Chung Kong Wing yang mendapat 5,771 undi.
Tsen pula akan berdepan dua calon lelaki dari Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee iaitu Presiden SAPP dan bekas Ketua Menteri Sabah serta calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ansari Abdullah.
“Keadaan mungkin berubah nanti, tapi kini kami sedang mendahului sokongan dengan selesa di kawasan bumiputera Islam sementara sokongan pengundi Cina semakin meningkat.
“Dalam tempoh dua hari ini, kami akan turun berhabis-habisan untuk menarik pengundi Cina bagi memastikan kemenangan BN.
“Secara umum, cita rasa penduduk Batu Sapi terutama di kawasan Sekong menunjukkan mereka mahu BN mewakili mereka di Parlimen,” kata seorang pemimpin kanan Umno.
Ketua Puteri Umno bahagian Kinabatangan, Rohhenzie Lamri turut menggesa pengundi wanita terutama pengundi muda supaya menyokong Tsen.
“Hanya kerajaan BN yang mampu menyediakan pelbagai peluang untuk menaik taraf hidup rakyat dan oleh itu golongan muda perlu menyokong BN,” katanya.
Namun calon SAPP dilihat menjadi batu penghalang utama kepada Tsen untuk melangkah ke Parlimen.
Yong dikatakan diterima baik oleh pengundi Cina di Karamunting kerana beliau disifatkan sebagai seorang yang lantang bersuara, namun beliau dilihat sukar menembusi pengundi bumiputera Islam di Sekong, iaitu kawasan kubu kuat Umno.
Kehadiran Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Batu Sapi sedikit sebanyak menghasilkan sokongan kepada Ansari, namun belum pasti sama ada beliau mampu membuat kejutan.
Kempen kepada calon BN pula dilakukan menerusi semangat 1Malaysia dengan turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan hari ini Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim akan bergerak dari rumah ke rumah.
– BERNAMA
1,014 Pemilih Pos Batu Sapi Mengundi Hari Ini
November 2, 2010 by Mail
Filed under Articles, PRK P.185 BATU SAPI
SANDAKAN, 2 Okt – Pengundian bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi bermula Selasa melibatkan 1,014 pengundi pos terdiri anggota polis dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Mereka adalah antara 1,615 pengundi pos bagi pilihan raya kecil itu, dengan 601 lagi membabitkan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia yang layak untuk mengundi esok.
“Sehingga 11 pagi tadi, proses undi pos di tiga pusat undi pos berjalan lancar,” kata Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Batu Sapi Mohd Hamsan Awang Supain ketika ditemui pemberita di pusat undi pos bagi petugas SPR di Pejabat Majlis Perbandanran Sandakan di sini.
Anggota polis daripada Pasukan Gerakan Am mengundi di Pejabat PGA di Karamunting, anggota polis lain di Pusat Giat Mara Sandakan dan petugas SPR di Pejabat Majlis Perbandaran Sandakan.
Anggota TLDM akan mengundi esok di Taman Samudera di Batu 5 di Jalan Labuk.
Mohd Hamsan berkata undi pos bagi petugas SPR adalah dari 8 pagi hingga 4 petang manakala undi pos bagi anggota polis adalah dari 9 pagi hingga 4 petang.
Seramai 24,047 pemilih biasa layak mengundi pada Khamis ini di 12 pusat mengundi.
Pilihan raya kecil itu melibatkan Datin Linda Tsen Thau Lin daripada Barisan Nasional, Datuk Yong Teck Lee daripada Parti Maju Sabah dan Ansari Abdullah daripada Parti Keadilan Rakyat.
– BERNAMA
Tun Mahathir Yakin BN Boleh Menang Di Galas Dan Batu Sapi
November 1, 2010 by Mail
Filed under Articles, PRK N.45 GALAS, PRK P.185 BATU SAPI
KUALA LUMPUR: 01 Nov – Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang cerah untuk memenangi pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Galas dan kawasan Parlimen Batu Sapi berikutan masalah dalaman yang dihadapi pembangkang, kata mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Saya fikir BN mempunyai peluang cerah kerana prestasi pembangkang tidak berapa baik sangat. Kini mereka berkelahi sesama sendiri dan sebagainya. Jika mereka menang dan menjadi kerajaan, ia akan menjadi bencana kepada negara,” katanya kepada pemberita di Persidangan Sedunia mengenai Riba di sini pada Isnin.
Ditanya tentang kritikan terhadap calon PAS di Galas, Dr Zulkefli Mohamed yang dikatakan tidak dapat berkhidmat dengan baik kepada rakyat kerana gemuk, Dr Mahathir berkata keadaan fizikal bukan perkaranya.
“Saya tidak fikir berat badannya sesuatu yang perlu kita ambil kira. Perkara yang lebih penting ialah dia mewakili parti yang tidak mempunyai kredibiliti,” kata beliau.
Calon BN, Ab Aziz Yusoff akan menentang Dr Zulkefli sementara di Batu Sapi, calon BN Datin Linda Tsen Thau Lin akan menentang calon SAPP, Datuk Yong Teck Lee dan calon PKR, Ansari Abdullah.
Kedua-dua pilihan raya diadakan serentak Khamis ini. – BERNAMA
Ansari kecewa didakwa tak ada feng shui
November 1, 2010 by Mail
Filed under Articles, PRK P.185 BATU SAPI
SANDAKAN: 01 Nov – Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ansari Abdullah semalam menyatakan kekecewaannya terhadap pemimpin Barisan Nasional (BN) yang menuduh beliau tidak ada ‘feng shui’ atau ditimpa kecelakaan akibat dua kali terjatuh ke dalam laut ketika berkempen.
Katanya, kenyataan pemimpin terbabit mencerminkan betapa rendahnya tahap pemikiran mereka yang lebih mementingkan ‘feng shui’ berbanding menganggapnya sebagai takdir Allah.
“Sejak bila BN percaya kepada ‘feng shui’? Ada pemimpin BN menuduh saya mereka-reka kejadian terjatuh ke dalam laut, semata-mata ingin meraih simpati. “Terjatuh ke dalam laut bukan perkara main-main. Mereka kata saya main-main atau mereka-reka terjatuh ke dalam laut,” katanya pada sidang media di pejabat PKR Cabang Batu Sapi, di Bandar Leila, di sini.
Bagaimanapun, Ansari tidak menyatakan siapa pemimpin BN yang membuat tuduhan itu.
Ansari terjatuh ke dalam laut apabila jeti di Kampung Api-Api di Pulau Timbang runtuh ketika beliau menaiki jeti berkenaan Rabu lalu.
Beliau sekali lagi ditimpa kemalangan apabila terjatuh ketika berjalan di titi yang menyambungkan pelantar pejalan kaki dengan rumah seorang penduduk Kampung Gas Baru, dekat sini, Jumaat lalu.
Dalam kejadian di Kampung Api-Api beliau tidak cedera tetapi dalam kejadian di Kampung Gas Baru, beliau cedera di bahu kanan dan terpaksa menggunakan anduh.
Sementara itu, Kit Siang mendakwa kempen jentera Pakatan Pembangkang mendapat sambutan di kawasan bandar yang kebanyakannya adalah pengundi Cina.
“Pertarungan ini semakin mencapai kemuncak. Kami akan terus bekerja untuk mencapai kejayaan,” katanya.
Anwar pula mendakwa, kempen Pakatan Rakyat turut mendapat sambutan daripada pengundi Melayu di luar bandar yang didakwanya berminat dengan konsep keadilan yang dibawa pembangkang.
















