Kemenangan BN bukti rakyat Kelantan mahukan perubahan – Ku Li
November 4, 2010 by Mail
Filed under Articles, PRK N.45 GALAS
GUA MUSANG 4 Nov. – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz Yusoff pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas sebagai bukti rakyat Kelantan mahukan perubahan.
Beliau percaya, rakyat kini semakin sedar bahawa hasrat itu hanya boleh dicapai sekiranya mereka memilih BN dan bukannya parti pembangkang pada setiap kali pilihan raya.
“Walaupun pilihan raya kecil ini tidak boleh dijadikan satu ukuran sebenar, hakikatnya ia sedikit sebanyak boleh menjadi petunjuk mood rakyat terhadap BN yang kini semakin meningkat.
“Apa yang perlu dilakukan selepas ini, kita terus berkhidmat kepada rakyat. Kita mesti buktikan BN benar-benar parti pembela rakyat, parti yang sentiasa mendampingi rakyat dan parti yang sentiasa memperjuangkan nasib rakyat,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.
Beliau mengulas kemenangan Abdul Aziz apabila berjaya mengalahkan calon Pas, Dr. Zulkifli Mohamad pada Pilihan Raya Kecil DUN Galas hari ini.
Pada pilihan raya kecil tersebut Abdul Aziz berjaya mengalahkan Dr.Zulkifli dengan majoriti 1,190 undi apabila mendapat 5,324 undi berbanding Dr. Zulkifli yang hanya memperoleh 4,134 undi.
N45 Galas: Kekalahan Tidak Diduga, Kata Abdul Fatah
November 4, 2010 by Mail
Filed under Articles, PRK N.45 GALAS
GUA MUSANG: 04 Nov – PAS tidak menjangkakan menerima kekalahan dengan majoriti besar pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.
Bagaimanapun Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun berkata, parti itu menerima hakikat gagal mempertahankan kerusi DUN Galas yang dimenangi mereka pada pilihan raya umum 2008.
“Kekalahan ini sesuatu di luar jangkaan… tapi kami terpaksa menerima hakikat dengan keputusan ini.
“Saya terkejut kerana ia di luar dugaan kita, mungkin ada kelemahan yang berlaku,” katanya di sini, Khamis malam.
Pilihan raya kecil DUN Galas menyaksikan penguasaan BN yang diwakili Ab Aziz Yusoff dengan majoriti 1,190 undi yang memperoleh sebanyak 5,324 undi.
Beliau menewaskan calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed yang mendapat 4,134 undi.
Abdul Fatah bagaimanapun berpuas hati dengan gerak kerja jentera PAS sepanjang pilihan raya berkenaan namun akan mengkaji faktor kekalahan parti itu.
“Saya berpuas hati dengan pergerakan jentera pilihan raya kali ini tapi keputusan ini kita kena ambil masa nak kaji.
“Lepas ini kita akan buat post-mortem untuk kenalpasti punca kekalahan,” katanya.
Aziz Janji Galas Masalah Rakyat
November 4, 2010 by Mail
Filed under Articles, PRK N.45 GALAS
GUA MUSANG: 04 Nov – Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas yang baru, Abdul Aziz Yusoff berjanji akan cuba menyelesaikan masalah rakyat di kawasannya terutama isu pembangunan.
Beliau yang memperoleh majoriti 1,190 undi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Galas, merasakan menjadi tanggungjawabnya untuk membantu memajukan rakyat di Galas setelah mereka memberikan mandat yang tinggi.
“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada rakyat Galas kerana memberikan kepercayaan kepada saya dengan begitu banyak dan menaruh keyakinan kepada saya sebagai “orang baru” dalam DUN,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman keputusan pilihan raya kecil DUN Galas di sini malam tadi.
Pegawai Pengurus pilihan raya kecil DUN Galas Wan Mustapha Wan Ab Hamid mengumumkan Abdul Aziz, dari Barisan Nasional (BN) memperoleh 5,324 undi mengalahkan calon PAS Dr Zulkefli Mohamad, yang mendapat 4,134 undi.
Beliau berkata keyakinan itu jelas diterjemahkan melalui jumlah undi terutama masyarakat Melayu, kaum Cina, India dan orang Asli yang mahukan pembangunan yang lebih baik daripada BN. Katanya kesemua mereka jelas menolak kepimpinan kerajaan Pas Kelantan yang masih gagal mengubah taraf kehidupan mereka sejak memerintah negeri itu selama 20 tahun.
Katanya beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan jentera BN, termasuk MIC, MCA dan PPP, yang memberikan kepercayaan serta sokongan kepada dirinya.
“Saya tidak ada apa-apa janji lain cuma saya akan berkhidmat sebaik mungkin dengan sedaya-upaya saya,” katanya dengan tersenyum. -BERNAMA
Faktor Ku Li Dan Penerimaan Rakyat Beri Kemenangan Besar Kepada BN Di Galas
November 4, 2010 by Mail
Filed under Articles, PRK N.45 GALAS
GUA MUSANG: 04 Nov – Ketokohan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan penerimaan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) sebagai pemangkin kepada perubahan di Kelantan menjadi antara faktor utama kemenangan parti itu dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.
Kekuatan BN di Galas dipengaruhi ketokohan dan jasa Tengku Razaleigh, yang merupakan anak raja pencetus kepada pembukaan serta pembangunan Gua Musang, sewaktu menjadi Menteri Kewangan, sehingga kawasan itu menjadi pintu masuk ke Kelantan daripada Kuala Lumpur dan negeri-negeri daripada Pantai Barat, melalui Cameron Highlands.
Tengku Razaleigh yang lebih mesra dengan panggilan “Ku Li”, merupakan tokoh yang dihormati dan beliau merupakan Anggota Parlimen paling lama berkhidmat sebagai wakil rakyat iaitu selama 41 tahun mulai 1969.
Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Che Sulaima, 46, dari PAS, yang meninggal dunia akibat kanser usus pada 27 Sept lalu.
Kemenangan calon BN Abdul Aziz Yusoff dengan majoriti besar 1,190 undi mengalahkan calon PAS Dr Zulkefli Mohamad diumumkan Pegawai Pengurus pilihan raya kecil DUN Galas Wan Mustapha Wan Ab Hamid, malam tadi.
Ia sekaligus menjadikan kemenangan pertama BN dalam pilihan raya kecil di Kelantan selepas pilihan raya kecil DUN Manik Urai pada 14 Julai tahun lepas.
Dengan kemenangan itu, BN kini menguasai kesemua kerusi DUN bagi Parlimen Gua Musang, selain Nenggiri dan Paloh.
Malah kerusi BN kini bertambah menjadi tujuh kerusi di dalam DUN, Pas pula susut satu kerusi menjadi 37 kerusi dalam DUN dan satu kerusi lagi milik sekutu Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Menurut pemerhati politik, boleh dikatakan corak kempen yang diatur Tengku Razaleigh dengan cara bersemuka bagi memenangi hati pengundi banyak menyumbang kepada kemenangan BN.
Malah Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri menyerahkan kepada kebijaksanaan Tengku Razaleigh sebagai Pilihan raya BN kawasan Galas untuk menentukan corak kempen itu.
Muhyiddin sedar Tengku Razaleigh lebih memahami sikap dan keperluan pengundi, logistik dan taburan penduduk sebelum merangka strategi itu.
Menurut pemerhati politik, dengan strategi baru berkempen secara berhemah bagi mendekati 11,553 pengundi di DUN Galas, ia diterima baik oleh penduduk Galas.
Ia berbeza sebelum ini apabila BN tidak lagi menumpukan kepada program besar-besaran dengan menjadikan pemimpin besar sebagai ‘umpan’ bagi memancing kehadiran penduduk.
Malahan di kawasan 1,889 pengundi Orang Asli, BN meletakkan jenteranya di rumah-rumah mereka untuk menetap di sana bagi memberikan penjelasan serta membantu Orang Asli termasuk di Pos Hendrop, Pos Blau, Kuala Betis dan Pos Brooke.
Faktor calon baru BN Abdul Aziz turut menyumbang kepada kemenangan itu kerana beliau lebih dekat dihati rakyat kerana pernah bertugas sebagai pengurus Pejabat Operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), sebuah agensi pusat yang bertanggungjawab memacu pembangunan Hulu Kelantan.
Berbanding calon Pas Dr Zulkefli, yang pernah tewas dua kali dalam pilihan raya umum 2004 dan 2008 dengan Tengku Razaleigh di kawasan Parlimen Gua Musang, ia menunjukkan rakyat telah mengenali siapa sebenarnya Dr Zulkefli.
Gerak kerja Umno Kelantan yang menumpukan perhatian terhadap empat kelompok pengundi warga emas yang menerima bantuan Jabatan kebajikan Masyarakat, wanita, pemuda dan golongan agama, juga banyak membantu.
Menurut pemerhati politik, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed melihat bahawa keempat-empat kelompok itu perlu didampingi kerana mereka juga merupakan penentu kepada kejayaan BN.
Menurut pemerhati politik, faktor lain seperti kerjasama berpasukan jentera pilihan raya dalam parti-parti komponen BN juga tidak boleh diketepikan.
Pilihan raya kecil kali ini menyaksikan Kerajaan Pas Kelantan juga turut dibelenggu dengan kelemahan pentadbirannya selama 20 tahun yang kian “membuka pekung di dada” dan antara isu yang timbul ialah isu untuk membangunkan lagi kawasan Gua Musang serta menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan belia.
Selain itu, pengundi turut menilai isu “Ladang Rakyat” yang dilihat gagal kerana menimbulkan kemarahan rakyat kerana tanah yang mereka usahakan selama 20 tahun dengan tanaman getah dan sawit diambil balik kerajaan negeri untuk diberikan kepada syarikat pemaju.
Malah masyarakat Orang Asli sendiri kecewa dengan kerajaan negeri yang selama ini banyak mengabaikan kebajikan mereka termasuk dalam soal tanah menyebabkan kawasan yang menjadi tempat memburu dan bertani kini diceroboh pihak luar.
Bagi BN, yang menjadi parti membawa perubahan kepada pembangunan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat, usaha itu telah terbukti sejak 53 tahun negara merdeka dan kejayaan itu mendapat perhatian masyarakat pelbagai kaum di Galas dan jajahan lain di negeri itu yang terlalu lama dahagakan pembangunan sejak 20 tahun lalu di bawah kerajaan Pas Kelantan yang masih gagal melaksanakannya.-BERNAMA
N45 Galas: SPR Anggap Kertas Undi Silap Cetak Mengarut
November 4, 2010 by Mail
Filed under Articles, PRK N.45 GALAS
GUA MUSANG: 04 Nov – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyifatkan dakwaan bahawa terdapat kertas undi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas tidak tercetak lambang parti politik yang bertanding adalah karut dan tidak benar.
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, dakwaan berkenaan sengaja dibuat bagi menimbulkan keraguan dan mengganggu proses pilihan raya.
“Ini cerita karut, saya pun hairan bagaimana mereka boleh mengada-adakan cerita begini.
“Kalau benar wujudnya perkara berkenaan, SPR adalah pihak pertama yang mengetahui mengenainya. Tapi saya dimaklumkan oleh ketua pusat mengundi di peti-peti undi tersebut, tidak berlaku perkara sedemikian,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Khamis.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tiga laporan polis yang dibuat oleh penyokong PAS yang mendakwa kertas undi mereka tidak tercetak lambang parti politik sebaliknya hanya tertera nama calon Barisan Nasional (BN), Ab Aziz Yusoff dan calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed.
Tiga yang berkenaan ialah Zainab Jalar yang juga isteri kepada calon PAS yang mengundi di pusat mengundi Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRKJC) Gua Musang.
Turut mengalami situasi yang sama ialah dua lagi pengundi iaitu Asmah Salleh dan Zaleha Salleh yang masing-masing mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Lepan Jaya dan SK Tengku Muhammad Fakhry Petra.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, beliau yakin perkara berkenaan tidak berlaku kerana proses pengeluaran kertas undi berkenaan dilakukan dengan teliti dan diperiksa oleh pegawai SPR.
“Semua kertas-kertas undi dicetak oleh Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) dan setiap satu daripadanya akan diperiksa dengan teliti oleh pegawai-pegawai SPR.
“Saya pun tak faham bagaimana cerita-cerita karut ini boleh timbul,” katanya.
BN Rampas Galas, Majoriti Meningkat Kepada 1,190
November 4, 2010 by Mail
Filed under Articles, PRK N.45 GALAS
GUA MUSANG: 04 Nov – Barisan Nasional (BN) berjaya merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dengan majoriti 1,190 undi.
BN yang diwakili Ab Aziz Yusoff memperoleh 5,324 undi sakaligus mengecewakan lawannya daripada PAS, Dr Zulkefli Mohamed yangmemperolehi sebanyak 4,134 undi.
Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Galas,Wan Mustaffa Wan Abdul Hamid kira-kira pukul 8.55 malam Khamis di pusat penjumlahan undi di Dewan Pusat Sivik di sini.
Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya Che Hashim Che Sulaima, 46, dari PAS, yang meninggal dunia akibat kanser usus pada 27 September lalu.
Allahyarham Chek Hashim mendapat 4,399 undi menewaskan Mohd Saufi Deraman (3,753 undi) daripada BN dengan majoriti 646 undi.Galasterletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang bersama Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dan DUN Paloh.
DUN Galas mempunyai 11,553 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 11,426 pemilih biasa dan 127 pemilih pos.
Daripada jumlah itu, 7,125 orang (61.63 peratus) terdiri daripada kaum Melayu, Cina(2,317), India (185), bumiputera Sarawak (10), Orang Asli (1,889) dan lain-lain (27).
BN dahului PAS di Galas
November 4, 2010 by Mail
Filed under Articles, PRK N.45 GALAS
GUA MUSANG: 04 Nov – Barisan Nasional (BN) mendahului PAS dengan majoriti 816 undi, setakat jam 8 malam ini.
Pengumuman itu dibuat oleh Pegawai Pengurus pilihan raya kecil DUN Galas, Wan Mustapha Wan Ab Hamid.
Beliau berkata, calon BN, Abdul Aziz Yusoff memperoleh 3,864 undi dan calon Pas, Dr Zulkefli Mohamad, mendapat 3,048 undi.
“Perjumlahan undi itu dibuat berdasarkan 20 peti undi daripada 26 peti undi yang ada, dan hanya enam lagi peti undi masih dikira,” katanya ketika mengumumkannya di pusat penjumlahan undi di Dewan Sivik Gua Musang di sini malam ini.
Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, pada 27 September akibat barah usus.
DUN Galas mempunyai 11,553 pengundi berdaftar.
Seramai 9,555 pengundi atau 82.71 peratus keluar mengundi pada pilihan raya kecil DUN Galas berbanding 81 peratus pada pilihan raya umum 2008. – BERNAMA
Ketua Puteri UMNO Kuala Krai diserang ketika rayu undi
November 4, 2010 by Mail
Filed under Articles, PRK N.45 GALAS
GUA MUSANG 4 Nov. – Ketua Puteri UMNO Kuala Krai, Suzaini Adlina Mohd. Shukri, cedera diserang seorang wanita dipercayai anggota parti lawan ketika sedang merayu undi di Sekolah Kebangsaan Cina Gua Musang di sini dalam pilihan raya kecil Galas hari ini.
Dalam kejadian 11.30 pagi itu, Suzaini Adlina, 37, diserang dari arah belakang oleh wanita itu yang menggunakan tiang bendera menyebabkan beliau cedera di dahi dan hidung.
“Ketika itu peraih undi parti lawan berada di sebelah kanan dan saya berada di sebelah kiri, dan apabila datang seorang pengundi, saya turut bersama dengan anggota wanita parti lawan mengiringi pengundi tersebut ke pusat pengundian.
“Secara tiba-tiba saya diserang daripada belakang dari arah belakang. Dia mengetuk saya dua kali dan apabila saya berpaling ke arah penyerang itu, sekali lagi saya diserang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Gua Musang. – Bernama
Galas: 4 pusat mengundi di penempatan Orang Asli ditutup
November 4, 2010 by Mail
Filed under Articles, PRK N.45 GALAS
GUA MUSANG: 04 Nov – Empat pusat pengundian di kawasan pedalaman bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas ditutup pada 1 tengah hari ini, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Empat pusat pengundian yang ditutup itu ialah Pos Belatim, Pos Hau, Pos Bihai dan Pos Balar atas faktor semua kertas undi di kawasan itu perlu dibawa keluar menggunakan helikopter.
Menurut SPR, seramai 924 penduduk Orang Asli menjadi pemilih berdaftar di empat kawasan itu. Semua peti undi itu dihantar ke pusat pengumpulan peti undi dan penjumlahan undi di Dewan Sivik Gua Musang di sini. Helikopter dijangka tiba pada 2 petang ini.
Keputusan pilihan raya kecil itu dijangka diumumkan pada 8 malam ini.
Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, pada 27 September akibat barah usus.
Pertandingan di DUN Galas membabitkan calon Barisan Nasional, Ab Aziz Yusoff dan calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed.
DUN Galas mempunyai 11,553 pemilih berdaftar. – BERNAMA
N45 Galas: Jangan Lakukan Provokasi, Ingatan Nik Aziz Kepada Ahli PAS
November 4, 2010 by Mail
Filed under Articles, PRK N.45 GALAS
GUA MUSANG: 04 Nov – Penyokong PAS dinasihat supaya bergerak secara semangat dakwah tanpa mencetuskan sebarang provokasi sepanjang tempoh mengundi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yangberlangsung pada Khamis.
Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, penyokong parti itu sentiasa mengamalkan budaya bersederhana sejajar dengan ajaran Islam.
“Saya sudah pesan kepada penyokong-penyokong PAS supaya bergerak secara bersederhana dan dakwah.
“Kita tak bertindak agresif, tak ada apa, hanya sederhana…kalau orang kacau kita, kita doa kepada Allah,” katanya ketika ditemui selepas melawat pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra 1 di sini, Khamis.
Turut bersamanya ialah calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai komitmen PAS agar mematuhi peraturan pilihan raya yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar tidak mencetuskan sebarang provokasi hinggamenyebabkan gangguan terutamanya kepada pengundi untuk keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Sebelum itu di luar kawasan pusat mengundi berkenaan berlaku insidenkecil pergaduhan antara penyokong PAS dan Barisan Nasional (BN).
Manakala di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Taman Sri Wangi turut berlaku kejadian tumbuk menumbuk kira-kira pukul 8.30 pagi antara penyokong kedua parti yang bertanding.
Bagaimanapun pergaduhan itu segera dileraikan pihak polis dan tiadasebarang kecederaan berlaku.
















