Rasmi – BN Kekalkan Kerusi DUN Tenang Dengan Majoriti Bertambah
January 30, 2011 by admin
Filed under News1, PRK DUN TENANG
LABIS, 30 Jan — Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang apabila calonnya Mohd Azahar Ibrahim mengalahkan calon PAS Normala Sudirman dengan majoriti yang bertambah.
Mohd Azahar memperoleh 6,699 undi manakala Normala memperoleh 2,992 undi yang memberikan majoriti 3,707 kepada calon BN.
Pada pilihan raya umum lepas, calon BN allahyarham Datuk Sulaiman Taha memperoleh majoriti 2,492 mengalahkan calon PAS Md Saim Siran.
Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil DUN Tenang Md Asri Amir di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis pada kira-kira pukul 10.05 malam.
Keputusan itu yang pada mulanya dijangka diumumkan seawal pukul 8 malam bagaimana terlewat sedikit disebabkan kelewatan tiba beberapa peti undi akibat banjir besar yang melanda kawasan DUN berkenaan pada Ahad.
———————————————————————
Berita Tidak Rasmi – 8.00 malam.
7.01 petang : BN berjaya mempertahankan kerusi tersebut.
Keputusan tidak rasmi menunjukkan BN mendapat sekitar 6,698 undi manakala PAS mendapat 2,963 undi.
calon BN, Mohd Azahar Ibrahim menang dengan majoriti 3,733 undi – meningkat 1,243 undi berbanding majoriti 2,492 undi pada 2008.
——————————————————————-
Hujan lebat sejak malam tadiberterusan sehingga pagi ini tidak menghalang perayu undi bagi dua dua belah parti untuk terus membawa keluar pengundi ke pusat mengundi.
Hari ini penduduk Dun Tenang menunaikan kewajipan bagi memilih calon mereka bagi mewakili mereka di Dewan Undangan Negeri Johor.
Pilihanraya kecil diadakan setelah kerusi DUN Tenang di kosongkan
apabila Wakil Rakyat DUN ini, Dato’ Sulaiman Taha yang telah meninggal dunia pada 17 Januari yang lalu.
Seramai 14,753 pengundi dari DUN Tenang akan memilih antara dua calon yang bertanding , Azahar Ibrahim, 39, bekas pegawai daerah (UMNO) atau calon PAS Normala Sudirman, 38 seorang bekas guru.
Sebanyak 12 pusat mengundi dibuka. DUN Tenang mempunyai lima kampung Tradisional ,3 penempatan Felda , tiga kampung baru Cina,4 estate 2 perkampungan orang Asli 25 penempatan perumahan moden dan 2 kuarters kerajaan
Peratusan undi Melayu adalah sebanyak 47.5 peratus , Cina (39 peratus), India (12 peratus) lain lain (1.3 peratus).
Pusta pengundian dibuka dari jam 8pagi sehingga jam 5 petang. ke[utusan dijangka akan diperoleh seawal jam 8 malam.
Kerusi ini adalah merupakan kubu kuat Barisan Nasional di mana Barisan Nasional telah memenangi kerusi ini dengan majoriti
5,517 pada PRU 2004 dan majoriti 2,492 pada PRU 2008.
Laporan terus dari Tenang dari masa ke masa.
8.0o pagi Perayu undi mula menjalankan tugas dan hujan lebat di Tenang sejak semalam.
8.55 pagi : Azhar Calon BN mengundi di dewan serbaguna Kampung Paya 
9.00 pagi : Tenang Station sudah mula banjir , Pekan Labis dan beberapa tempat sudah mula di naiki air hujan bertambah lebat tiada tanda akan berhenti. Menteri Besar Negeri Sembilan berada di DUN Cemplak mengerakkan jentera BN Negeri Sembilan.
10.00 pagi:
12.00 tengah hari: 7219 pengundi telah mengundi 48.93 peratus sudah keluar mengundi .
12.00 t hari : TPM berkata peratusan majoriti akan merosot kerana hujan dan ada kawasan yang banjir.
1 .00 tengah hari :55.36 peratus keluar mengundi atau 8167 pengundi yang telah mengundi .
3.00 ptg : 65.19 peratus 9618 opengundi sudah keluar mengundi.
Pemimpin DAP nampaknya panik dengan peratusan rendah keluar
mengundi masyarakat Cina. Beberapa pemimpin parti itu menghantar ‘SOS’ menggesa mereka keluar mengundi.
Ahli parlimen Serdang, Teo Nie Ching menulis peratus pengundi Cina yang keluar mengundi amat rendah di Labis.
peratusan keluar mengundi megikut peti undi:
1. Bandar labis tengah – 28.6%
2. Bandar labis timur – 30.8%
3. Chemplak – 55.9%
4. Chemplak barat – 63.7%
5. Felda Tenang – 59.4%
6. Kg.Redong – 67.3%
7. Labis – 31.0%
8. Ladang Bukit Dato- 57.3%
9. Ladang Labis Utara – 38.4%
10. Pekan ayer panas – 56.5%
11. Sawah Bahru – 72.0%
12. Tenang stations – 38.3%
SPR mengesahkan 10,585 pengundi turun mengundi dan keseluruhan peratusan mengundi adala 71.75 peratus dari 14,753 apabila peti undi di tutup pada jam 5 petang tadi.
wakil N9kini.com Tenang : Ismail Othman dan Fuad Minhat
Pengundi Dinasihat Keluar Mengundi Awal
January 29, 2011 by Mail
Filed under Articles, PRK DUN TENANG
LABIS: 29 Jan – Para pengundi di sini dinasihatkan supaya keluar mengundi pada waktu pagi pada Ahad kerana cuaca diramalkan hujan pada sebelah petang.
“Mengikut ramalan kaji cuaca sebelah pagi dikatakan mendung, sebelah petang hujan. Jadi saya ingin nasihatkan pengundi-pengundi di sini keluar mengundi sebelah pagi.
“Jangan tangguh-tangguh. Keluar mengundi awal,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan terakhir petugas SPR di Pusat Penjumlahan Undi Rasmi di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis di sini pada Sabtu.
Abdul Aziz berkata, SPR juga telah membuat persediaan rapi sekiranya banjir berlaku di kawasan mengundi.
“Pengundi akan diangkut meggunakan trak daripada Jabatan Pertahanan Awam 3, Pasukan Bomba dan Penyelamat, pihak polis dan Majlis Daerah Labis sekiranya jalan untuk menuju ke pusat mengundi dilanda banjir.
“Tempat mengundi tidak akan berlaku banjir tetapi di Kampung Sawah Baru jalannya rendah sedikit. Jarak antara jalan ke pusat mengundi, di Sekolah Kg Sawah Baru lebih kurang tiga kilometer,” katanya.
Jelasnya, pihak SPR telah bersedia sejak dari awal lagi supaya ia tidak menggangu pengundi untuk keluar dan melaksanakan tanggungjawab mereka.
Beliau juga masih optimis, sasaran 80 peratus pengundi akan keluar melaksanakan tanggungjawab mereka walaupun dengan keadaan cuaca yang tidak menentu sejak lima hari yang lalu di Tenang.
“SPR perlu optimis. Kita harap pengundi sedar tanggugjawab mereka. Jangan risau masalah keselamatan keran kita ada pihak polis.
“Sekiranya jalan ke pusat mengundi tidak boleh diakses, kita sudah bersedia. Insya-Allah kita boleh capai 80 peratus,” katanya.
Beliau turut menasihatkan penyokong parti-parti bertanding supaya mematuhi arahan dan undang-undang bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
“Saya harap penyokong parti tidak berkumpul di tempat-tempat tertentu untuk meraih dan merayu undi. Bila dah makin ramai dia akan jadi perkara yang lain,” katanya.
Abdul Aziz turut meninjau persiapan terakhir di pusat penjumlahan undi pada Sabtu berpuas hati dengan persiapan yang dijalankan oleh petugas-petugas pilihan raya.
“Kita dapati persiapan di pusat-pusat mengundi telah berjalan dengan baik. Kertas-kertas undi telah disemak dengan teliti oleh para petugas mengikut saluran dan tempat mengundi masing-masing.
“Kita tidak mahu ada sedikit pun kecacatan dan aduan berkenaan kertas undi seperti di Galas mereka kata kertas undi kita tak ada simbol,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan parti-parti bertanding supaya tidak berkempen selepas tempoh kempen tamat pada pukul 12 tengah mala ini.
“Sekiranya mereka terus berkempen, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya. Pada hari mengundi juga tidak dibenarkan meraih dan merayu undi kerana ia sebahagian daripada kempen.
“Saya dah sebut banyak kali. Penyokong parti dari luar khasnya jangan melanggar undang-undang. Pihak polis akan membantu SPR untuk menguatkuasakan undang-undang ini,” katanya.
Menjelang hari pengundian esok, Abdul Aziz berkata hanya barung SPR sahaja yang dibenarkan untuk membantu pengundi menyemak saluran dan pusat mengundi mereka.
Keputusan penuh pilihan raya kecil DUN Tenang dijangka akan diumumkan seawal pukul 8 malam
Pilihan raya kecil DUN Tenang menyaksikan saingan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan PAS.
BN telah memilih bekas Penolong Tadbir Pejabat Daerah Rengit, Mohd Azhar Ibrahim, 39, manakala PAS diwakili oleh Normala Sudirman, 39, bekas guru sebagai calon.
DUN Tenang mempunyai 14,753 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 14,735 pemilih biasa dan 18 pengundi pos, dengan kebanyakan penduduk bekerja sebagai petani, pekerja di ladang getah dan kelapa sawit.
Daripada jumlah itu, 7,014 orang (47.54 peratus) terdiri daripada kaum Melayu; Cina (5,766); India (1,780); Bumiputera Sabah (enam), Bumiputera Sarawak (lima) dan Orang Asli (171).
SPR telah menyediakan sebanyak sembilan buah sekolah dan tiga buah dewan akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi 32 saluran tempat mengundi.
Muhyiddin serah bantuan kepada mangsa banjir Tenang
January 28, 2011 by Mail
Filed under Articles, PRK DUN TENANG
LABIS: 28 Jan – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyerahkan bantuan kerajaan kepada 36 mangsa banjir di Kampung Lembah Bakti yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.
“Kerajaan amat bersimpati dengan apa juga masalah yang menimpa rakyat seperti bencana banjir. Kita akan menghulurkan apa juga bantuan kepada rakyat yang memerlukan,” katanya pada majlis penyerahan bantuan itu di Balai Raya Kampung Lembah Bakti hari ini.
Hadir sama Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab dan Pegawai Daerah Segamat, Borhan Amir.
Muhyiddin berkata, dalam banjir yang berlaku di Kedah dan Perlis penghujung tahun lalu, kerajaan menyalurkan RM30.6 juta dalam pelbagai bentuk bantuan kepada mangsa banjir di kedua-dua negeri itu.
Hujan lebat sejak beberapa hari lalu di Tenang yang sedang menyaksikan satu pilihan raya kecil, mengakibatkan beberapa kampung yang terletak di kawasan rendah dan berhampiran sungai ditenggelami air.
Muhyiddin meminta penduduk yang terjejas akibat banjir supaya sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan berpindah ke tempat selamat jika perlu.
“Jangan berlengah sehingga air mencecah paras leher. Pada ketika itu, operasi pemindahan akan bertambah sukar,” katanya.
Pengundian dalam pilihan raya kecil itu adalah pada Ahad ini. Ia membabitkan Mohd Azahar Ibrahim, 39, daripada Barisan Nasional, dan Normala Sudirman, 38, daripada PAS. – BERNAMA
‘Tak undi PAS orang jahiliah’
January 28, 2011 by Mail
Filed under Articles, PRK DUN TENANG
LABIS: 28 Jan - Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, semalam menyifatkan mereka yang tidak mengundi PAS sebagai orang jahiliah.
Beliau merujuk demikian ketika ditanya mengenai peluang PAS pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dengan berkata: “Peluang terletak atas orang sini (Tenang)… atas pengundi. Dia (pengundi) nak kekal dengan jahiliah ke hendak terima Islam.
“Kalau nak kekal jahiliah apa boleh buat. Sekarang ada dua…. ada jahiliah, ada Islam… tolak jahiliah ambil Islam, itu yang betul dunia akhirat,” katanya yang juga Menteri Besar Kelantan pada sidang media di Kampung Redong, di sini semalam.
Nik Aziz berkata, peluang calon PAS, Normala Sudirman ini terletak kepada pengundi di kawasan berkenaan.
“Macam mana Allah Taala buat Islam, kemudian kita tolak sedangkan kita orang bijak… kita pun berkawan dengan orang bijak,” katanya.
Dari segi bahasa, jahiliah berasal daripada perkataan ‘jahala’ atau kata terbitan ‘jahlun’ bermaksud bodoh dan sesat atau jahil yang merujuk kepada masyarakat Arab jahiliah di Semenanjung Tanah Arab lebih kurang 1,400 tahun dulu ketika mereka masih mundur dari segi akhlak dan moral.
Terdahulu, Nik Aziz sempat memberikan ceramah ringkas kepada kira-kira 100 penduduk Kampung Redong dalam majlis meraikan Normala yang hadir bersama suaminya, Maarof Abd Mutalib.
Mengenai isu calon PAS enggan bersalaman dengan orang ramai seperti dibangkitkan pada awal kempen, beliau berkata, yang menjadi masalah adalah pihak yang menimbulkan isu itu tidak memahami Islam.
Isteri yakin sokongan azimat buat Azahar
January 28, 2011 by Mail
Filed under Articles, PRK DUN TENANG
LABIS: 28 Jan - “Sebagai isteri, sudah tentu peranan saya terus memberikan dorongan dan kata-kata semangat kepada suami untuk memastikan beliau bekerja kuat mendapatkan sokongan,” kata Tuty Roshizana Tumin.
Isteri calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azahar Ibrahim itu, berkata beliau yakin sokongan itu menjadi azimat dan perangsang kepada suami supaya tidak patah semangat walaupun diasak serangan dan tuduhan pembangkang.
“Selain sama-sama turun padang membantu suami berkempen, saya juga sentiasa memberi dorongan kepadanya sehinggalah berakhir tempoh kempen,” katanya.
Beliau mengakui jadual hariannya turut berubah sejak Mohd Azahar dinamakan sebagai calon BN, tetapi tidak menganggapnya beban.
“Setiap hari bangun jam 6.30 pagi untuk solat Subuh dan menyediakan sarapan kepada suami sebelum mengikuti semua program kempen yang sudah diatur. Paling ketara, saya sekarang berjumpa ramai orang dari segenap lapisan masyarakat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang. Dulu selalu juga berjumpa rakyat, tetapi tidak seramai seperti sekarang,” katanya.
Sementara itu, Mohd Azahar yang sudah menemui kira-kira 90 peratus pengundi pelbagai lapisan masyarakat DUN Tenang, terus bertekad menggandakan usaha bertemu seramai mungkin pemilih sebelum hari mengundi Ahad ini.
Sambil menegaskan akan terus bekerja kuat dan berkempen hingga saat akhir, beliau berpuas hati dengan maklum balas diterimanya.
Suami calon PAS dinasihat berehat
January 28, 2011 by Mail
Filed under Articles, PRK DUN TENANG
LABIS: 28 Jan - Tindakan guru guna cuti sakit bantu kempen isteri jadi persoalan orang ramai.
Maarof Abd Mutalib, suami calon PAS bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Normala Sudirman dinasihat berehat di rumah, jika beliau benar-benar sakit.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata apa yang berlaku ketika ini adalah sebaliknya apabila guru berkenaan turun menyertai kempen isterinya selepas mendapat cuti sakit.
“Beliau berhak memohon cuti, tetapi secara terang dia (Maarof) kelihatan menyalahguna sijil cuti sakit yang dikemukakannya. Dalam hal ini, ternyata dia seorang pembohong… mendakwa pejuang Islam, tetapi berbohong.
“Jika cuti sakit, sepatutnya duduk saja di rumah tetapi dia boleh meredah banjir, berjalan di bawah terik matahari, sekali gus menunjukkan dia sihat,” katanya ketika dihubungi semalam.
Berikutan itu, Dr Mohd Puad menyifatkan tindakan Maarof tidak bertanggungjawab, berbohong serta menunjukkan contoh tidak baik sebagai penjawat awam dan pendidik.
Katanya, jika Maarof seorang guru yang bertanggungjawab, beliau sepatutnya mengambil cuti tanpa gaji dan memohon kebenaran menyertai kempen isterinya.
Berikutan itu, pihaknya menyerahkan kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Johor, menyiasat perbuatan guru berkenaan dan menyediakan laporan penuh dengan segera.
Kehadiran Maarof menemani isterinya sepanjang kempen pilihan raya kecil itu mula menimbulkan tanda tanya apabila ada desas desus mendakwa beliau sebenarnya sedang bercuti sakit sejak 6 Januari lalu.
Laporan akhbar semalam memetik Maarof sebagai berkata, beliau sedang bercuti kerana mahu menemani isterinya berkempen dan sedia meletak jawatan sebagai guru jika Normala menang pada pilihan raya kecil itu.
Sementara itu, Maarof yang ditemui pemberita sejurus majlis makan tengah hari bersama penduduk Kampung Tenang yang turut dihadiri Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Normala semalam, sekadar menjelaskan belum bersedia menjawab isu berkenaan.
“Saya tiada komen… perkara itu saya tidak bersedia menjawabnya buat masa ini. Saya hanya mahu menumpu serta memberi fokus menyokong isteri berkempen dan menghadapi pilihan raya kecil ini,” katanya.
Pengarah Kesihatan Johor, Dr Mohd Khairi Yakub, berkata mengikut Perintah-perintah Am Pegawai Kerajaan, bagi sektor awam, terpulang kepada ketua jabatan untuk menerima atau menolak MC yang dikeluarkan doktor di Kementerian Kesihatan.
“Tempoh cuti sakit pula bergantung kepada situasi dan sakit apa. Tempohnya boleh dapat sehingga enam bulan jika patah kaki,” katanya.
‘Buat pilihan bijak, kekalkan wakil rakyat BN’
January 28, 2011 by Mail
Filed under Articles, PRK DUN TENANG
LABIS: 28 Jan – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata adalah sukar untuk kerajaan menyalurkan bantuan dari segi projek pembangunan ke kawasan yang tidak diwakili Barisan Nasional (BN).
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata kerajaan BN sememangnya prihatin dengan kebajikan rakyat sehingga menyediakan peruntukan untuk setiap kawasan diwakilinya, termasuk RM30 juta bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).
Sehubungan itu, Muhyiddin menasihatkan pengundi di DUN Tenang supaya membuat pilihan bijak dengan mengekalkan wakil rakyat BN di kerusi itu pada pilihan raya kecil, Ahad ini.
“Kalau pilih calon PAS, penduduk akan alami masalah menerima bantuan dari segi (projek) pembangunan kerana wakil rakyat mereka dari parti pembangkang.
“Justeru, pengundi perlu memastikan tidak silap memilih demi kebaikan masa depan DUN Tenang,” katanya yang juga Timbalan Presiden UMNO pada majlis mesra rakyat bersama masyarakat Cina di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ai Chun, di sini, malam tadi.
Ketika menghadiri Malam Irama Ponggal di Dewan SJKC Labis selepas itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak mahu rakyat membuat pandangan bahawa pemerintah hanya mementingkan projek besar tetapi rakyat di peringkat bawahan tidak mendapat manfaat.
“Kerajaan prihatin dan tidak pernah lupa semua peringkat masyarakat dan setiap perancangan akan turut membabitkan kepentingan semua kaum. Kita mempunyai pendekatan sama untuk memberi manfaat kepada Melayu, Cina dan India,” katanya.
Mengenai masyarakat India, beliau berkata, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet semata-mata untuk membantu menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan kelompok masyarakat berkenaan, termasuk sasaran setiap keluarga India mempunyai satu perusahaan kecil.
Taktik kotor burukkan BN dikesan
January 28, 2011 by Mail
Filed under Articles, PRK DUN TENANG
LABIS: 28 Jan - 198 peneroka Felda dapat surat palsu terima duit RM300 daripada Pejabat SUK.
Ada pihak dikesan menggunakan taktik kotor memburukkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dengan mengedarkan surat palsu kepada 198 peneroka di Felda Chempelak Barat, di sini.
Surat berkenaan dipos ke rumah peneroka dan menjemput mereka ke Dewan Serbaguna Labis bagi menerima bantuan wang tunai RM300 setiap keluarga yang kononnya diberikan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Johor.
Ia menggunakan kepala surat Majlis Daerah Labis (MDL) dan ditandatangani Setiausaha MDL, Mohd Farid Kassim bertarikh 24 Januari dengan penerima diminta hadir ke majlis itu mulai jam 9 pagi ini.
Peneroka juga diminta membawa surat berkenaan selain kad pengenalan yang perlu diserahkan kepada kakitangan di pintu masuk dewan serta menegaskan kehadiran mereka ke majlis itu amat diperlukan bagi kemenangan BN.
Pengedaran surat itu didedahkan ketua kampung berkenaan, Ahmed Ali, 63, yang berkata beberapa penduduk datang ke rumahnya untuk bertanyakan kesahihan surat berkenaan yang diterima secara pos pagi semalam.
Ahmed berkata, penduduk yang keliru menerima surat berkenaan mahukan kepastian sebelum beliau sendiri Mohd Farid yang menyatakan surat itu palsu dan membuat laporan polis di Balai Polis Labis, kira-kira jam 11 pagi semalam.
“Saya juga membuat laporan polis jam 3 petang tadi (semalam) kerana tidak mahu ada peneroka di Felda Chempelak Barat terpengaruh dengan dakyah ini,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, berkata taktik itu satu daripada usaha terdesak pihak tertentu yang mahu membuatkan rakyat terutama di Felda membenci kerajaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia, R S Thanenthiran turut membuat laporan di Balai Polis Labis mengenai tindakan sebahagian ahli parti yang menggunakan nama parti untuk menyokong calon PAS, Normala Sudirman.
Beliau mendakwa tindakan itu didalangi bekas Setiausaha Agung organisasi berkenaan, R Kannan yang menyamar sebagai presiden, sedangkan Kannan tidak lagi memegang jawatan itu selepas dipecat bersama 13 yang lain pada 20 Januari lalu kerana melanggar peraturan parti.
Sambil mengakui anggota parti itu kini berpecah kepada dua kelompok, Thanenthiran berkata, pihaknya sudah menggerakkan jentera dengan bantuan kira-kira 100 ahli bagi membantu calon BN, Mohd Azahar Ibrahim.
DUN Tenang: Nota hantu kian tersebar
January 28, 2011 by Mail
Filed under Berita Bergambar, PRK DUN TENANG
LABIS: 28 Jan - Jadi senjata kempen jentera parti tarik undi walaupun berbaur fitnah.
Risalah tidak bertuan atau nota hantu, kian disebar secara meluas pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang yang menjadi antara senjata kempen jentera parti bertanding bagi mempengaruhi pengundi.
Walaupun menarik perhatian orang ramai menerusi karikatur dan pembentangan fakta secara ringkas dan padat, ada sesetengahnya berbaur fitnah kerana tiada bukti disertakan bagi menyokong dakwaan.
Bahan kempen terbabit dipercayai dihasilkan penyokong parti bertanding walaupun tidak tertera nama pencetak pada bahan berkenaan.
Yang pasti, pihak yang mendalangi kegiatan penyebaran risalah itu kelihatan bekerja kuat sepanjang kempen berlangsung bagi menghasilkan pelbagai versi risalah demi memenangkan parti masing-masing.
Selain menggunakan mesin percetakan moden dan berwarna, ada juga risalah dihasilkan secara mudah dengan mesin fotostat saja.
Kebanyakan risalah dan buku kecil itu ditinggalkan sekitar kedai makan atau kawasan perumahan awam bagi menarik perhatian pengundi mengenai pelbagai isu yang dibangkitkan.
Selain perbezaan dan kelemahan dasar perjuangan antara parti yang bertanding menjadi sasaran serangan, isu peribadi calon juga tidak terkecuali, jika maklumat mengenai sejarah silam mereka diketahui oleh jentera yang boleh disifatkan sebagai bergerak bawah tanah ini.
Walaupun digelar risalah hantu, jika ia memuatkan fakta dan maklumat yang tepat, pastinya membantu pengundi membuat pilihan calon yang tepat ketika turun menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Ahad ini.
Bagi risalah yang berunsur fitnah, pastinya mengundang kemarahan seterusnya membawa kepada laporan polis seperti yang dilakukan Pergerakan Wanita UMNO Labis.
Risalah itu yang disifatkan berbentuk fitnah antara lain mendakwa Ketua Wanita UMNO bahagian berkenaan, Haslinda Salleh tidak menyokong calon BN, Mohd Azahar Ibrahim (Tok Ai) pada pilihan raya kecil DUN Tenang.
Bahan itu didakwa dari Kelab Wanita Veteran BN Labis yang tertera kenyataan “Kami penyokong Linda tidak akan menyokong Tok Ai sebagai calon BN tolak wanita” adalah tidak berasas apabila jentera Wanita Labis diketuai Haslinda sendiri giat berkempen memenangkan Mohd Azahar.
Malah, Kelab Wanita Veteran BN Labis juga tidak pernah wujud.
Urusetia Media Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi pilihan raya kecil DUN Tenang, Superintendan Abdul Aziz Ahmad, berkata setakat ini pihaknya hanya menerima satu laporan polis mengenai penyebaran risalah seumpama itu membabitkan laporan dari Wanita UMNO Labis.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya sentiasa membuat pemantauan mengenai penyebaran risalah tidak bertuan di sekitar kawasan pilihan raya kecil ini.
“Setakat ini kita hanya menerima laporan polis mengenai penyebaran risalah dan kita juga membuat pemantauan, selain akan membuat siasatan terperinci jika menerima sebarang laporan polis berkaitan risalah seumpama itu,” katanya.
Bloger Ajak Calon BN, PAS Berdebat
January 28, 2011 by Mail
Filed under Articles, PRK DUN TENANG
LABIS: 27 Jan – Kumpulan Bloger-Bloger Bebas (KUBID) pada Khamis menawarkan diri untuk menganjurkan satu debat antara kedua-dua calon yang bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Mohd Azhar Ibrahim daripada Barisan Nasional dan calon PAS, Normala Sudirman
Menurut jurucakap KUBID, Sharifuddin Abdullah majlis tersebut diadakan bagi membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan pembangunan dan masalah rakyat di DUN Tenang.
“Sesi debat atau diskusi ini kita adakan bagi membolehkan pengundi mengetahui dan menilai usaha serta hala tuju yang cuba dibawa setiap calon dengan lebih jelas serta berkesan terutama menjelaskan isu-isu yang didakwanya disembunyikan.
“Hasrat kami adalah mahu melihat amalan politik baru iaitu politikberpengetahuan yang subur diamalkan dan dijadikan amalan murni di arena politik negara ini.
“Hanya dengan adanya diskusi atau debat terbuka ini yang lebih telus antara calon yang bertanding,” katanya pada sidang media di Markas PAS di sini pada Khamis.
Jelasnya, berdasarkan pemantauan KUBID sepanjang lima hari berkempen, kedua-dua calon lebih banyak menjurus kepada kempen-kempen yang bersifat populis dan ‘kosmetik’ yang bertujuan mengaburi mata pengundi di DUN Tenang.
“Kami mempersoalkan tentang kewibawaan dan integriti calon-calon yang bertanding.
“Di manakah letak kewibawaan calon itu sekiranya kempen-kempen yang dijalankan lebih menjurus menyerang peribadi antara satu sama lain? Di manakah etika dan moralnya?” katanya.
Sharifuddin berkata, KUBID beracadang untuk mengadakan debat tersebut esok pada 9 malam di satu tempat yang akan ditetapkan setelah persetujuan dicapai antara kedua-dua calon.
Pada sidang media itu, Sharifuddin menyerahkan surat jemputan kepada Naib Presdein PAS Datuk Mahfuz Omar untuk mempelawa calonnya, Normala menyertai debat itu manakala surat jemputan kepada calon BN akan dihantar selewat-lewatnya petang ini.
















