Muhyiddin Lancar Portal Pendidikan E.B.S.I.S 2Y
October 20, 2010 by admin
Filed under Articles, Persidangan Agung UMNO 61
KUALA LUMPUR, 20 Okt — Dengan matlamat utama untuk melahirkan generasi muda cerdik dan berbakat, satu program belajar secara dalam talian yang dinamakan “Excellent, Brilliant, Successful, Intelligent, Smart, Youth dan Young” (E.B.S.I.S 2Y) dilancarkan Rabu untuk mencapai hasrat itu.
Pelancaran portal pendidikan itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran, pada perhimpunan agung Pergerakan Puteri Umno 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Program anjuran kerjasama Biro Penggerak Belia Puteri Umno dengan syarikat Creative Dreams bertujuan melahirkan generasi muda cerdik, berbakat dan cemerlang yang seterusnya mampu menjadi pewaris kepimpinan negara.
“Ia juga bertindak sebagai sebuah program yang mampu membantu generasi muda menjadi generasi celik IT (teknologi maklumat),” menurut kenyataan Puteri Umno mengenai pelancaran itu.
Turut hadir pada majlis itu isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
Di bawah kerjasama itu, Creative Dreams bersetuju menyumbangkan kepada Biro Penggerak Belia sebanyak RM400,000 berupa 500 portal pendidikan untuk diagihkan kepada setiap negeri.
Portal pendidikan itu akan diserahkan kepada sekolah menengah terpilih dan diletakkan di bawah pemantauan dan pemerhatian Biro Penggerak Belia Puteri Umno.
Tiga sayap pergerakan UMNO mula bersidang hari ini
October 20, 2010 by admin
Filed under Articles, Persidangan Agung UMNO 61
KUALA LUMPUR 20 Okt. — Ketiga-tiga sayap UMNO iaitu Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri memulakan persidangan perwakilan masing-masing hari ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Fokus persidangan dijangka menumpukan kepada usaha mengukuhkan jentera parti bagi membolehkan ketiga-tiga sayap menjadi barisan hadapan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Wanita UUMNO dengan 793 perwakilan mengadakan perhimpunan agung di Dewan Tun Hussein Onn, manakala Pergerakan Pemuda dengan 795 perwakilan di Dewan Merdeka.
Pergerakan Puteri dengan 776 perwakilan pula mengadakan perhimpunan di Dewan Tun Dr Ismail.
Perasmian serentak perhimpunan ketiga-tiga sayap itu disempurnakan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, malam tadi.
Pada perhimpunan hari ini, ketua pergerakan ketiga-tiga sayap itu akan menyampaikan ucapan yang kemudiannya dibahas oleh anggota perwakilan.
Tiga usul iaitu ekonomi, pendidikan dan agama akan dicadangkan untuk dibahaskan oleh para perwakilan.
mizie@n9kini.com
Umno Perlu Dilihat Lebih Perjuangkan Hak Melayu
October 20, 2010 by admin
Filed under Articles, Persidangan Agung UMNO 61
Kuala Lumpur 20 Okt : Umno, parti yang menjadi tunggak kerajaan perlu dilihat lebih adil kepada orang Melayu terutama dalam memperjuangkan bidang-bidang yang mereka masih ketinggalan berbanding kaum lain.
Ketua Penerangan Pemuda Umno Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata sekalipun prinsip perjuangan Umno adalah berteraskan kepada keadilan untuk semua kaum, namun perjuangan membela hak Melayu perlu lebih diutamakan.
“Kesamarataan dan kesaksamaan tidak bermakna keadilan, tapi keadilan akan menjamin kesamarataan dan kesaksamaan,” katanya ketika membawa usul menyokong ucapan terima kasih ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda Umno pada Perhimpunan Agung pergerakan itu di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu.
Reezal Merican berkata tindakan pihak tertentu yang membangkitkan soal kesamarataan dan kesaksamaan sebenarnya masih keliru atau mempunyai agenda tertentu dengan apa yang mereka mahu perjuangkan.
Beliau turut membuat analogi berkenaan kesamarataan dan kesaksamaan dengan cerita sebuah keluarga yang menjamu selera di sebuah restoran.
“Adakah saksama dan sama rata apabila bapa (ketua keluarga berkenaan) memesan tomyam untuknya, untuk isterinya, untuk anaknya yang berusia 15 tahun dan adakah dia perlu juga memesan tomyam untuk anaknya yang berusia enam bulan?
“Anaknya yang berusia enam bulan itu tak perlu makan tomyam tapi mahu susu cap gantung…,” katanya.
Beliau turut mengajak seluruh jentera pemuda supaya berjihad menentang petualang dan pengkhianat bangsa dan negara yang setiap hari menabur fitnah dan menipu rakyat.
“Pihak pembangkang ini umpama pembohong bersiri, tipu memanjang, fitnah memanjang, yang jadi mangsa adalah rakyat, yang diperbodohkan adalah rakyat, mereka inilah petualang dan pengkhianat negara,” katanya.
Beliau berkata petualang dan pengkhianat bangsa atau negara ini bukanlah sesuatu yang baru dalam setiap kali pembinaan tamadun, malah ia telah wujud sejak zaman Rasulullah lagi.
Sementara itu, wakil Sabah, Armizan Mohd Ali ketika menyokong usul tersebut berkata seluruh jentera Pemuda Umno tidak perlu terikut-ikut dengan sesuatu isu yang dimanipulasi pihak pembangkang.
“Apa pun, kadang kala kita terkilan apabila pihak Umno sendiri mengkritik Pemuda, Pemuda dikritik sehingga seolah-olah keseluruhannya buruk dan Pemuda dikritik di media massa,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno bahagian Papar, Sabah berkata Pemuda Umno bukanlah tidak boleh dikritik atau ditegur, malah bersedia dimaki, tetapi perlulah mengikut saluran yang betul supaya moral anggota Pemuda tidak luntur.
“Cuma kita ingin bertanya, siapa yang wariskan kelemahan Umno sekarang ini? Adakah Pemuda Umno? Siapa yang jadi wakil rakyat berpenggal-penggal, sejak Umno kuat sehingga Umno tak kuat? kenapa Pemuda Umno hendak dipersalahkan apabila Umno sedang lemah?” katanya.
Beliau berkata semua pihak dalam pergerakan itu kini perlu menghentikan apa jua bibit-bibit perpecahan dalam usaha mengukuhkan semula Umno untuk terus berada di landasan yang betul dalam memperjuangkan hak orang Melayu.
‘Bendung perasaan curiga antara kaum, hentikan debat perkauman’
October 20, 2010 by admin
Filed under Berita Bergambar, Persidangan Agung UMNO 61
KUALA LUMPUR 20 Okt. – Perasaan curiga antara kaum mesti dibendung segera dan debat perkauman mesti dihentikan sekarang.
Ketika membuat gesaan itu, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan, jangan ada mana-mana kumpulan yang mempersoalkan hak keistimewaan Melayu dan bumiputera, serta hak-hak yang sah bagi kaum-kaum lain, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
”Hormatilah dan terimalah keluhuran Perlembagaan yang telah meletakkan asas-asas bagi negara kita.
”Saya yakin dan percaya, bahawa rasa curiga antara kaum akan dapat diatasi sekiranya semua kaum mendapat jaminan bahawa hak-hak mereka yang telah termaktub dalam Perlembagaan akan dipertahan dan dihormati dalam apa jua keadaan sekalipun,” katanya.
Beliau membuat gesaan dan penegasan itu ketika merasmikan serentak Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, hari ini.
Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri menarik perhatian bahawa debat perkauman dalam masyarakat juga semakin merumitkan keadaan.
Sehubungan itu beliau mengingatkan perdebatan tentang isu perkauman tanpa batasan boleh menimbulkan provokasi yang membakar sentimen perkauman.
”Kita tentu sekali tidak mahu percikan api kemarahan akhirnya menjadi letusan yang memusnahkan segala nikmat keamanan, kemakmuran dan perpaduan yang telah kita bina.
”Sanggupkah kita menggadaikan segala nikmat yang kita kecapi semata-mata kerana amarah perkauman? Hakikatnya, tiada siapa yang beruntung sekiranya perbalahan bermaharajalela. Kalah jadi abu, menang jadi arang,” katanya.
Oleh itu Muhyiddin dalam ucapannya memberi jaminan kepada orang Melayu dan bumiputera, bahawa UMNO sebagai parti teras Melayu, akan terus mempertahankan hak-hak keistimewaan mereka, kedudukan agama Islam, kemuliaan institusi raja-raja Melayu, kedudukan Bahasa Melayu dan memastikan orang Melayu dan bumiputera mendapat pembelaan sosial dan ekonomi yang seadil-adilnya.
”Kepada kaum-kaum lain, UMNO sebagai parti teras kenegaraan tetap menghormati hak kaum-kaum lain seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan.
”Sebagai sebuah parti politik Melayu yang inklusif, dan berdasarkan rekod perjuangan UMNO selama ini, UMNO akan terus memastikan bahawa, di bawah teraju UMNO, tidak ada satu kaum pun yang akan ketinggalan dalam menikmati rahmat pembangunan dan kemajuan negara,” katanya.
Kepada UMNO, Muhyiddin berkata, cabaran yang dihadapi oleh parti itu seterusnya ialah bagaimana untuk mengekalkan kejayaan dan memperkukuhkan perpaduan.
Beliau berkata, kunci kepada kejayaan UMNO selama ini ialah kebijaksanaannya dalam mengurus hubungan kaum dan mengekalkan kestabilan politik.
”Namun hakikatnya, kita tidak pernah sunyi daripada berhadapan dengan isu-isu yang menyentuh sensitiviti kaum.
”Walaupun secara umumnya hubungan kaum di Malaysia berada di tahap yang baik, namun masih kedengaran suara-suara yang mempersoalkan hak-hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, serta hak-hak yang sah bagi kaum-kaum lain,” katanya.
Kata Muhyiddin, jika perkara itu tidak diurus dengan baik, keadaan ini akan menimbulkan persepsi dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum bahawa kedudukan dan hak mereka yang dijamin oleh Perlembagaan semakin terhakis.
Mengenai gagasan 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau berkata, ia adalah satu gagasan perpaduan yang memberi jaminan hak kepada semua warga negara berlandaskan prinsip-prinsip Perlembagaan dan Rukunegara.
Umno Bukan Parti Untuk Melayu Ekstrem
October 19, 2010 by admin
Filed under Persidangan Agung UMNO 61
KUALA LUMPUR: Umno merupakan sebuah parti yang inklusif dan bukan lagi memperjuangkan hak kemelayuan yang ekstrem.
Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menegaskan, perkara tersebut merupakan satu perubahan yang signifikan dan momentum itu perlu diteruskan kerana Umno akan terus membela nasib semua tanpa meminggirkan mana-mana kaum di negara ini.
“Peranan yang dimainkan oleh Umno pada hari ini adalah menggalakkan orang Melayu berjaya bukannya bersikap defensif dan hanya mempertahankan hak serta keistimewaan mereka sahaja.
“Hanya dengan kerja keras dan usaha yang bersungguh-sungguh sahaja akan membuatkan kita akan berjaya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Pemuda Umno di Seri Pacific pada Selasa.
Bagi mencapai matlamat itu, Khairy berkata Umno perlu memastikan orang Melayu maju dalam bidang ekonomi dengan menggunakan pendekatan baru tanpa mengetepikan kepentingan mana-mana kaum di negara ini. “Perhimpunan Agung kali ini adalah bagi menunjukkan kepada masyarakat bahawa Umno masih lagi sebuah parti yang dominan dalam memperjuangkan hak dan nasib orang Melayu di negara ini.
“Tiada siapa boleh menolak hakikat bahawa Umno adalah sebuah parti yang memperjuangkan agenda orang Melayu.
“Kita mahu tunjukkan kepada masyarakat bahawa kita membawa agenda baru bagi orang Melayu tanpa mengetepikan objektif utama penubuhan Umno,” katanya.
Sementara itu, Khairy berkata dua pilihan raya kecil yang akan berlangsung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan Parlimen Batu Sapi yang akan berlangsung serentak pada 4 November depan juga tidak akan menenggelamkan isu-isu yang akan dibawa oleh perwakilan pada perhimpunan agung kali ini.
“Pilihan raya kecil itu akan berlangsung selepas Perhimpunan Agung Umno, sudah pasti isunya akan dibangkitkan namun apa yang lebih penting adalah usaha kita memperkuatkan hubungan dan semangat bagi memupuk perpaduan dikalangan ahli parti,” katanya.
Mengenai isu-isu yang akan dibangkitkan oleh Perwakilan Pemuda pada perhimpunan agung kali ini, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata:
“Kita mahu perwakilan Pemuda kali ini membangkitkan isu-isu rakyat terutamanya di negeri-negeri pembangkang dengan menumpukan kepada soal kepincangan kepimpinan dan pentadbiran di sana.”
“Kita juga mahu mereka mengetengahkan cara bagaimana untuk memperkukuhkan lagi perpaduan dikalangan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum,” katanya.
Beliau berkata apa yang merisaukannya adalah bagi memastikan segala pembaharuan yang di bawa oleh Umno dan BN dapat difahami oleh pengundi muda.
“Ada pengundi muda yang melihat Umno dan BN belum berubah, oleh sebab itu kita perlu pastikan perubahan yang telah kita buat sampai kepada golongan sasar dan akar umbi,” katanya.
Seramai 797 perwakilan dijangka hadir pada Perhimpunan Agung Umno ke-61 kali ini.
Ahli Umno Diingatkan Lakukan Transformasi Demi Rakyat
October 19, 2010 by admin
Filed under Persidangan Agung UMNO 61
KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mahu semua ahli bekerja keras dan melakukan transformasi demi kepentingan rakyat serta parti.
Beliau juga mengarahkan semua ahli Umno supaya mengambil pendekatan berbeza dalam membela nasib rakyat dan meminta semua ahli parti itu bekerja bersama-samanya demi memastikan parti itu sentiasa menjadi pilihan rakyat.
Ahli Majlis Tertinggi (MT), Dr. Mohd Puad Zarkashi ketika ditemui selepas taklimat terteup presiden kepada semua perwakilan berkata, Najib turut berpesan kepada semua ahli supaya mengambil pendekatan strategik dalam memperjuangkan nasib kaum Melayu tanpa meminggirkan kaum lain di negara ini.
“Presiden berpesan jika kita semua tidak buat kerja kepercayaan rakyat akan pudar dan bukan berlandaskan teori-teori yang dikaitkan kepada parti.
“Jika buat kerja Umno dan Barisan Nasional pasti akan mendapat sokongan rakyat, itu adalah penting,” katanya.
Terdahulu Najib memberikan taklimat tertutup berkenaan kepada semua perwakilan Umno bersempena Perhimpunan Agung Umno 2010 yang berlangsung bermula malam Selasa sehingga Sabtu.
Sementara itu, seorang lagi Ahli MT, Datuk Seri Ismail Sabri menyifatkan taklimat itu lebih kepada nasihat dan peringatan seorang ketua kepada semua anak buahnya.
“Beliau memberikan nasihat seara ikhlas dan jujur kepada semua yang hadir dan setiap amanat yang diberikan mempunyai maksud tersirat yang tersendiri,” katanya.
Ismail berkata, Najib mahukan parti mampu membawa kemenangan pada pilihan raya akan datang sementara soal perpecahan dan apa jua elemen negatif tidak menguasai ahli.
Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai usaha transformasi yang sedang dilakukan oleh parti, Ismail bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkara itu.
“Kita tunggu esok semasa pembentangan itu nanti,” katanya.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai calon pilihan raya kecil Galas, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Perdana Menteri mahukan calon yang diletakkan mestilah mempunyai potensi untuk memenangi pada pilihan raya itu nanti.
Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin memberitahu, pergerakannya sedang melakukan persediaan untuk menggempur Galas berikutan kematian penyandangnya, Che Hashim Sulaiman.
Katanya, jentera-jentera Puteri sedang dikemaskini dalam usaha untuk mempertingkatkan persiapan agar gerak kerja yang dilaksanakan berjalan lancar.
Malah katanya, pergerakan itu akan menempatkan 2,000 ahlinya sepanjang kempen pilihan raya kecil kawasan itu dan Parlimen Batu Sapi yang berjalan serentak pada 4 November ini.
Perhimpunan Agung Ke-61 Pencetus Model Baru Politik Umno
October 19, 2010 by admin
Filed under Persidangan Agung UMNO 61
KUALA LUMPUR: Pemimpin dan ahli Umno peringkat akar umbi diingatkan supaya lebih bersikap terbuka dan bersedia melakukan perubahan budaya menerusi model baru politik sebagai persedian menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, ahli peringkat akar umbi perlu berperanan sebagai perantara bagi membentuk imej yang disenangi dan dekat di hari rakyat.
“Peranan parti di peringkat akar umbi sangat penting, saya banyak tekankan supaya (parti) bersifat inklusif dan dapat menunjukkan imej yang disenangi oleh rakyat dan sentiasa dekat dihati rakyat melalui pelbagai aktiviti.
“Saya juga menggariskan beberapa faktor yang penting dalam sistem demokrasi berparlimen ini iaitu bukan sahaja soal kepimpinan negara dan negeri tapi juga parti dan juga calon yang kita tetapkan… bila sampai pada masanya (pilihan raya) mesti (pilih) mereka yang disenangi,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung Umno ke-61 di sini, Selasa.
Selain itu Perdana Menteri juga berkata, proses pemulihan politik dalam Umno sudah dilakukan apabila berjaya meminda Pelembagaan pada Perhimpuan Khas tahun lalu.
Namun jelasnya pembaharuan itu perlu disusuli dengan perubahan budaya dari segi pemikiran dan tindakan agar ia menular ke peringkat akar umbi.
“Pembaharuan Umno mesti disusuli dengan perubahan budaya, pemikiran serta tindakan agar ia meresap dan menular ke peringkat Bahagian,” katanya.
Menerusi taklimat hampir dua jam itu, Najib juga mengingatkan kepada perwakilan agar mengambil kesempatan terhadap kelemahan yang ditunjukkan pembangkang akhir-akhir ini.
“Kelemahan yang terdapat dalam parti pembangkang terlalu menyerlah sehari dua ini yang sepatutnya diambil kesempatan oleh ahli dan anggota parti,” katanya.
Ditanya sama ada Umno akan mengambil iktibar daripada kekecohan yang berlaku pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana parti itu juga bakal mengadakan pemilihannya tahun hadapan yang membolehkan 146,500 perwakilan memilih pemimpin, Najib berkata Umno mempunyai kaedah yang tersendiri bagi memenangi perkara tersebut.
“Kita tak boleh ambil iktibar, kita ada cara yang tersendiri dan insya-Allah kita akan urusakan perkara ini dengan baik bila sampai masanya nanti.
“Kita sedar bahawa tidak mudah dan tak boleh pandang ringan, tapi saya percaya ahli Umno akan menghormati disiplin dan tunjuk imej yang baik,” katanya.
Tambah Najib, beliau berharap para perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno kali ini dapat menunjukkan kematangan sewaktu sesi perbahasan dengan membahaskan isu-isu nasional.
“Diharapkan juga perwakilan akan memberi pandangan yang bernas kepada kerajaan untuk membantu menguruskan hala tuju dasar negara dengan mengemukakan pandangan yang konstruktif kepada kerajaan.
“Saya sentiasa bersikap terbuka… kalau parti lain boleh minta, Umno pun boleh buat desakan, ia tak menjadi masalah kerana pada akhirnya kita akan merumuskan sesuatu untuk negara,” katanya.
Perasmian Perhimpunan Pemuda, Wanita & Puteri UMNO
October 19, 2010 by admin
Filed under Berita Bergambar, Persidangan Agung UMNO 61
Kuala Lumpur, 19 Okt – UMNO adalah satu-satunya parti politik yang mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara, mendukung dan mempertahankan perlembagaan negara, perlembagaan negeri-negeri dan raja berpelembagaan. Umno juga mempertahankan agama Islam, kedaulatan rakyat dan keadilan sosial demi mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen serta memajukan ekonomi bumiputera khasnya dan rakyat Malaysia amnya.
Umno juga sebuah parti yang menjamin bahasa kebangsaan yakni bahasa melayu sebagai bahasa rasmi dan kebudayaan kebangsaan berasaskan budaya melayu.
Demikian ucapan Timbalan Presiden UMNO, YAB Tan Sri Muhyiddin Yasin ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka PWTC, hari ini.
Perasmian tersebut menandakan bermulalah agenda persidangan UMNO buat kali ke-61 dengan dihadiri 6907 perwakilan di seluruh negara.
mizie@n9kini.com / ismail



























