Pelan Tindakan Pengisytiharan Seremban sebagai Bandaraya diwujudkan

May 2, 2012 by  
Filed under News1

Comments Off

SEREMBAN, 02 Mei – Mesyuarat Exco hari ini telah memutuskan untuk mewujudkan satu Pelan Tindakan dalam penyusunan aturcara program, mengkaji dan merancang insfrastruktur kemudahan menjadikan Seremban sebagai sebuah bandaraya dan sebahagian dari Lembah Kelang.

Pengisytiharan Seremban sebagai sebuah Bandaraya

Menurut Menteri Besar, Kerajaan Negeri tidak mahu bertindak dalam keadaan tergesa-gesa tanpa memikirkan kesan yang tidak baik kepada rakyat di masa akan datang untuk menjadikan Seremban sebagai sebuah bandaraya dan  sebahagian daripada Lembah Kelang.

Perhatian dan persiapan rapi perlu di lakukan dengan sebaik mungkin termasuk memikirkan  keperluan dan masalah rakyat yang  perlu diselesaikan.

Ketetapan bagi mempersiapkan dan menyelesaikan isu-isu tersebut dijangka siap dalam masa satu tahun dengan mewujudkan satu Pelan Tindakan  di mana ianya perlu serius dalam penyusunan aturcara program, mengkaji dan merancang insfrastruktur kemudahan yang seharusnya ada sebagai sebuah bandaraya dan yang paling penting imej dan karakter bandaraya yang mahu diwujudkan.

Menjadikan misi ini menjadi kenyataan, mesyuarat khas ini telah di pengerusikan oleh Dato’ Mat Ali Hj Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri manakala Dato’ Abdul Halim Abdul Latiff, Yang Di-Pertua MPN/MPS  sebagai Timbalan Pengerusi dipertanggungjawabkan mengatur, merancang dan menyelesaikan perkara yang berkaitan mengikut masa yang ditetapkan.

Melalui mesyuarat yang dipengerusikan itu juga, telah menetapkan bahawa keperluan pembangunan akan dimasukkan di dalam Belanjawan Tahunan Kerajaan Negeri dan di mohon kepada Kerajaan Persekutuan.

Persiapan menjadikan Seremban sebagai sebuah bandaraya merangkumi pelbagai aspek pembangunan termasuk pembangunan insfrastruktur, pembangunan modal insan dan pembangunan sosio-budaya.

Masalah Banjir Kilat di Sikamat

Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM4.5 juta bagi menyelesaikan masalah banjir kilat yang sering berlaku di kawasan kediaman di Sikamat.

Masalah yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu akan dapat diselesaikan apabila terbinanya sebuah jambatan di kawasan berkenaan.

Namun begitu, beberapa buah rumah yang sentiasa menjadi mangsa banjir kilat dipindahkan  ke kediaman strategik seperti di  Taman Jasmin.

Cadangan Parkir Kereta di kawasan Majlis Perbandaran Seremban

Majlis Perbandaran Seremban akan bermesyuarat dengan perunding perbandaran yang dilantik dalam masa terdekat untuk menyelesaikan masalah untuk mendapatkan  kawasan strategik, susun atur, reka bentuk yang mesra pengguna dan memuatkan 2,000 kenderaan satu-satu masa puncak, hari perayaan dan hari keraian.

Malah reka binanya kelak termasuk satu sudut ruang perniagaan dan medan selera untuk memberi peluang kepada peniaga-peniaga untuk menjalankan perniagaan.

Perkara ini penting kerana kedudukannya yang strategik dan berhampiran dengan Terminal 1, Stesen Keretapi dan sebagainya.

Pelan pembangunan parkir kereta ini mahu di lakukan seperti di Padang Merdeka, Kuala Lumpur iaitu parkir kereta bertingkat.

Apabila kajian yang di lakukan oleh perunding perbandaran ini siap kelak, boleh jadi Kerajaan Negeri akan membuat pinjaman pembiayaan daripada kerajaan Persekutuan atau memohon dari institusi kewangan tempatan. Setakat ini, Kerajaan Negeri tidak mempunyai masalah untuk membayar pinjaman yang di buat.

Penyeragaman Sistem Pengiklanan

Kegagalan Syarikat Pengiklanan menjaga kualiti dan menyelenggara papan iklan yang di sewa tersebut mendapat rungutan daripada syarikat yang mengiklankan produk mereka di mana  Yayasan Negeri Sembilan (YNS)  hanya mengenakan caj minima kepada syarikat ini dengan bayaran sebanyak RM1,800 setahun di tanah  kerajaan tetapi mereka mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

YNS  kemudian telah mengambil alih  secara langsung papan iklan ini untuk memudahkan syarikat menyewa terus kepada YNS dengan kadar berpatutan iaitu sebanyak RM18,000 setahun yang merangkumi kos penyelenggaraan, kos penyeragaman dan kos pentadbiran.

Pada masa yang sama juga, YNS melantik syarikat pengiklanan berpengalaman yang bertanggung jawab dan mahir di dalam rekabentuk papan iklan di samping menyelia senggara papan iklan tersebut. Setakat ini, YNS telah mengeluarkan kos penyelenggaraan sebanyak RM215,000 bagi tujuan penyeragaman.

Apabila terdapat syarikat mengiklankan produk mereka kelak dengan kos yang minima, YNS masih mendapat untung dan dengan keuntungan yang diperolehi hasil dari penyewaan syarikat selama setahun akan digunakan untuk memberi  pinjaman kepada anak-anak Negeri Sembilan yang belajar di universiti tempatan.

Perkara ini bukan sahaja memudahkan syarikat menyewa tapak secara terus kepada YNS, malah selia selenggara turut dipertanggungjawabkan kepada syarikat yang mempunyai pengalaman pengiklanan. Dengan kerjasama ini, maka keseragaman papan iklan di Negeri Sembilan menjadikan ianya nampak lebih menarik dan banyak syarikat akan menyewa papan iklan di Negeri Sembilan.

Oleh : Dudi Aziz

Hasrat kerajaan negeri untuk membuka 1 Mukim, 1 PDK

April 30, 2012 by  
Filed under News1

Comments Off

PAROI : 30 April – Sebanyak 7.1 juta geran peruntukan yang disediakan  sebagai pengiktirafan kepada 44 buah Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), 11 buah Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) dan sebuah Rumah Tunas Harapan (RTH) yang beroperasi di Negeri Sembilan di atas sumbangan mereka di dalam pembangunan dan kemajuan negeri.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan dan isteri, Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumudin hadir bagi menyerahkan geran peruntukan kepada ketiga-tiga badan NGO tersebut di Dewan Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, di sini, hari ini.

Kata Menteri Besar, bantuan peruntukan ini diagihkan supaya golongan yang kurang bernasib baik diberi penekanan dan mendapat pembelaan yang sewajarnya.

“Kita akan kembangkan lagi usaha untuk menjaga dan memelihara golongan ini dan kerajaan negeri berhasrat untuk membuka 1 mukim, 1 PDK bagi membuat perincian setiap satu dengan teliti,” ujar beliau.

Beliau menegaskan, ini adalah tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul oleh setiap badan-badan NGO dan ini juga merupakan kebajikan kepada kita bagi memastikan anggota masyarakat terbela.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Razak Bin Mansor, Exco Bertindak Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Masyarakat, Dato’ Hajah Zainab Bt Nasir, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), En. Abdullah Hanafi dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, En. Baharudin Bin Jali.

Oleh : Ainaa@n9kini.com

 

 

 

Port Dickson : Bandar Tentera Darat

April 27, 2012 by  
Filed under News1

Comments Off

PORT DICKSON, 27 April – Kerajaan Negeri Sembilan melalui Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) akan memastikan setiap pembangunan di Port Dickson, ianya akan mempunyai unsur-unsur yang melambangkan ketenteraan.

Buat masa sekarang, fasa pertama untuk memberi imej baru kepada Bandar Tentera Darat telah dilaksanakan dan seterusnya akan diikuti dengan fasa-fasa berikutnya bagi membangunkan Bandar Tentera Darat ini.

Demikian kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan kepada sidang media selepas menyerahkan simbolik kunci Projek Bandar Tentera kepada Menteri Pertahanan Malaysia, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid yang seterusnya menyerahkan kunci tersebut kepada Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkifli Bin Zainal Abidin di Padang Kawat Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, petang tadi.

Sementara itu, jelas Dato’ Seri Ahmad Zahid, segala perancangan dan perkembangan infrastruktur serta aktiviti Tentera Darat di Port Dickson akan mengambilkira kepentingan umum.

“Port Dickson akan mempunyai kalendar pelancongan setiap tahun terhadap aktiviti-aktiviti seperti upacara tattoo, pertunjukan tamat latihan dan berek stay serta perbarisan hari angkatan tentera darat selain di peringkat nasional yang akan diadakan secara simboliknya di sini,” kata beliau.

Manakala menurut Panglima Tentera Darat, terdapat dua projek akan dibangunkan dalam masa terdekat di Port Dickson sejajar dengan pengisytiharannya sebagai Bandar Tentera Darat oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak pada 29 Oktober 2009

Kata beliau, “Perdana Menteri  telah meluluskan peruntukan sebanyak 5 juta untuk membina kolam renang bagi kegunaan latihan tentera serta bagi tujuan rekreasi orang awam.”

Selain itu, pembinaan Kolej Tentera Darat akan dibina dan kolej ini nanti akan terus menjadikan Port Dickson sebagai destinasi latihan ketenteraan selain pantai peranginan yang cantik, sejajar dengan konsep ‘mesra tentera, mesra pelancong dan mesra penduduk’.

Dalam majlis tersebut pelbagai acara diadakan iaitu perbarisan anggota tentera yang mengenakan pakaian pelbagai era bermula era selepas Perang Dunia Kedua sehingga kini dan terdapat juga anggota tentera yang mengenakan pakaian tradisional bagi menggambarkan kepelbagaian masyarakat di Bandar Tentera Darat ini.

Perbarisan ini juga turut diiringi oleh Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja manakala Leftenan Kolonel Mohd Radzi Bin Abd Hamid turut mendeklimasikan sebuah sajak.

Oleh : Ainaa@n9kini.com

Tuanku Muhriz menyempurnakan Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-12

April 23, 2012 by  
Filed under News1, PERSIDANGAN PERTAMA PENGGAL KE-5 DUN N.SEMBILAN

Comments Off

SEREMBAN, 23 April – D.Y.M.M Yang Di-Pertuan  Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir  mencemar duli ke Majlis Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-12 Negeri Sembilan.

Baginda seterusnya menyempurnakan persidangan tersebut yang akan bersidang selama dua hari iaitu pada 24 April 2012 dan 25 April 2012.

Turut mencemar duli, D.Y.M.M Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Baginda diiringi Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap ADUN Rantau, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan.

Di dalam titah baginda, baginda memuji daya usaha Kerajaan Negeri yang mentadbir Negeri Sembilan yang  pesat  membangun.

Antara dasar dan program yang mencapai kejayaan di Negeri Sembialn adalah  Dasar Jaringan Keselamatan Sosial, Dasar Pelaburan, Dasar Pendidikan, Dasar Pembangunan Seimbang Antara Bandar dan Luar Bandar.

Baginda juga berpuas hati apabila Kerajaan Negeri mengambil inisiatif mengkaji semula Pelan Strategik Pembangunan Ekonomi Negeri Sembilan yang telah disediakan pada tahun 2006. Kajian semula ini akan memperkemaskan lagi program dan strategi pembangunan sosio-ekonomi dalam tempoh 2012 hingga 2020.

Turut hadir, YTM Tunku Besar Tampin dan YTM Dato-Dato’ Undang Yang Empat.

Istiadat Pembukaan turut dihadiri oleh Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin, isteri Menteri Besar Negeri Sembilan.

Sila klik di sini untuk Titah Ucapan Penuh D.Y.M.M Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus sempena Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Sembilan Darul Khusus.

Para mahasiswa perlu rebut peluang untuk mencapai kejayaan

April 21, 2012 by  
Filed under News1

Comments Off

SHAH ALAM : 20 April – Seramai 72 orang mahasiswa dan mahasiswi yang berjaya mendapatkan Ijazah Kelas Sarjana Muda dengan Kepujian Kelas Pertama dari seluruh IPTA menerima anugerah siswazah cemerlang yang telah disampaikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan di Shah Alam Convention Center (SACC), malam tadi.

Majlis makan malam Menteri Besar Negeri Sembilan bersama mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini dianjurkan oleh Persatuan Waris Adat Perpatih Uitm dan Yayasan Negeri Sembilan.

Menteri Besar turut melancarkan simbolik penubuhan Persatuan  Waris Adat Perpatih Negeri Sembilan di mana objektif penubuhan WARIS ini adalah untuk memperluaskan ilmu pengamalan dan penjagaan adat perpatih dan adat istiadat melayu dan menjadi tradisi masyarakat melayu yang kininya semakin terhakis dek arus pemodenan.

Dalam ucapan Menteri Besar, beliau berkata, sebagai seorang pelajar Universiti seharusnya jangan sesekali menghancurkan harapan dan impian ibubapa dan keluarga yang mahu melihat anak-anak cemerlang.

“Rebut peluang yang ada untuk melakukan perkara-perkara yang berfaedah demi mencapai kejayaan, jangan sesekali mudah terpengaruh dengan kawan-kawan ataupun sesetengah pihak yang boleh menghancurkan masa depan kita,” tegas beliau.

Kata beliau lagi, para mahasiswa harus disisipkan semangat belajar dalam diri untuk mencapai kejayaan dan sekaligus dapat meningkatkan imej seseorang pelajar tersebut.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof. Dr. AbdullahMohamad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Haji Mat Ali Bin Hassan; dan Penasihat Kehormat Persatuan Waris Adat Perpatih, Prof. Datuk Abd. Halim Sidek.

Oleh : Ainaa / Tinta / Ismail

 

Permuafakatan PIBG mendorong ke arah kecemerlangan pendidikan

April 18, 2012 by  
Filed under News1

Comments Off

REMBAU : 17 April – Hasrat untuk melihat sesebuah negeri  itu mencapai matlamatnya dalam kecemerlangan pendidikan telah membuahkan hasil apabila pendidikan di daerah Rembau menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan setelah mendapat kedudukan di tempat pertama dalam STPM, SPM, dan PMR manakala UPSR di tempat ketiga pada tahun 2011.

Kecemerlangan yang dikecapi ini adalah merupakan salah satu usaha yang dilakukan oleh pihak PIBG bersama-sama pihak sekolah dalam memikul tanggungjawab yang diberikan dalam penglibatan hal ehwal pelajar.

Demikian kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan ketika berucap di majlis perhimpunan pemimpin-pemimpin PIBG daerah Rembau buat kali ke-lima yang diadakan di Dewan Seri Rembau, petang tadi.

“Semua pihak harus bekerja dengan lebih cemerlang lagi bagi memastikan hasrat untuk menjadikan daerah Rembau ini sebuah daerah yang boleh menjamin masa depan Negeri Sembilan dan dapat melahirkan cendiakawan-cendiakawan yang berjaya kelak,” katanya.

Beliau turut menyarankan agar sekolah-sekolah di Negeri Sembilan ini diinstitusikan dalam kemasyarakatan kerana pelajaran merupakan sebahagian daripada intipati kemasyarakatan.

Dalam majlis tersebut, beliau turut merasmikan pelancaran tabung kebajikan majlis pemuafakatan PIBG bagi membantu ibubapa dan para pelajar yang memerlukan bantuan kewangan.

Hadir sama, Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan, Dato’ Abdul Halim Bin Abdul Razak; Pegawai Pelajaran Daerah Rembau, Datin Hajah Naemah Bt Ahmad Dahalan; Pengerusi Majlis Pemuafakatan PIBG daerah Rembau, Tuan Haji Ibrahim Bin Abdullah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Dato’ Dr. Haji Awaludin Bin Said; dan ADUN Chembong, Tuan Zaifulbahri Bin Idris.

Oleh : Ainaa@n9kini.com

 

Pertabalan Seri Paduka catat sejarah

April 12, 2012 by  
Filed under News1

Comments Off

KUALA LUMPUR, 12 April : Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah titah rakyat agar tingkat usaha majukan negara

  • Foto

    TUANKU Abdul Halim Mu’adzam Shah melafazkan ikrar sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14 di Istana Negara, semalam. Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

  • Foto

    Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berangkat pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14 diiringi Najib di Istana Negara, semalam.

  • Foto

    PERTABALAN Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada 21 September 1970 diiringi Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak.


Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bertitah rakyat Malaysia perlu menjadi warga yang perkasa dan dinamik bagi memastikan negara mencapai status negara maju menjelang 2020.

“Bukan saja tinggi penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran, tetapi juga tinggi nilai akhlak, moral dan etikanya,” titah baginda pada Istiadat Pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 di Istana Negara, semalam.

Istiadat kali ini melakar sejarah penting bagi Seri Paduka Baginda kerana ini kali kedua baginda ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong, selain adalah Yang di-Pertuan Agong pertama yang ditabalkan di Istana Negara baru di Jalan Duta di sini.

Tuanku Abdul Halim ditabal Yang di-Pertuan Agong kelima pada 1970 ketika berusia 42 tahun dan kini, empat dekad kemudian, baginda ditabalkan sekali lagi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada usia 84.

Seri Paduka bertitah: “Negara tidak akan maju jika rakyatnya tidak berilmu dan kemajuan pula tidak bererti jika nilai-nilai yang positif diketepikan oleh penghuninya.”

Titah baginda, tidak ada negara di dunia ini yang mampu mencapai kemajuan dan mencipta kejayaan dengan hanya bergantung kepada inisiatif kerajaan semata-mata tanpa sokongan rakyat.

“Maka jadilah insan yang mulia sebagai mana dituntut agama, iaitu insan yang berilmu dan berpekerti mulia serta sedar dan patuh terhadap tanggungjawabnya kepada negara,” titah baginda.

Tuanku Abdul Halim bertitah, rakyat negara bukan saja ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju pada 2020 tetapi terus menjadikan negara ini kekal maju dan dihormati dunia.

“Persaingan global yang perlu dihadapi hari ini begitu kompetitif dan serba mencabar. Justeru, setiap dari rakyat Malaysia perlu bersedia untuk menggalas tanggungjawab dan melaksanakan peranan masing-masing dengan sepenuh hati,” titah baginda.

Baginda juga menyeru seluruh rakyat supaya bersatu padu, berganding bahu dan bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan negara maju, aman dan harmoni.

“Perkukuhkan diri dan pikullah tanggungjawab kita sebagai warga yang benar-benar cintakan tanah air. Sesungguhnya Malaysia adalah hak, lambang maruah dan kedaulatan bersama. Untuk itu, masa depan negara kita haruslah dicorak dan diadun oleh kita semua.

“Kemajuan dari segi kebendaan saja belum cukup untuk menjadikan kita satu bangsa yang kuat. Kita perlu menjaga dan mengamalkan ciri-ciri hidup masyarakat yang berbudi bahasa.

“Kemajuan fizikal yang diimbangi dengan nilai hidup berbudi bahasa akan mengangkat tamadun bangsa, menjulang agama dan negara. Beta menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menjaga tatasusila dan ciri-ciri hidup ketimuran yang sekian lama telah diamalkan,” titah baginda.

Baginda bertitah: “Sesungguhnya, setelah lebih empat dekad berlalu seperti dipertentukan oleh Yang Maha Kuasa, dan tertulis dengan kehendak-Nya jua, pemerintahan beta pada kali dulu dan kali kedua ini, berpeluang menerima khidmat daripada dua Perdana Menteri yang mempunyai pertalian darah.

“Pertamanya semasa zaman pentadbiran Allahyarham Tun Abdul Razak. Kini pula pada kala tampuk kerajaan di bawah pimpinan anakandanya, yakni Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak,” titah baginda.

Tuanku Abdul Halim juga bersyukur kerana dapat menyaksikan kemajuan negara ini dan menyedarkan baginda betapa bertuahnya Malaysia dan rakyatnya yang sentiasa dilimpahi rahmat kejayaan. – BERNAMA

KAFA melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang dan beraqidah tinggi

April 10, 2012 by  
Filed under News1, Program Harian Menteri Besar

Comments Off

PAROI, 10 April – Seramai seribu orang guru KAFA hadir di Majlis Penyerahan Bantuan Perkapita, Dermasiswa dan Anugerah Cemerlang SAR, SMAN dan SABK 2012 di Pusat Dakwah Islamiah Negeri Sembilan, Paroi, pagi tadi.

Majlis yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan itu  disempurnakan oleh Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Agama Islam Negeri Sembilan.

Di dalam ucapan beliau, beliau menghargai jasa dan pengorbanan semua guru KAFA yang menyahut seruan mengajar dan mendidik anak-anak di awal umur  7 – 12 tahun yang telah dimulakan sejak 2005 dan pengorbanan guru-guru KAFA  telah membolehkan anak-anak ini memahami pendidikan agama secara bersistematik di peringkat awal.

Malah beliau turut menjelaskan pendidikan KAFA di peringkat sekolah menengah sedang di pertimbangkan apabila terdapat permintaan dari ibu bapa yang melihat kejayaan KAFA di peringkat sekolah rendah.

Beliau sebagai tunggak kepimpinan negeri juga telah meletakkan matlamat dan sasaran pembangunan Negeri Sembilan ke arah terbaik mungkin  dan tidak mahu melihat pembangunan negeri menjadi tidak seimbang apabila semata-mata mengutamakan pembangunan fizikal tetapi melupakan pendidikan agama.

Katanya lagi, “Melalui dasar pelajaran agama yang di serapkan kepada pelajar-pelajar ini, akhirnya nanti akan melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang dan beraqidah tinggi. Dan apabila pelajar ini cemerlang di dalam pendidikan, sudah tentu juga mereka akan mendapat kerja yang baik dan boleh jadi menjadi seorang pemimpin yang baik kepada negara juga.”

“Pelajaran dan ilmu merupakan pelaburan jangka panjang untuk Negara. Ianya merupakan pelaburan hayat yang menentukan jatuh bangunnya sesebuah negara itu. Tidak berguna memiliki seorang pemimpin yang terkenal tetapi tandus ilmu dan rendah aqidah.” Tambahnya lagi.

Menteri Besar turut menyerahkan Kadar Bantuan Perkapita (KBP)  kepada 15 buah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan berjumlah RM196,560.00 manakala kepada 65 buah Sekolah Agama Rakyat (SAR) pula berjumlah RM593,100.00 dan Kadar Bantuan Kelas KAFA kepada 22 buah kelas berjumlah RM22,000.00.

Beliau turut menyerahkan Kadar Dermasiswa MAINS bagi pelajar-pelajar SMAN & SABK bagi tahun 2012 berjumlah RM628,860.00

Beliau turut memberi sumbangan kepada pelajar-pelajar yang cemerlang di dalam peperiksaan SPM, PMR dan UPSR bagi tahun 2011.

Turut hadir ialah Sohibus Samahah Dato’ Hj Mohd Yusof Hj Ahmad, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Abd Razak Mansor, Yang diPertua Dewan Undangan Negeri, Tn Hj Johani Hasan, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Negeri Sembilan, Dato’ Abd Halim Abd Razak, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan.

oleh : Dudi Aziz

Universiti As-Sofa bakal melahirkan graduan bersifat Wasatiyyah Islamiyyah

April 8, 2012 by  
Filed under News1, Program Harian Menteri Besar

Comments Off

SEREMBAN : 07 April –  Bertepatan dengan Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara yang bertujuan menjadikan Malaysia sebagai Hub Pendidikan Tinggi Global, maka tertubuhnya Universiti As-Sofa akan menyerlahkan potensi negara di peringkat antarabangsa dalam menyumbang ke arah penawaran program-program pendidikan dan penyelidikan inovatif.

Penubuhan Universiti As-Sofa (UAS) ini menepati agenda pendidikan negara yang bertujuan meneruskan keistimewaan Wasatiyyah Islamiyyah melalui pendekatan makrifah dan mahabbah dengan mendidik, membentuk, menyediakan dan melahirkan para graduan yang memiliki keterampilan profesional, intelektual dan spiritual.

DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir yang juga Canselor Universiti As-Sofa berkenan merasmikan penubuhan Universiti As-Sofa di Dataran Sentral Seremban, malam tadi.

Baginda turut diiringi Tuanku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan dua putera baginda, Tunku Ali Redhauddin Muhriz dan Tunku Zain Al’Abidin Muhriz.

Ketibaan baginda disambut oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan dan isteri, Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumudin.

Dalam titah ucapannya, Tuanku Muhriz bertitah, “Yayasan Sofa Negeri Sembilan yang beta naungi telah banyak mengorak langkah yang bernilai bermula dari Sekolah Rendah, Sekolah Tinggi, Maahad Tahfiz Al-Quran dan Hadis, Kolej dan dilengkapi hari ini dengan pelancaran Universiti As-Sofa.”

Titah baginda, sebagai sebuah Universiti yang berteraskan Ahli Sunnah Wal Jama’ah, Universiti As-Sofa perlu menghayati beberapa ciri khusus dalam menegakkan ad-Din iaitu Iman, Islam dan Ihsan.

Hadir sama, Undang Luak Jelebu, Dato’ Mendika Menteri Akhirul Zaman Dato’ Musa Bin Wahab, Pengasas Yayasan As-Sofa, Dato’ Sheikh Muhammad Fuad Bin Kamaludin Al-Maliki dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Mat Ali Bin Hassan.

Oleh : Ainaa / Foto : Ismail

Kecemerlangan peringkat sekolah satu permulaan kejayaan hari esok

April 7, 2012 by  
Filed under News1

Comments Off

SEREMBAN, 07 April – Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan telah mengiringi  DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, Yang diPertuan Besar Negeri Sembilan di majlis graduasi Pelajar Tingkatan 5 bagi tahun 2011 Kali ke-9, Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir (SASER), Seremban.

 DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud turut mencemar duli hadir dalam majlis berkenaan.

Turut mengiringi baginda berdua ialah isteri Menteri Besar, Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumudin isteri kepada Menteri Nbesar Negeri Sembilan.

DYMM Yang di-Petuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sudi mencemar duli dan pekenan menyempurnakan majlis penyerahan sijil kepada seramai 172 orang pelajar tamat tingkatan 5 dan mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011.

Di dalam titah baginda, baginda mengucapkan tahniah di atas usaha dan komitmen seluruh warga pendidik yang sentiasa berusaha menjadikan pelajar-pelajar di Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir (SASER) cemerlang di dalam akademik dan kehidupan.

Baginda turut menyeru semua pihak agar sentiasa berusaha dan memberi komitmen yang tinggi agar pelajar-pelajar SASER mampu bersaing dengan pelajar di sekolah lain seterusnya membawa nama baik SASER di persada luar.

Malah dengan kecenderungan dan semangat pendidikan yang diberikan oleh warga pendidik akan membekalkan pelajar-pelajar ini satu pengetahuan yang berguna dan terkehadapan memandangkan pelajar-pelajar graduasi ini adalah pewaris nusa dan bangsa di masa akan datang.

“Kejayaan ini sesungguhnya adalah terjemahan usaha gigih dan ikhlas semua pihak yang sentiasa mendambakan kecemerlangan.” Titah baginda lagi

Seterusnya baginda juga berkeyakinan tinggi, sekiranya di bekalkan dengan pelbagai pengetahuan dan disiplin di peringkat sekolah, pelajar-pelajar ini mampu mendapatkan tempat terbaik di institusi pengajian tinggi.

Bertitik tolak dari itu juga, pelajar-pelajar seharusnya juga melibatkan diri dengan aktiviti lapangan seperti aktif bersukan dan bersifat kemanusiaan seperti bergotong royong agar kecemerlangan itu seimbang di dalam kehidupan.

Malah DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir turut memperingatkan kepada semua pelajar agar mengutamakan pendidikan agama dan rohani memandangkan cabaran getir dan sengit tanpa sempadan mampu menjadikan manusia lupa.

Titah baginda lagi, “Kejayaan di peringkat sekolah hanyalah permulaan untuk berhadapan dengan dunia luar yang sudah pastinya lebih mencabar.”

Seramai dua orang pelajar mendapat keputusan 10A+ iaitu, adik Ridzuan Hanafi Azhar dan adik Muhammad Muzamel Idris dan 4 orang mendapat 9A+.

Sementara seramai 18 orang mendapat keputusan 10A dan seramai 68 orang lagi mendapat 9A.

Majlis Graduasi Pelajar Tingkatan 5 2011 Kali Ke-9 Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir yang di sempurnakan baginda di adakan di Hotel Royale Bintang, Seremban.

Turut hadir, Tn Hj Rosland Hussein, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Dato’ Abdul Halim Abdul Razak, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan dan Tn Hj Sabuddin Hj Sani, Pengetua Cemerlang SASER.

Oleh : Dudi Aziz

« Previous PageNext Page »